Saturday, May 2, 2009

Islam tentukan hak anak sejak dalam kandungan

Kehidupan sebagai kanak-kanak perlu dihormati, bukan dieksploitasi untuk meraih untung

MENURUT Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dianggarkan lebih 200 juta buruh kanak-kanak berumur antara lima hingga 17 tahun menjalankan tugas buruh kasar di seluruh dunia. Daripada jumlah itu 122.3 juta buruh kanak-kanak di Asia-Pasifik, 49.3 juta di tengah dan utara benua Afrika, 5.7 juta di benua Amerika Latin dan selebihnya di kawasan lain. Kebanyakan buruh kanak-kanak bekerja di luar bandar dalam bidang pertanian, perladangan, perindustrian dan perkhidmatan lain.

Menurut sumber Pemantauan Hak Asasi Manusia, kini 120 juta kanak-kanak terbabit sepenuh masa menjadi buruh. Menurut pemantau itu, tiga suku buruh kanak-kanak bekerja dalam keadaan amat menyedihkan kerana upah tidak sepadan, tempat kerja kotor, eksploitasi seks, tempoh kerja panjang dan buruh paksa. Laporan pemantau itu juga menyebut kanak-kanak itu bekerja demi sesuap nasi dan membantu keluarga yang hidup dalam kemiskinan. Apa yang nyata kewujudan buruh kanak-kanak menyentuh hak asasi mereka.

Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan kanak-kanak perlu dilayan sebagai manusia yang berhak seperti orang dewasa iaitu berhak bersama ibu bapa, mendapat keperluan asas harian, pendidikan, penjagaan kesihatan, hak perlindungan daripada tuduhan kesalahan jenayah dan hak memenuhi keperluan pertumbuhannya.

Persoalan besar ialah apakah pandangan Islam mengenai kedudukan buruh kanak-kanak? Islam memperuntukkan hak asasi tertentu kepada kanak-kanak merangkumi sebelum dan selepas anak dilahirkan.

Persidangan Akademi Fiqh Islam Sedunia ke-12 anjuran Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) di Riyadh, Arab Saudi pada 23 hingga 28 September 2000 menetapkan hak asasi kanak-kanak Islam berdasarkan hukum syarak antaranya:

* Menjadi tanggungjawab ibu bapa menjaga anak dalam kandungan daripada kecederaan.

* Anak dalam kandungan berhak hidup. Oleh itu, pengguguran atau perbuatan yang boleh menggugurkan kandungan tanpa alasan syarak adalah dilarang.

* Anak berhak dari segi fizikal dan moral. Hak fizikal termasuk pemilikan sesuatu, menerima pesaka dan wasiat, menderma dan menerima kurniaan. Hak moral pula ialah mempunyai nama yang baik, mengetahui siapa ibu bapanya, mengetahui ahli waris terdekat, bimbingan agama, pendidikan, kemahiran dan latihan sebagai persediaan menghadapi masa depan.

* Kanak-kanak yang tidak bernasib baik seperti kurang upaya atau anak yatim mempunyai hak sama seperti kanak-kanak lain.

* Kanak-kanak berumur dua tahun pertama berhak mendapat penyusuan penuh daripada ibu.

* Islam melarang ibu bapa dan masyarakat mengeksploitasi kanak-kanak sebagai buruh pertanian, perladangan, perindustrian dan perkhidmatan lain.

* Islam menganggap menyalahgunakan hak agama, membahayakan nyawa, mengeksploitasi seks, menyalahguna harta dan mendera pemikiran kanak-kanak sebagai tindakan zalim.


Islam memberi perhatian berat mengenai hak asasi kanak-kanak. Allah memerintahkan bapa atau suami yang menceraikan isteri mengandung supaya memberi nafkah secukupnya sehingga anak lahir, memberi upah kepada penjaga bayi dan berunding sewajarnya untuk menjaga kebajikan bayi itu.

Islam melarang membunuh anak kerana takut ditimpa kemiskinan seperti firman Allah yang bermaksud: "Jangan kamu membunuh anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan besar." (Surah al-Israa', ayat 31)

Ketika mengulas hak asasi kanak-kanak, Rasulullah SAW bersabda: "Pada dasarnya anak berada dalam keadaan suci tetapi ibu bapa yang akan mencorakkan status peribadinya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kehidupan kanak-kanak pada dasarnya adalah tempoh paling menyeronokkan kerana ketika itulah mereka dapat bermain, berkawan dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah. Pada masa sama menjadi kewajipan ibu bapa dan kerabatnya memberi pendidikan serta bimbingan sebagai langkah mengukuhkan modal insan bagi mengharungi kehidupan dunia penuh mencabar. Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradawi ketika memberi fatwa dalam Islam online menyatakan, antara hak asasi kanak-kanak ialah berhak menikmati dunia kehidupan kanak-kanak yang penuh warna-warni keseronokan.

Mereka tidak berhak memikul tanggungjawab seperti orang dewasa kerana ia memberi kesan buruk kepada masa depan mereka. Kanak-kanak berhak mendapat pendidikan secukupnya, malah perhatian khusus perlu diberikan kepada mereka supaya pembangunan fizikal dan mental berupaya menjadikannya manusia dihormati.

Menurut al-Qaradawi, haram mengabaikan pendidikan anak tanpa sebab dibenarkan. Bagaimanapun kanak-kanak boleh menolong ibu bapa mereka bekerja. Demikian juga jika ibu bapa hidup dalam kemiskinan dan tidak mampu memenuhi keperluan asas, maka Islam mengharuskan kanak-kanak bekerja dengan syarat sesuai keupayaannya dan tidak menjejaskan kemampuan fizikal mereka.

Sebagai menghormati hak asasi kanak-kanak, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Berlaku adil kamu terhadap anak kamu, berlaku adil terhadap anak kamu, berlaku adil terhadap anak kamu." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

No comments: