Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
AL-QURAN mempunyai pelbagai hikmah, pengajaran, sejarah, kisah perjuangan anbia dan perkhabaran ghaib yang pasti menjanjikan kesejahteraan, kebahagiaan, kesejahteraan hidup insan dunia dan akhirat.
Membaca al-Quran dengan penuh penghayatan berbeza membacanya tanpa matlamat. Menghayati kandungan al-Quran memberi kelebihan apatah lagi jika dapat difahami suruhan serta tegahan terkandung dalamnya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya sudah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkannya. Dengan kitab itulah Allah memimpin orang yang mengikuti keredaan-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 15-16)
Sebagai pemimpin kepada anak yang sedang dewasa, ibu bapa wajar membimbing mereka menjadi generasi celik al-Quran selaras usaha kerajaan melalui program Program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) yang diajar di sekolah rendah.
Matlamat program j-QAF ialah melatih anak dan remaja membaca al-Quran dengan sempurna, menulis semula ayat yang sudah dibaca, memberi kefahaman mengenai isi kandungan al-Quran, melatih menghafaz ayat al-Quran serta mendalami al-Quran dalam kehidupan seharian.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami memudahkan al-Quran untuk diingati, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?” (Surah al-Qamar, ayat 17)
Namun, apa yang perlu diberi perhatian ialah ibu bapa perlu terlebih dulu celik al-Quran dan turut melengkapkan diri mempelajari serta mendalami al-Quran supaya dapat mendidik anak dengan kaedah yang betul.
Kita sedih melihat generasi Islam sekarang lebih mudah dan gemar menghafaz lirik lagu termasuk dalam bahasa asing walaupun mereka tidak memahami apa yang dihafalkan, sedangkan ayat al-Quran tidak meluncur lancar di bibir mereka.
Inilah pentingnya didikan awal kerana asas yang tertanam dalam diri anak tunjangnya bermula daripada didikan, teladan dan amalan yang dapat mereka lihat di sekeliling.
Barangkali kerana kealpaan terhadap al-Quran, ramai anak muda yang dibelenggu masalah diri, keluarga atau rakan lebih senang mengambil tindakan bertentangan ajaran agama konon untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi.
Ada terbabit dengan arak, dadah, pil khayal, lari dari rumah, ponteng dan pelbagai kegiatan jenayah lain sebagai cara membebaskan diri daripada masalah serta tekanan.
Padahal pada saat begini mereka boleh kembali mencari diri, ketenangan dan kekuatan dengan membaca al-Quran atau sekurang-kurangnya mendengar alunan bacaan ayat suci itu.
Firman Allah bermaksud: “Dan kami turunkan kepadamu kitab untuk menjelaskan sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri kepada Allah.” (Surah al-Nahl, ayat 89)
Membaca al-Quran adalah ibadat. Allah memberi ganjaran pahala jika usaha memartabatkan isi kandungannya dapat diamalkan bersama.
Antara kaedah mudah boleh dimulakan ibu bapa mendekatkan diri dengan al-Quran ialah:
# Mengkhususkan masa antara Maghrib dan Isyak untuk bersama keluarga bertadarus al-Quran. Selain dapat membetulkan bacaan antara satu sama lain, ia juga merapatkan hubungan kekeluargaan.
# Seandainya ibu bapa tidak mahir membaca al-Quran, dapatkan guru yang mampu membantu ahli keluarga membaca ayat suci itu dengan betul dan tepat.
# Semarakkan kehidupan berkeluarga dengan bercerita kisah nabi daripada al-Quran. Setiap ahli keluarga boleh bergilir bercerita.
# Jika bermusafir, biasakan mendengar rakaman bacaan ayat suci al-Quran atau alunan zikir.
# Tidurlah dengan alunan bacaan ayat al-Quran. Biasakan menidurkan anak dengan lafaz ayat al-Quran.
Apabila bibir sentiasa dibasahi bacaan al-Quran, ia menjadi sebati dalam jiwa seseorang. Ia akan mengalir bersama darah, menjalar ke seluruh urat saraf dan kesannya akan terpamer melalui ketrampilan diri, peribadi dan perwatakan. Inilah individu generasi al-Quran.
Saturday, May 30, 2009
Celik al-Quran jadi syarat penting tarbiah anak
Labels:
(A) Wan Marzuki Wan Ramli,
Al-Qur'an,
Anak,
Tarbiah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment