Ustaz Zahazan Mohamed
Kegawatan ekonomi masa kini mengundang pelbagai kesukaran seperti ada yang dibuang kerja serta terpaksa mengehadkan perbelanjaan harian. Apakah amalan atau bacaan yang paling baik dilakukan ketika berdepan kesukaran seperti ini?
Hamba Allah
Pulau Pinang
Pada hemat saya, soalan yang dikemukakan ini amat berkaitan dengan isu keberkatan dalam rezeki. Menurut sebuah hadis yang diriwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Hakim, Ali ra sudah mewasiatkan kepada mereka yang menanggung hutang agar mengamalkan doa bermaksud: “Ya Allah, cukupkan aku dengan yang halal daripada mencari yang haram dan kayakan aku dengan kelebihan-Mu, daripada meminta-minta kepada selain-Mu.” Ali ra sudah menjelaskan bahawa Nabi SAW menjanjikan bahawa seseorang yang berhutang walaupun sebesar Bukit Sabir sekalipun, akan diberi kemampuan untuk menjelaskannya.( Riwayat al-Tirmizi 3911, al-Hakim no 1929, dianggap sebagai sahih olehnya).
Salah satu kelebihan dalam Islam sebagai satu cara hidup yang selari dengan tuntutan zaman ini ialah Islam amat menghargai harta. Umat Islam dituntut untuk hidup mulia dan tidak meminta-minta. Nabi SAW bersabda dalam hadis yang sahih, bermaksud: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah.” ( Riwayat al-Bukhari no 1429, Muslim no 2432).
Analogi yang diberikan oleh Nabi adalah untuk menampakkan ketinggian pihak pemberi berbanding dengan pihak yang menerima. Tentulah pihak yang memberi ini adalah seseorang yang memiliki lebihan kewangan sehingga membolehkannya membantu pihak yang memerlukan.
Lebih menarik lagi, isu pemilikan harta dalam Islam turut membabitkan suatu aspek yang tidak ada dalam ideologi lain iaitu keberkatan. Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat ke 96 yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu keberkatan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.”
Keberkatan yang berasal daripada perkataan birkat, dalam bahasa Arab merujuk pada kolam yang sifat airnya tenang dan stabil. Maka demikianlah juga bagi kehidupan yang dimaksudkan dalam Islam sebagai keberkatan iaitu anugerah Allah SWT dalam apa juga bentuk yang pada akhirnya memberikan ketenangan dan kebahagiaan kepadanya.
Menurut kajian yang dikemukakan, contohnya menerusi artikel ‘Sebab-sebab yang mengundang keberkatan umur dan keberkatan rezeki’ disiarkan majalah Universiti Islam Madinah bagi keluaran Ramadan 1423 Hijrah, ada beberapa perkara yang dicadangkan oleh Nabi saw yang membantu mendatangkan keberkatan rezeki seseorang iaitu paling utama, menjaga hubungan dengan Allah SWT. Ini berlaku dengan meningkatkan ketakwaan kepada-Nya, membanyakkan istighfar dan taubat kepada-Nya serta bertawakal dalam urusan hidup kepada-Nya.
Perkara ini jelas disebut menerusi surah Nuh ayat 10 yang bermaksud: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”
Al-Imam al-Qurtubiy menjelaskan, maksud hujan ialah keberkatan dari langit. Harta dan anak-anak pula merujuk kestabilan dan keberkatan.
Selain itu, umat Islam dituntut menjalin silaturahim kerana dalam hadis yang sahih, Nabi bersabda bermaksud: “Sesiapa yang inginkan kurniaan rezeki yang banyak dan dikurniakan umur yang panjang maka hendaklah dia menjalin hubungan silaturahim.”
Demikian juga ramai ulama cenderung mentafsirkan ayat hijrah dalam surah al-Nisa, ayat yang ke-100 sebagai galakan agar berpindah ke tempat lain yang menjanjikan penghidupan yang lebih baik. Dalam ayat yang dimaksudkan ini, Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah SWT, nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), sesungguhnya sudah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Menurut Ibnul Jawzi dalam tafsir Zad al-Masir, Ibn Abbas menjelaskan bahawa maksud saat dalam ayat ini iaitu rezeki yang banyak. Demikian juga pandangan daripada al-Dahhak, al-Rabi’ dan lain-lain.
Nasihat saya kepada saudara yang bertanya agar jagalah hubungan dengan Allah dan peliharalah hubungan dengan manusia agar memperoleh keberkatan. Ramai umat Islam menggantung ayat seribu dinar dengan tanggapan ia mengundang keberkatan. Sebenarnya ayat yang digantungkan itu tidak akan memberi sebarang manfaat kepada mereka yang tidak mengamalkan tuntutannya.
Di samping doa yang dianjurkan oleh Ali ra, latihlah diri kita supaya rajin mengerjakan solat sunat Dhuha kerana jaminan Allah bagi yang melaksanakan bahawa Allah akan menyempurnakan segala hajatnya. Amalan ayat ke-173 daripada surah Ali Imran juga ternyata boleh membantu meringankan tekanan dalam kehidupan. Semoga dengan mengamalkan panduan di atas membantu saudara dan umat Islam menghadapi tekanan ekonomi semasa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment