Wednesday, May 6, 2009

Hukuman jenayah syariah perlu dipertingkat

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

BARU-BARU ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom ketika merasmikan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), menyatakan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah mungkin dirombak dan ditingkatkan termasuk hukuman sebat dalam usaha kerajaan membendung peningkatan kesalahan itu.

Masyarakat Islam beranggapan hukuman dikenakan Mahkamah Syariah adalah rendah. Kebanyakan hukumannya ialah denda dan dianggap menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik jenayah syariah saban tahun kerana masyarakat beranggapan undang-undang syariah sesuatu yang remeh.

Malaysia ialah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, tetapi dari sudut kehakiman dan perundangan kita masih tidak dapat melihat keputusan menepati semangat uqubah dalam syariat Islam. Perkembangan yang boleh dibanggakan hanya penubuhan Mahkamah Syariah dan hukuman yang dikenakan masih boleh dipertikaikan.

Dalam konteks bidang kuasa jenayah, apa yang disebut sebagai dichotomy atau pertindihan dalam membicarakan kesalahan tertentu yang diperuntukkan mengikut enakmen kesalahan jenayah syariah dan seumpama dengannya di bawah akta Persekutuan lain.

Hukuman dikenakan dalam kes yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah juga ringan sehingga boleh dipandang sebelah mata dan dianggap remeh bagi mereka yang berada. Secara praktiknya hukuman dalam kes jenayah, dilihat tidak dilaksanakan sepenuhnya dengan tiada pelaksanaan hukuman sebatan dan akhirnya hukuman itu hanya di atas kertas dan sebagai syarat untuk memenuhi lacuna yang ada tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.

Hakikatnya dalam Islam, hukuman takzir boleh dikenakan dalam pelbagai bentuk sama ada ringan atau berat seperti amaran, celaan atau hukuman mengenai tubuh seperti penjara, buang daerah, sebat sehingga kepada bunuh.

Bahkan ada pendapat ulama mengatakan hukuman takzir boleh melebihi hukuman had. Denda dengan wang antara hukuman takzir di negara ini. Ada perbezaan pendapat ulama mengenainya.

Pendapat pertama mengatakan tindakan harus dikenakan hukuman dengan wang, sementara pendapat kedua mengatakan harus denda dengan wang. Pendapat ketiga mengatakan hanya diharuskan jika pesalah tidak bertaubat. Mengikut Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Yussof dan satu golongan pengikut mazhab Syafie mengharuskan denda dengan wang sebagai hukuman takzir. Ibnu Qayyim menyokong pendapat itu.

Kebanyakan kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri-Negeri dan Enakmen Kanun Kesalahan Syariah Negeri-Negeri adalah mencakupi secara umum jenis kesalahan takzir ke atas perbuatan maksiat dan kesalahan lain.

Sementara hukumannya pula dengan denda atau penjara atau sebatan. Jenis hukuman tidak terkeluar daripada hukuman takzir yang dianjurkan Islam termasuk denda. Bagaimanapun, Mahkamah Syariah tidak sepatutnya memusatkan hukuman kesalahan takzir kepada hukuman denda saja.

Umum mengetahui peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984 memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau enam kali sebatan. Walaupun hukuman ditingkatkan, belum ada kajian atau penulisan mengenai keberkesanan hukuman dalam membendung jenayah syariah.

Cadangan hukuman sebat dialu-alukan sebagai cara mengawal meningkatkan jenayah syariah di kalangan masyarakat Islam. Namun, tidak ramai yang tahu hakim Mahkamah Syariah juga mengambil pendekatan mengenakan pesalah jenayah syariah dengan hukuman sebatan. Namun, setakat pengetahuan penulis, hukuman sebat tidak pernah dijatuhkan terhadap pesalah kecuali di Kelantan dan Pahang.

Kes terbaru penjenayah syariah atas kesalahan minum minuman memabukkan didenda maksimum lima tahun dan enam kali sebatan di Pahang. Walaupun kes itu dalam proses rayuan oleh tertuduh, ia menunjukkan Mahkamah Syariah juga berani mengenakan hukuman selain denda dan penjara sebagai langkah pencegahan setakat had dibenarkan undang-undang.

Apabila Kelantan meluluskan kaedah hukuman sebat pada 1987, pesalah pertama dikenakan hukuman sebat disabitkan kesalahan meminum minuman memabukkan. Apabila hukuman dijatuhkan serta diberikan publisiti meluas di media cetak tempatan, tinjauan rambang dilakukan di kelab malam dan restoran yang menjual minuman keras. Didapati pemilik restoran dan premis hiburan membuat kesimpulan umat Islam di Kelantan mula bimbang untuk minum arak.

Harus diingat bidang kuasa Mahkamah Syariah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

Ini menunjukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad dengan peruntukan akta itu. Apabila Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1984 tidak dipinda, sudah pasti ia membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam perkara jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.

Umumnya, hukuman yang ditetapkan ke atas kesalahan diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah atau Enakmen Pentadbiran Hukum Syariah negeri adalah didahulukan dengan denda atau hukuman maliyah dan bukan bidaniyah.

Keadaan itu mendorong hakim Mahkamah Syariah lebih cenderung menghukum pesalah dengan denda sebagai hukuman pilihan. Keadaan itu membimbangkan kerana antara tujuan hukuman ialah memberi pengajaran dan pencegahan. Dikhuatiri jika keadaan ini terus berlaku di Mahkamah Syariah akan mengurangkan keberkesanan tujuan hukuman dikenakan.

Namun, mengharungi dunia yang semakin kompleks ini sewajarnya hukuman ditetapkan Mahkamah Syariah dikaji semula kerana kali terakhir ia dikaji adalah pada 1984. Selepas 25 tahun, suatu reformasi terhadap hukuman bagi kesalahan jenayah syariah perlu dirombak seberapa segera supaya orang ramai tidak memandang mudah terhadap kes jenayah syariah.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

No comments: