Wednesday, April 29, 2009

Perpaduan kukuh asas bentuk bangsa cemerlang

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Rapatkan segera saf untuk jadi ummah terbilang, angkat martabat Islam di mata dunia

PERPADUAN menjadi asas pembentukan negara, bangsa dan ummah terbilang. Rasulullah SAW menjadikan perpaduan asas pembentukan negara Islam Madinah dengan menyatukan kaum Aus serta mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.

Ini antara resipi kejayaan Baginda dalam proses membentuk negara Islam contoh, seterusnya melahirkan ummah terbaik.

Bermula daripada penyatuan individu kepada penyatuan warga negara Madinah dan umat Islam seluruhnya daripada segenap pelosok dunia. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang mukmin bagi orang mukmin yang lain itu laksana satu binaan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak dapat dinafikan sikap saling menolong dan membantu boleh memperkuatkan perpaduan ummah. Jika dilihat dalam konteks sejarah pembentukan negara Islam Madinah, persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar didasari semangat tolong-menolong sesama Muslim dalam memenuhi keperluan memulakan kehidupan baru.

Kehidupan lebih bermakna dan bahagia daripada tekanan dan cabaran dilalui oleh Muhajirin ketika di bumi Makkah. Semangat ini yang perlu diteruskan dalam keadaan masa kini bagi mendepani cabaran zaman kian hebat.

Ada 1001 faktor yang boleh menyebabkan perpaduan umat Islam menjadi lemah dan tergugat. Dalam keadaan terkini, politik keterlaluan menjadi antara faktor utama mengancam perpaduan umat Islam di kebanyakan negara Islam di seluruh dunia.

Hakikatnya, politik tidak dapat dipisahkan dengan Islam sebagai agama bersifat syumul (sempurna) menggariskan panduan lengkap dalam segenap perkara membabitkan urusan dunia dan akhirat.

Jika umat Islam terus berpolitik tanpa menghiraukan batasan ditetapkan Islam, akan tercetus perpecahan ummah yang secara langsung melemahkan kekuatan Islam sebagai agama suci dan tinggi.

Lebih teruk jika perjuangan politik hanya untuk kepentingan peribadi dan poket sendiri tanpa memahami kepentingan politik dalam menjamin kestabilan ummah serta ketinggian agama Islam.

Perbezaan ideologi yang ketara mengenai perkara furuk (sampingan) menyebabkan semangat perpaduan sesama umat Islam terus terancam. Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif seperti budaya fitnah memfitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, fitnah, dendam dan mendedah keaiban orang lain yang membawa kepada bibit persengketaan dan perpecahan.

Sebagai ummah unggul, umat Islam perlu berusaha menjauhi perkara itu dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi merapatkan kembali perpaduan ummah. Firman Allah bermaksud: "Sebenarnya orang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu)." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Jika dilihat secara mendalam, tanggungjawab umat Islam amat besar dalam membantu sesama umat Islam yang berada dalam keadaan memerlukan.

Tidak dinafikan umat Islam turut berperanan dan bertanggungjawab membantu bukan Islam atas dasar kemanusiaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Siapa berusaha memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim)

Mendepani keadaan semasa yang semakin mencabar ketika ini, umat Islam khususnya di negara ini harus merapatkan saf demi memelihara keutuhan ummah dan berusaha mencari jalan bagi memelihara kesucian agama serta kedaulatan negara.

Ketepikan buat sementara perbezaan khususnya politik bagi mengeratkan silaturahim. Jangan terus berpolitik sedangkan masalah umat Islam meruncing tanpa berkesudahan.

Lihat umat Islam yang dilanda masalah seperti di Palestin, Afghanistan, Iraq dan Selatan Thailand, pasti umat Islam di negara itu mengharapkan bantuan serta pertolongan saudara Islam.

Perbalahan sesama umat Islam menjadikan mereka lemah semangat dan hilang kekuatan. Perkara ini yang amat membimbangkan lebih-lebih lagi jika pertelingkahan itu semakin parah dan sampai ke kemuncaknya.

Allah mengingatkan menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisih), jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu." (Surah al-Anfal, ayat 46)

Perbalahan dan perpecahan membuatkan Yahudi dan Nasrani ditolak oleh Allah. Mereka saling berbantah dan berselisih dalam banyak perkara khususnya berkaitan agama.

Firman Allah bermaksud: "Dan jangan kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar." (Surah Ali-'Imran, ayat 105)

Sesungguhnya tiada cara lain untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan dan perpaduan umat Islam selain berpegang teguh kepada ajaran Islam, agama yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia serta akhirat.

Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia.

2 comments:

Mohd Shahrizal Nasir said...

Kepada Moderator,
Artikel ini adalah hasil tulisan saya, Mohd Shahrizal Nasir, terdapat kesilapan teknikal pada paparan B.Harian Online yang tidak memaparkan nama penulis tempoh hari. Sekian.

Agama Berita Harian said...

Terima kasih atas makluman dan kunjungan saudara ke laman ini.