Oleh Nik Mustapha Nik Hassan
Didik golongan berada memahami, bersedekah harta untuk kebajikan orang ramai
KAEDAH wakaf mempunyai ruang yang besar dalam membangun ekonomi masyarakat Islam di negara ini. Usaha penggemblengan wakaf adalah satu pendekatan yang sesuai dan berciri maju dalam menyusun masyarakat tempatan seterusnya membangun kekuatan ekonomi.
Dalam keadaan ekonomi mampan seperti beberapa tahun lalu, ada banyak golongan kaya dan peluang untuk mereka mewakafkan harta juga besar. Tambahan, ibadat wakaf sangat dekat di hati umat Islam, khususnya bangsa Melayu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila mati anak Adam, semua amalannya berakhir kecuali tiga; sedekah jariah, ilmu yang dapat dimanfaatkan manusia dan anak salih yang sentiasa mendoakan kepadanya." (Hadis riwayat Muslim)
Walaupun amalan wakaf tidak diwajibkan, ia satu ibadat yang pahalanya berterusan untuk peserta walaupun sudah meninggal dunia. Amalan sedekah menggalakkan umat Islam menyumbang sebahagian harta mereka untuk membangun masyarakat seperti pembinaan masjid, hospital serta rumah tumpangan orang miskin.
Wakaf turut berperanan membangun ekonomi ummah melalui pembinaan sekolah, universiti, pusat latihan untuk umat Islam menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Universiti Al-Azhar dibina melalui kaedah wakaf dan beberapa projek terkemuka zaman silam seperti Masjid Nabi di Madinah adalah contoh amalan wakaf.
Pendekatan kaedah wakaf turut mempengaruhi masyarakat Barat pada zaman Perang Salib. Bahkan di England, universiti terkenal seperti Universiti Oxford dibangun atas kaedah wakaf (dana amanah).
Amalan mewakafkan harta adalah kaedah untuk menyokong amalan fardu dalam Islam seperti zakat. Ibadat wakaf mendidik umat Islam bahawa setiap individu yang kaya mempunyai tanggungjawab sosial di samping zakat untuk membangun kesejahteraan ummah.
Menepati semangat pembangunan masyarakat, individu Muslim bukan saja berperanan menjamin kesejahteraan diri dan keluarga, bahkan turut sama mempunyai peranan menjamin kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Kesejahteraan ummah secara menyeluruh jika tercapai akan mewujudkan suasana masyarakat yang aman serta keadaan ekonomi kukuh, seterusnya mampu mencetus pembangunan ekonomi secara berterusan.
Islam mengambil pendekatan bahawa pembangunan ekonomi perlu disertai dan disumbang oleh setiap ahli masyarakat. Justeru, peluang untuk menyumbang kepada aktiviti ekonomi perlu disusun dan dicetus di kalangan semua ahli masyarakat.
Usaha mencetuskan pembabitan itu tidak terhad kepada sektor awam dan peniaga, tetapi boleh dimainkan individu perseorangan atau institusi berkemampuan. Melalui institusi dan kaedah wakaf, peranan itu dapat disumbang oleh orang perseorangan dan institusi.
Ibadat wakaf menanamkan semangat sedia berkorban dan memupuk budaya muafakat serta kerjasama golongan yang berada dalam pembangunan masyarakat. Semangat itu penting untuk pembangunan ekonomi berteraskan semangat muafakat.
Pendekatan Islam dalam menyusun ekonomi bernegara dipengaruhi prinsip keadilan dan ihsan. Keadilan dalam amalan wakaf diterjemahkan melalui perasaan tanggungjawab golongan berada kepada tindakan sukarela untuk mencetus lebih banyak aktiviti ekonomi bagi dimanfaatkan masyarakat umum.
Justeru, kaedah wakaf perlu ditingkatkan untuk penyertaan umat Islam. Melalui penyertaan wakaf ia bukan saja mampu menolong golongan kurang bernasib baik tetapi mendidik golongan berada menghayati konsep pemilikan harta mengikut Islam.
Kefahaman Islam menuntut bahawa dalam harta golongan berada itu ada hak golongan miskin walaupun golongan kaya sudah membayar zakat. Allah berfirman yang bermaksdu: "Dan pada harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian." (Surah adz-Dzaariyat, ayat 19)
Bagi menggalakkan ummah menyertai ibadat wakaf, ulama, cendekiawan Islam dan pentadbir institusi wakaf perlu sentiasa memikirkan kaedah serta pendekatan yang berkesan untuk menarik minat menyertai ibadat wakaf.
Mereka juga perlu mengutarakan pandangan mengenai projek wakaf yang perlu dibangunkan dan bagaimana pengurusan serta pentadbiran projek dengan penuh ketulusan itu mampu dibangunkan sebagai bukti kaedah wakaf berpera-nan membangun ummah secara berkesan.
Melalui contoh kejayaan institusi wakaf membangun ekonomi ummah, lebih ramai masyarakat Islam akan mewakafkan harta mereka. Usaha projek wakaf melengkapi usaha pemerintah membekal kemudahan kepada rakyat.
Di beberapa negeri umpamanya, wakaf dalam bentuk saham diperkenalkan untuk membiayai projek wakaf khas dan wakaf am. Pendekatan itu memudahkan umat Islam menyertai amalan wakaf melalui pembelian saham wakaf.
Pendekatan lain juga perlu difikirkan, contohnya pembinaan asrama atau rumah tumpangan untuk pekerja wanita Islam di kawasan perindustrian. Memandangkan kos sewa rumah di kawasan perindustrian agak mahal, adalah lebih baik harta wakaf mendirikan bangunan bagi kemudahan pekerja berkenaan dengan kadar sewa murah.
Asrama wakaf juga boleh dibina untuk menampung perumahan pelajar Muslim di sekitar universiti atau institusi profesional. Melalui projek daripada dana wakaf, peluang menambah jumlah umat Islam melanjutkan pelajaran terus meningkat.
Pada masa ini, kos penginapan untuk pelajar universiti meningkat kerana kemudahan asrama sangat terhad. Kejayaan ini sekali gus menambah lebih ramai tenaga pekerja Muslim berpendidikan tinggi dapat dibekalkan.
Projek bilik bacaan juga boleh dirancang, khususnya di kawasan perumahan murah. Keselesaan untuk menelaah pelajaran akan meningkat prestasi pelajar cemerlang di kalangan golongan berpendapatan rendah.
Banyak projek wakaf lain dapat difikirkan untuk keperluan umat Islam. Perancangan berbentuk proaktif menepati ajaran Islam dan hasil perancangan berkesan perlu dihebahkan kepada masyarakat umum semoga lebih ramai golongan berada akan tampil menyertai projek wakaf.
Menjadi satu amanah dan tanggungjawab besar kepada semua pegawai institusi wakaf semoga tanggungjawab mereka dapat dilaksana dengan lebih berkesan demi kesejahteraan ummah.
Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment