Saturday, May 16, 2009

Media elektronik wadah berkesan sebar dakwah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Penajaan sektor koporat bagi program keagamaan mampu tingkat keuntungan, keberkatan

PIHAK swasta dan korporat diminta menaja program keagamaan bagi menyemarakkan lagi usaha dakwah melalui media elektronik kerana selain nilai komersial melalui penajaan, langkah itu sebagai cara menambah keberkatan kepada syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata program keagamaan banyak memberi pengajaran sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada penonton yang mengambil iktibar daripada program berkenaan.

Katanya, penajaan pihak swasta dan korporat memberi nilai tambah kerana imbuhan yang disediakan jika ada, mampu menarik minat penonton mengikuti serta menimba pengetahuan daripada maklumat disampaikan.

"Program keagamaan sentiasa dinantikan penonton yang sukakan kepada pembangunan minda untuk membentuk individu berjiwa kasih sayang dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Tajaan pihak swasta dan korporat akan memberi nilai komersial.

"Lebih penting ialah jika program itu menjadi ikutan, bayangkan berapa ramai yang akan mendapat pengajaran. Tidak semestinya kesedaran itu secara terus, mungkin program menjadi panduan dalam kehidupan dan itu satu proses pendidikan. Ini akan beri keberkatan kepada pihak yang menaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kuiz Al-Risaalah - Berita Harian di Sri Pentas, Damansara. Majlis penyampaian hadiah itu disiarkan secara langsung melalui program Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bokhari Che Muda; Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin; Pengarah Urusan Darul Fikir, Datuk Mohd Zaki Ahmad; Pengarah Limatic Travel and Tours Sdn Bhd, Datin Nor Hanida Samsun Baharun dan Pengarah Eksekutif CSL Sdn Bhd.

Pembantu Tadbir Kewangan Hospital Parit Buntar, Mohd Faisal Ahmad Mansor, 38, melahirkan rasa syukur kerana diumumkan sebagai pemenang hadiah utama iaitu kereta Perodua Viva berharga RM28,000 tajaan Darul Fikir Sdn Bhd.

Katanya, berdasarkan maklumat melalui akhbar mengenai penjurian kuiz berkenaan, beliau tidak yakin nasib akan menyebelahinya kerana menyedari saingan hebat daripada peserta lain yang pastinya tekun mengikuti program berkenaan selama sebulan.

"Ketika dimaklumkan bahawa saya tersenarai antara lapan pemenang, saya kata hadiah sagu hati pun sudah memadai. Apabila tinggal saya seorang saja menanti pengumuman hadiah utama, saya bersyukur sangat," katanya.

Beliau yang tidak pernah ketinggalan menonton Al-Risaalah 2 yang disiarkan jam 10.30 malam setiap hari sepanjang Ramadan lalu memang meminati siri dokumentari yang menyingkap kisah nabi dan rasul dalam usaha mereka mengembangkan ajaran Islam.

Bagi jurutera bangunan, Norhisham Idris, 33, hadiah tempat kedua iaitu pakej umrah yang diterima adalah hadiah ulang tahun perkahwinan yang disambut bulan ini bersama isteri, Siti Nurul Ain Abdul Hamid.

Beliau yang menghantar lapan borang penyertaan tidak menyangka akan terpilih sebagai seorang daripada tiga pemenang hadiah utama kerana pernah terlepas beberapa siri program Al-Risaalah 2.

"Sebenarnya saya tak yakin dengan jawapan yang diberi kerana ada beberapa siri yang saya terlepas menonton dan sebab itu saya hantar lapan borang penyertaan. Tetapi, semua ahli keluarga menonton dan mereka bantu mencari jawapan," katanya.

Katanya, disebabkan pakej umrah 12 hari 10 malam yang ditawarkan hanya untuk seorang, beliau akan menampung kos menunaikan umrah untuk isterinya supaya mereka dapat pergi bersama.

Sementara itu, pemenang hadiah ketiga yang menawarkan tambang menunaikan umrah, Noor Aini Mohd Rashid, 50, berkata penyertaan beliau sekadar memenuhi minat menonton program Al-Risalaah 2 yang banyak memaparkan tempat bersejarah.

"Jika hendak pergi sendiri ke tempat itu bukan senang dan apabila Al-Risaalah siarkan apa yang ada di sana, itu sesuatu yang besar manfaatnya buat saya. Jika tidak, bila agaknya saya dapat melihat batu kesan pukulan tongkat Nabi Musa," katanya.

Selain hadiah utama, ketiga-tiga pemenang turut menerima hadiah telefon bimbit tajaan CSL Sdn Bhd yang turut menaja hadiah untuk lima penerima sagu hati.

Pengadilan kuiz dilakukan juri diketuai Pengurus Projek Khas TV9, Che Wan Alias Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Hadhari, Wan Abdul Hamid Wan Teh; Pensyarah Pengajian Islam Universiti Malaya, Roslan Mohamed; Pengarah Limatic Travel and Tours Sdn Bhd, Datin Nor Hanida Samsun Baharun; Pengurus Limatic Travel and Tours Sdn Bhd, Nur Hasmiza Salleh dan Penolong Pengarang Unit Khas Berita Harian, Muhd Yusof Abu Bakar.

Pemilihan pemenang berdasarkan semua jawapan yang betul dan slogan terbaik. Keputusan disahkan Juruaudit Dalaman Media Prima, Nur Hazwani Abdul Halim.

Kuiz Al-Risaalah memerlukan peserta mengumpul 30 soalan yang disiarkan dalam Berita Harian dan Berita Minggu sepanjang Ramadan lalu. Peserta juga perlu melengkapkan slogan tidak lebih 15 perkataan.

Penganjur memilih 96 penyertaan dan menyenarai pendek 33 daripada jumlah itu yang memberi jawapan tepat bagi semua soalan dikemukakan.

Kuiz al-Risaalah kali ini agak mencabar kerana penonton bukan menjawab soalan sebaliknya perlu memadankan gambar yang disiarkan pada borang kuiz berdasarkan episod dan gambar berkenaan tidak menurut urutan.

Program Al-Risaalah 2 bertemakan Musa-Kalimullah adalah kesinambungan daripada kisah nabi yang disiarkan program Al-Risaalah musim pertama yang memaparkan cerita 12 nabi bermula dengan Nabi Adam hingga Nabi Ayub.

Al-Risaalah 2 menyingkap kisah sembilan nabi iaitu Nabi Syuib, Nabi Musa, Ilyasa', Zulkifli, Harun, Daud, Sulaiman, Ilyas dan Yunus. Sebanyak lapan episod menumpukan riwayat hidup Nabi Musa yang menjadi tema program itu.

1 comment:

Unknown said...

i need your info on someone can u help me