Oleh Mohamad Sofee Razak
ISLAM agama tauhid yang menolak semua fahaman atau ideologi tidak berpaksikan kepada kewujudan Allah sebagai Tuhan sekalian alam. Akidah yang kukuh lagi utuh adalah teras kepada ajaran Islam dan oleh itu, sebarang ideologi bertentangan Islam perlu dijauhi.
Sebelum kehadiran Islam sudah wujud fahaman tidak bertuhan dan kini banyak fahaman moden seperti itu yang mendaulatkan kebebasan mutlak daripada prinsip ketuhanan serta agama.
Antara kefahaman sesat cukup popular dan mendapat perhatian ramai suatu ketika dulu yang kini semakin lemah ialah komunisme yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.
Komunisme dalam konteks praktikal dan intelektual ialah ideologi politik serta struktur sosioekonomi yang menggalakkan penubuhan masyarakat egalitarian, tanpa kelas, tanpa negara berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran harta secara umumnya.
Komunisme berteraskan Marxisme berkembang pesat selepas kejatuhan kerajaan Islam dan era pemerintahan kolonial sehingga berjaya menguasai banyak negara besar seperti China, Russia dan Cuba.
Era kegemilangan komunisme antara akhir Perang Dunia Kedua hingga 1990-an apabila komunisme berkuasa di Kesatuan Soviet. Ideologi itu juga berpandangan agama adalah racun yang boleh mengongkong pemikiran rakyat. Oleh itu, masjid dijadikan muzium dan umat Islam dilarang melaksanakan tuntutan agama.
Namun, zaman emas komunisme menuju kehancuran dan bakal runtuh apabila masyarakat dunia semakin menolak fahaman sesat itu. Di samping fahaman tidak bertuhan dan agama, Islam juga dalam hal ini menentang aliran komunisme yang memerangi kekayaan dan hak pemilikan individu terhadap harta meskipun diperoleh dengan cara sah dan halal. Pendekatan dan pemahaman ini bertentangan dengan amalan muamalah serta prinsip ekonomi Islam.
Ideologi tidak berakidah ini juga sangat bahaya kepada masyarakat kerana kemunculan semula gerakan senyap mengembalikan kegemilangannya semakin giat dilakukan terutama melalui medium internet seperti portal, blog, laman bual dan media lain yang semakin bertambah.
Itu adalah usaha meracuni pemikiran masyarakat terutama golongan intelektual dan generasi muda di seluruh dunia, tidak terlepas negara kita. Lebih membimbangkan apabila ada anak muda yang mula bersimpati dengan fahaman dan perjuangan fahaman tidak bertamadun ini.
Keadaan itu perlu dipantau segera supaya mereka tidak terpengaruh dengan fahaman salah dan tersesat lebih jauh.
Semua pihak perlu berganding bahu menghalang dan memastikan fahaman itu tidak menyerap ke dalam masyarakat.
Walaupun semua maklum fahaman ini gagal di kebanyakan negara, itu tidak bermakna ia gagal kerana masih ramai memujanya sehingga ada mengatakan komunisme tidak bersalahan dengan ajaran Islam, bahkan ada yang cuba mewujudkan konsep Komunisme Islam.
Oleh itu, sikap berwaspada perlu diberi penekanan dalam usaha menyekatnya daripada terus meracuni pemikiran masyarakat dan menggugat keamanan negara. Komunisme bukan saja bertentangan ajaran Islam malah, bertentangan prinsip Rukun Negara yang menekankan konsep kepercayaan kepada Tuhan.
Islam jelas menolak ideologi komunisme dan apa saja fahaman atau cara hidup yang menolak prinsip keadilan, kemakmuran dan kemanusiaan. Ada desakan pihak tertentu di negara ini untuk membenarkan pejuang fahaman sesat itu kembali ke negara atas dasar kemanusiaan.
Namun, demi memelihara kesucian Islam dan keamanan rakyat, biar apapun alasan diberikan dan pujuk rayu dilakukan, mereka yang bersimpati dengan pejuang serta ideologi itu tidak boleh dibiarkan bertapak semula dan berakar di negara kita.
Selepas apa berlaku di negara kita sebelum ini sehingga ribuan nyawa manusia yang tidak berdosa terkorban, membenarkan mereka pulang ke tanah air seolah-olah kemenangan moral dan pengiktirafan kepada perjuangan mereka.
Penulis ialah peguam bela dan peguam cara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment