Wednesday, May 6, 2009

Konsep wakaf sementara mampu tingkat nilai hartanah ummah

KONSEP wakaf ialah urusan menyerahkan kekayaan peribadi untuk dimanfaatkan masyarakat. Wakaf selalu dikaitkan dengan tanah perkuburan dan pondok teduhan yang biasa disediakan oleh mereka berkemampuan untuk faedah penduduk setempat.

Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia, memberi wakaf bermakna menyerahkan harta yang biasanya dalam bentuk tanah atau hartanah kepada Baitulmal atau Jabatan Agama Islam Negeri sebagai amanah untuk diuruskan bagi kebajikan seluruh umat.

Prinsip boleh ditekankan ialah apabila kita mempunyai harta kekayaan melebihi keperluan dan tidak dapat menguruskan kekayaan itu untuk faedah masyarakat umum, maka kita harus serahkan harta kekayaan kepada Baitulmal atau Jabatan Agama Islam Negeri untuk diuruskan bagi kepentingan ummah dengan matlamat mendapat ganjaran di akhirat.

Konsep wakaf boleh dikembangkan dengan menjadikannya institusi amanah bagi pihak umat Islam untuk memastikan kekayaan diperuntukkan kepada mereka dapat diuruskan lebih sempurna.

Bayangkan di sebuah negeri, jika kerajaan ingin memberikan bantuan yang berdaya maju, bantuan itu boleh disalurkan ke institusi wakaf dalam bentuk kurniaan di mana faedah atau pendapatan darinya diagihkan kepada semua sasaran penerima faedah.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar: “Saidina Umar membeli sekeping tanah. Beliau berjumpa Rasulullah SAW untuk meminta nasihat berkaitan dengannya. Beliau berkata: Ya Rasulullah, saya sudah membeli sekeping tanah di Khaibar. Saya belum pernah memiliki tanah yang begitu bernilai seperti ini. Jadi apakah yang patut saya lakukan ke atas tanah ini? Rasulullah SAW menjawab: Jika kamu suka, kamu boleh menyimpan hak milik tanah itu kekal di tangan kamu dan berikan hasilnya sebagai sedekah. Saidina Umar memberikan hasilnya sebagai sedekah dengan mengisytiharkan tanah itu tidak boleh dijual atau dipindah milik. Hasil pendapatannya diagihkan kepada kumpulan fakir miskin, sanak saudara terdekat, usaha pembebasan abdi dan apa juga program ke jalan Allah. Rasulullah SAW menjelaskan: Tidak berdosa untuk pentadbir tanah memakan sedikit hasil dari tanah itu (jumlah yang munasabah) atau jika mereka memberi makan rakan sejawat asal tidak menyorokkan harta itu untuk dirinya sendiri semata mata, iaitu untuk menyimpannya dengan matlamat menjadi kaya.”

Menurut Ibnu Aun, dalam prinsip wakaf apa yang penting ialah tanpa menyimpannya dengan niat untuk menjadi kaya. Harta kekayaan boleh diserahkan kepada Baitulmal dan Jabatan Agama Islam Negeri untuk diwakafkan secara kekal atau sementara. Mesir yang ada kepakaran dalam pelaksanaan sistem kehidupan Islam, menubuhkan kementerian khusus iaitu Kementerian Wakaf. Di Mesir, semua wakaf dihadkan tidak melebihi 30 tahun tetapi boleh diperbaharui.

Disebabkan tanah perkuburan adalah kawasan luas di tengah bandar raya, maka berjuta penduduk yang tidak mempunyai tempat tinggal memilih untuk tinggal atas tanah perkuburan yang diwakafkan keluarga kaya di Kaherah. Hartanah ini secara beransur-ansur berubah kegunaan apabila tempoh wakaf berakhir.

Kementerian wakaf mempunyai tanggungjawab besar untuk menguruskan harta wakaf bagi faedah kesejahteraan seluruh umat Islam khususnya yang berada di sekitar lokasi harta itu.

Banyak hartanah diwakafkan kepada masjid dan kemudian tidak diurus pengurus wakaf. Masalahnya ialah saiz dan had kegunaan hartanah ditetapkan pewakaf iaitu untuk tapak masjid dan kubur.

Ramai umat Islam berasa mereka tidak mampu untuk mewakafkan harta kerana ingin mewariskan harta mereka kepada anak. Jika konsep wakaf sementara boleh diperkenalkan, pasti lebih ramai umat Islam tampil ke depan.

Harta dalam bentuk tanah, wang, rumah dan lain-lain boleh diwakafkan untuk 20 hingga 30 tahun sementara menunggu diperlukan oleh pemiliknya. Harta wakaf itu boleh diuruskan secara berkesan oleh badan korporat sebagai pemegang amanah bagi memastikan ia mendatangkan hasil yang boleh dimanfaatkan untuk membangun umat Islam.

Harta wakaf dalam bentuk wang ringgit, tanah kosong, hartanah mahu pun harta intelektual boleh diwakafkan secara sementara untuk diuruskan permodalan wakaf dalam tempoh wakaf itu. Yang penting, hasil atau faedah disalurkan kepada kumpulan yang berhak.

Pemberi wakaf tidak terhad kepada individu Muslim, termasuk institusi, badan korporat dan badan kerajaan dengan andaian bahawa permodalan wakaf adalah badan profesional pengurus dana yang akan menjadi pemegang amanah kepada harta milik pemberi wakaf untuk manfaat kumpulan sasar ditetapkan.

Sambungan kertas kerja pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Prof Dr Barjoyai Bardai pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga

No comments: