Monday, May 18, 2009

Gurau senda melampaui batas jejas keharmonian masyarakat

Oleh Nazri Hussein

BUDAYA bergurau senda secara melampau batas mula menjadi amalan di kalangan pelajar serta remaja. Antara budaya bergurau yang cukup popular sejak dulu ialah buli yang banyak diamalkan pelajar sekolah berasrama.

Walaupun niatnya baik iaitu hendak mendisiplinkan pelajar baru, amalan yang keterlaluan itu boleh menimbulkan kesan negatif. Banyak kes jenayah di kalangan remaja seperti buli, bergaduh, mencederakan rakan hatta membunuh dikesan berpunca daripada sikap gemar bergurau senda yang melampau batas serta tidak mengikut syariat ditetapkan Islam.

Islam agama yang mementingkan tatacara berakhlak serta tingkah laku beradab, menggariskan panduan dan etika ketika bergaul sesama rakan sebaya.

Menurut Imam al-Ghazali, antara aspek bergurau senda yang wajar dipelihara ialah seseorang perlu menjaga lidah daripada menutur perkataan boleh menyinggung, menjaga keaiban daripada terdedah kepada umum, tidak berdusta serta mengelak perbuatan mengumpat atau menabur fitnah.

Diriwayatkan Abdullah Amr, katanya seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW, orang Islam bagaimanakah paling baik? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang Islam yang paling baik serta dimuliakan Allah ialah di kalangan mereka yang menjaga orang Islam lain daripada bencana lidah dan perbuatannya."

Perbuatan bergurau secara keterlaluan sehingga mengaibkan orang lain amalan yang ditegah serta bertentangan dengan nilai murni diterapkan dalam masyarakat bagi memupuk toleransi dan persefahaman. Amalan keji seperti suka menyindir serta memberikan pelbagai gelaran buruk kepada seseorang perlu dijauhi kerana boleh mengundang prasangka buruk selain menimbulkan perasaan marah dan dendam. Akibatnya, masyarakat akan menjadi huru-hara dan kacau bilau.

Walaupun dari sudut psikologi, bergurau senda dapat meredakan tekanan perasaan disebabkan pelbagai musibah yang ditimpakan kepada seseorang, perlakuan itu jika melampau batas serta bertujuan menjauhi diri daripada mengingati Allah akan menjadi sia-sia.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanya hiburan yang melalaikan (gurau senda) serta permainan yang sementara." (Surah Hadid, ayat 20)

Rasulullah SAW ialah contoh terbaik yang sentiasa menjaga perilaku daripada perkara tidak bermanfaat, dipandang jelek serta boleh menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan sahabat. Dalam soal bergurau senda, Baginda mementingkan batas ditetapkan syarak serta meletakkan soal kebenaran sebagai perkara utama.

Menurut riwayat, sepanjang hidup Rasulullah SAW, Baginda hanya beberapa kali berjenaka dan bergurau senda di depan sahabat. Antara kisah menarik mengenai gurauan Baginda ialah ketika didatangi perempuan tua yang bertanya usia penghuni syurga.

Kata Baginda, semua penghuni syurga muda dan bukan mereka yang sudah lanjut usia. Perempuan itu menangis teresak-esak apabila memikirkan dirinya yang tidak berpeluang menjadi penghuni syurga.

Lantas, Rasulullah SAW yang hanya ingin bergurau menjelaskan perkara sebenar mengenai usia penghuni syurga yang sentiasa kekal muda tanpa bertambah umur sebagai tanda nikmat Allah kepada mereka. Penjelasan Baginda menceriakan wanita itu.

Malangnya, dalam soal pergaulan hidup seharian, tidak ramai yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan. Masih ramai yang mengamalkan gurauan melanggar sunnah, tidak beradab, mempunyai niat untuk mengaibkan serta sekadar ingin berseronok melalui jalan batil.

Keseronokan dan gurau senda melampaui batas adalah budaya yang dibawa Barat bagi melalaikan umat Islam daripada penghayatan serta perjuangan jihad sebenar.

Firman Allah bermaksud: "Adakah di antara kamu umat yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang membuat salah. Mereka itulah orang yang beruntung (menang)." (Surah al-Imran, ayat 104)

Budaya bergurau senda jika diamalkan tanpa lunas syariat dan sunnah boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat dan umat sejagat. Sehubungan itu, berhati-hati dalam setiap gerak dan tindakan supaya kita terhindar daripada sikap buruk dan tercela.

No comments: