Friday, May 15, 2009

Ibu, bapa mualaf boleh mengislamkan anak

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharaian.com.my

MENEPATI saranan pengerusi forum Anak Mualaf dalam Syarak, Datuk Dr Ismail Ibrahim, perbincangan mengenai isu status anak apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam berjaya dikupas ahli forum secara ilmiah bukan mengikut emosi.

Beliau yang juga Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari (Hadhari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, isu yang sudah diputuskan Kabinet tetapi belum dijadikan undang-undang itu perlu dihadamkan sebaiknya ke arah mencari penyelesaian terbaik.

“Perbincangan ini bukan maklum balas secara langsung terhadap keputusan Kabinet tetapi lebih kepada memahami situasi ini bersandarkan kepada dalil, hujah serta pandangan mazhab untuk mendapatkan fakta jelas,” katanya.

Penasihat Perundangan Syariah Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, ada hujah jelas dalam al-Quran dan hadis yang boleh dirujuk mengenai kedudukan anak yang belum akil baligh apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam.

Ahli panel pertama untuk forum Anak Mualaf dalam Syarak anjuran Hadhari UKM itu mengemukakan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Dalil al-Quran pula ialah firman Allah SWT dalam surah Tur, ayat 21 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakan.”

Justeru katanya, adalah tidak wajar mengatakan tidak ada alasan atau hujah daripada al-Quran dan hadis berhubung isu berkenaan kerana nas tadi sudah memadai untuk berhujah mengenai status anak yang ibu bapanya atau salah seorang memeluk Islam.

Sheikh Ghazali turut memberitahu sidang forum, merujuk Enakmen Hukum Syarak Selangor 1952 ada peruntukan yang menyebut bahawa seorang yang memeluk Islam, anaknya secara automatik adalah Islam.

Bagaimanapun, selepas negara mencapai kemerdekaan, satu perlembagaan digubal yang memperuntukkan jika ibu atau bapa memeluk Islam, anak tidak automatik Islam tetapi ibu atau bapa boleh memohon di mahkamah.

“Dulu penjajah tidak kacau dalam perkara membabitkan hukum Islam dan menyerahkan segala-galanya kepada orang Islam. Sebab itu kita boleh buat peruntukan seperti dalam Enakmen Hukum Syarak Selangor 1952. Peruntukan itu mengikut Mazhab Syafie,” katanya.

Menerangkan mengikut hukum syarak pula, beliau berkata, jumhur fuqaha berpendapat anak mengikut ibu bapa atau salah seorang yang memeluk Islam iaitu mana yang lebih baik bagi agamanya dan Islam adalah lebih baik.

Mengulas dari sudut perundangan, Setiausaha Agung Peguam Pembela Islam, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kes R Subashini lawan T Saravanan adalah rujukan jelas kerana Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi negara memutuskan bapa kanak-kanak mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Atau dalam erti kata lain, berdasarkan kepada penjelasan Zainul Rijal itu, bolehlah dibuat kesimpulan ibu atau bapa yang memeluk Islam boleh mengislamkan anak mereka walaupun salah seorang tidak bersetuju dengan pengislaman itu.

Jika begitu ketetapannya, kenapa masih timbul masalah mengenai kedudukan atau status agama anak apabila salah seorang pasangan suami isteri itu memeluk Islam sedangkan peruntukan undang-undang serta hujah sudah ada.

Jawapan yang seakan dipersetujui semua ahli forum yang berada di dalam Dewan Senat UKM itu ialah, isu berkenaan tidak dapat diselesaikan kerana bukan Islam tidak mengiktiraf kewujudan Mahkamah Syariah.

Malah, menurut Zainul Rijal, usaha memanggil pihak yang bertikai ke Mahkamah Syariah untuk mendapat keputusan yang adil juga gagal kerana bukan Islam beranggapan keputusan akan mengikat orang bukan Islam tertakluk di bawah undang-undang Islam.

Sedangkan, ada bukti menunjukkan tidak semua keputusan memihak kepada orang Islam seperti kes Nyonya Tahir di mana Mahkamah Tinggi Syariah Seremban membuat keputusan bahawa beliau bukan Islam pada saat kematiannya.

Keputusan itu dibuat selepas mendengar hujah yang dikemukakan waris Nyonya Tahir yang datang ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban untuk membantu pihak mahkamah membuat keputusan yang adil.

“Usaha perlu dibuat bagi menjelaskan kepada bukan Islam bahawa undang-undang Islam adalah untuk mencari keputusan adil kepada dua belah pihak, mungkin kita dapat mengubah pandangan bukan Islam terhadap Mahkamah Syariah.

“Kita tidak boleh hukum bukan Islam kerana kecetekan mereka mengenai undang-undang syariah ini kerana jika mereka tahu serta faham, tidak mustahil mereka akan lebih selesa dengan undang-undang Islam nanti,” katanya.

Ada juga pandangan bahawa isu itu boleh diselesaikan jika seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, yang jika salah seorang pasangan itu memeluk Islam, pasangan yang tidak memeluk Islam boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan menurut seksyen berkenaan selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam.

Ini bermakna petisyen perceraian atas alasan pemelukan agama Islam hanya boleh difailkan pasangan yang tidak memeluk agama Islam saja. Selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian, perkahwinan sivil bersama pasangan yang memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta itu.

Jelaslah di sini ketidakadilan berlaku kepada pasangan yang memeluk Islam memandangkan beliau langsung tidak mempunyai hak untuk mengambil tindakan atau mencabar keputusan (locus standi) untuk memfailkan petisyen perceraian berdasarkan seksyen berkenaan.

Sebaliknya, jika seksyen berkenaan dipinda yang membenarkan pasangan memeluk Islam juga boleh memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil untuk membubarkan perkahwinan, ia dilihat sebagai satu cara menyelesaikan masalah itu.

Namun bagi Zainul Rijal, perkara itu boleh diselesaikan menurut Jadual Kesembilan Senarai 2 Butiran I Perlembagaan Persekutuan iaitu Mahkamah Syariah boleh membuat penentuan sesuatu perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.

Katanya, seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menepati semangat Perlembagaan Persekutuan dengan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membuat penentuan mengikut hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan itu.

Beliau turut menimbulkan pertanyaan apakah jaminan pasangan yang sudah memeluk Islam itu boleh mengamalkan ajaran agama termasuk amalan undang-undang diri jika perkara berkenaan di bawa ke Mahkamah Sivil.

“Saya agak keberatan jika kes itu dibawa ke Mahkamah Sivil kerana akan ada hakisan hak kebebasan beragama di sana nanti. Kita selalu melihat dalam konteks bukan Islam dalam hal mengamalkan agama mereka,” katanya.

Masalahnya kini, jika kedua-dua mahkamah menutup pintu, apakah alternatif yang ada untuk menyelesaikan isu status anak yang ibu atau bapanya memeluk Islam apabila pertikaian antara ibu bapa juga gagal diselesaikan.

Hakikatnya, membawa orang bukan Islam ke Mahkamah Syariah bukanlah suatu perkara mudah dan begitu juga keraguan orang Islam akan hak mereka apabila kes dibicarakan di Mahkamah Sivil. Sampai bila agaknya isu ini akan berlarutan.

Masih banyak undang-undang di negara ini yang bercanggah dengan undang-undang Islam yang memerlukan usaha diambil bagi meminda undang-undang itu supaya selaras atau tidak bertentangan dengan undang-undang Islam.

Mungkin dalam tempoh terdekat, Hadhari UKM yang menganjurkan forum Anak Mualaf dalam Syarak dapat melakukan sesuatu berbekalkan fakta diperoleh daripada perbincangan seperti kata Dr Ismail, Hadhari akan berbincang cara untuk menyampaikan perkara ini ke pihak kerajaan.

No comments: