Saturday, May 9, 2009

Ekspedisi Kasih yakinkan Orang Asli mengenai Islam

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

CAWANGAN Dakwah Bukan Islam dan Orang Asli (DBIOA), Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan program 'Ekspedisi Kasih' ke Perkampungan Orang Asli di Pos Raya Simpang Pulai, Perak serta Pos Hendrop dan Tuel di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom, yang merasmikan program berkenaan, berkata jabatan dan agensi berkaitan perlu memperluaskan kegiatan bagi merapatkan hubungan masyarakat luar dengan Orang Asli.

Katanya, hubungan yang rapat perlu bagi memastikan Orang Asli mendapat bimbingan secara berterusan seterusnya memberi keyakinan untuk mereka mendalami agama Islam dengan lebih berkesan.

"Pelbagai program yang dianjurkan termasuk Ekspedisi Kasih ini diharap memberi kesan lebih baik kepada Orang Asli dan pada masa sama, membolehkan kita memperkenalkan kemuliaan Islam sebagai agama fitrah," katanya.

Pada majlis itu, Jamil Khir turut menyerahkan sumbangan kepada penduduk Kampung Orang Asli Pos Raya, Simpang, Pulai Perak.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim yang juga ketua Ekspedisi Kasih, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Othman Mustapha dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jakim, Mohd Noor Abd Hamid.

DBIOA adalah salah satu daripada empat cawangan dakwah di bawah Bahagian Dakwah Jakim yang ditubuhkan pada 1 Januari 1997 bertujuan melaksanakan kegiatan dakwah memperkenalkan Islam dan memberi kefahaman serta penjelasan mengenai Islam kepada bukan Islam.

Cawangan yang menjadikan bukan Islam dan Orang Asli sebagai kumpulan sasaran memastikan program ziarah serta pengenalan Islam dapat dilaksanakan melalui program pemantapan serta susulan yang dirancang.

Objektif DBIOA selain menarik lebih ramai Orang Asli dan bukan Islam memeluk Islam, cawangan itu juga membuat penyelidikan dan gerak saraf terhadap Orang Asli serta melaksanakan pengurusan penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).

Antara pendekatan DBIOA ialah mengadakan sambutan sempena hari-hari kebesaran Islam dan program khidmat masyarakat di perkampungan Orang Asli, mengendalikan bengkel, muzakarah, mesyuarat dan majlis mesra dengan saudara baru dan saudara yang belum Islam.

Konvoi Ekspedisi Kasih membabitkan 69 peserta menaiki 20 kenderaan pacuan empat roda bermula dari Putrajaya itu mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Majlis Agama Islam dan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Perak dan Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

Terbabit sama ialah Kementerian Kesihatan Malaysia, Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) Polis Diraja Malaysia, Hospital Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Hospital Pusrawi dan Angkatan Relawan Rakyat (Rela).

Seramai 45 Orang Asli di Pos Hendrop, Gua Musang, menyatakan keislaman mereka disaksikan Wan Mohamad yang kemudian menyempurnakan majlis syahadah itu. Sebelum itu, seramai tujuh Orang Asli memeluk Islam iaitu empat di Pos Raya, Simpang Pulai dan tiga di Pos Tuel, Gua Musang.

Pengislaman 76 Orang Asli sempena Ekspedisi Kasih dan sambutan baik daripada masyarakat Orang Asli membuktikan Islam mampu dikembangkan melalui program yang dilaksanakan secara terancang.

Program susulan adalah penting kerana sebagai saudara baru, banyak yang ingin dipelajari untuk mendalami ajaran Islam seterusnya menterjemahkannya dalam kehidupan harian mereka sebagai umat Islam.

No comments: