Monday, May 25, 2009

Didik generasi muda tanggungjawab setiap Muslim

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Semua pihak perlu serius tangani masalah disiplin pelajar, remaja yang semakin parah

STATISTIK Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 2,562 pelajar ditahan pada 2003 dan 1,429 daripadanya terbabit pelbagai kes jenayah. Pada 2005 peratusan kes jenayah pelajar meningkat iaitu 5,543 berbanding 2004, 5,140 kes.

Rekod Kementerian Pelajaran menunjukkan 21,060 pelajar (0.39 peratus) ponteng pada 2007, manakala 24,840 pelajar (0.46 peratus) pada tahun sebelumnya.

Selain ponteng, salah laku pelajar kurang sopan seperti merokok, tidak hormat guru dan pengawas serta berbahasa kesat adalah kesalahan paling banyak berlaku di sekolah membabitkan 23,220 kes (0.43 peratus) tahun lalu dan 19,980 kes (0.37 peratus) pada 2006.

Kesalahan berunsur jenayah seperti mencuri, mencederakan pelajar, bergaduh dan pukul juga antara kes banyak dicatatkan di sekolah iaitu 18,900 (0.35 peratus) tahun lalu dan 18,360 (0.34 peratus) pada 2006. Isu lewat ke sekolah atau tidak pentingkan masa juga agak ketara dengan rekod 18,360 pelajar (0.34 peratus) terbabit tahun lalu dan 15,120 pelajar (0.28 peratus) tahun sebelumnya.

Perlu diinsafi, renteten peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan pelajar kini mendukacitakan, sekali gus menjadi isyarat jelas kepada kita indeks keruntuhan akhlak di kalangan pelajar berada pada paras berbahaya.

Apa yang berlaku wajar diberi perhatian serius pelbagai pihak bertanggungjawab daripada ibu bapa, masyarakat dan kerajaan dalam mendepani kemelut yang meruncing dan tidak ketinggalan, umat Islam perlu menginsafi apakah corak pendidikan dicurahkan kepada anak muda masih tidak mencukupi.

Lantaran itu, mereka mudah terjerumus ke kancah yang akhirnya bukan saja memudaratkan diri sendiri, malah mengancam kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara. Umat Islam juga wajib menghisab diri apakah fenomena ini disebabkan mereka melupakan tanggungjawab mendidik generasi muda yang bakal mewarisi takhta kepemimpinan pada masa akan datang.

Oleh itu, tidak wajar kita memandang remeh apa yang berlaku dan seterusnya menganggap ia masih belum serius dan terkawal. Kita mesti berwaspada serta sentiasa beringat sepanjang masa.

Jangan pula apabila masalah sudah menjadi parah, baru kita mengambil tindakan susulan padahal ia sudah terlambat seperti kata orang tua, sudah terhantuk baru tengadah.

Umat Islam tidak usah menuding jari menyalahkan siapa yang bertanggungjawab terhadap krisis akhlak dan disiplin pelajar.

Islam menganjurkan umatnya mendidik anak dengan ilmu dunia dan akhirat. Generasi muda terdidik dengan iman, ilmu dan akhlak adalah generasi yang ampuh dan mampu berdepan cabaran zaman penuh pancaroba.

Namun, tugas mendidik bukan mudah, ia mesti dipikul setiap Muslim dalam masyarakat Islam. Perlu ditegaskan skop didikan bukan sekadar memberi makan pakai secukupnya, malah mencakupi bimbingan ke arah kebaikan dan kebahagiaan sebenar.

Ibu bapa ialah pendidik pertama kepada anak dan tidak dinafikan tanggungjawab mendidik paling besar sebenarnya terhimpun pada bahu mereka untuk mencorakkan jenis pendidikan yang akan mewarnai hati, akhlak, perwatakan serta pemikiran anak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tiada bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih dari dosa). Ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari)

Dapat disimpulkan beratnya tanggungjawab terpaksa dipikul ibu bapa. Sebab itu, sebarang kesilapan dilakukan dalam proses mendidik anak atau mengabaikan tanggungjawab itu akan membawa kemudaratan hidup anak dan mereka.

Walaupun tanggungjawab mendidik terletak di bahu ibu bapa, masyarakat sekeliling juga bertanggungjawab mendidik generasi muda Islam. Oleh itu, jangan sesekali bersikap tidak ambil peduli mengenai hal orang lain.

Masyarakat Islam sebenarnya ialah masyarakat yang bersatu padu, saling bahu-membahudan tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Bukankah tugas mendidik juga termasuk dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.

Lantaran itu, generasi muda perlu didekati dan dididik oleh setiap masyarakat melalui pendekatan terbaik seperti firman Allah bermaksud: "Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan peringatan yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Justeru, generasi muda yang hanyut dibawa arus kemungkaran perlu diselamatkan, ditegur dan dipimpin ke arah jalan lurus sesuai sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya), dan jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)

Kesimpulannya, tanggungjawab mendidik adalah tanggungjawab mulia dan besar ganjarannya di sisi Allah. Justeru, setiap anggota masyarakat dari pemimpin, rakyat dan seterusnya ibu bapa hendaklah memikul tanggungjawab mendidik generasi pewaris mereka nanti.

Sikap saling mengajar kepada perkara bermanfaat dan tegur menegur terhadap perkara yang silap sewajarnya terhias dalam setiap anggota masyarakat. Dengan itu, barulah masyarakat Islam terhindar daripada sebarang kemelut dan krisis moral yang meruncing.

No comments: