Oleh Lokman Ismail
PERSOALAN berkaitan hubungan golongan kaya dan miskin sering menjadi topik perbincangan. Golongan miskin menganggap golongan kaya sentiasa bersikap bongkak, angkuh dan sanggup menindas mereka serta memandang hina, menyusahkan serta tidak layak bersama.
Persoalan ini menyebabkan hubungan kedua-dua golongan ini sentiasa tegang dan saling menyalahkan. Sebab itu, wujudnya aliran pemikiran yang dipanggil Marxisme dengan menegaskan semua manusia dilahirkan sama dan perlu meneruskan kehidupan secara adil.
Ketika revolusi perindustrian mula berkembang di Eropah, wujud golongan kaya yang asalnya memiliki ladang luas dan menceburi bidang perindustrian. Mereka menggunakan golongan miskin seperti hamba sebagai pekerja yang memberi keuntungan berlipat-ganda, sedangkan gaji yang dibayar amat rendah.
Keadaan itu dianggap sebagai penindasan golongan kaya terhadap golongan miskin. Yang kaya terus kaya, manakala miskin selama-lamanya menjadi miskin disebabkan diperdaya dan ditindas oleh golongan kaya. Mereka tidak berpeluang untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik.
Golongan Marxisme tidak melihat adanya cara lain bagi menyelesaikan masalah itu kecuali dengan menghancurkan golongan kaya, merampas seluruh kekayaannya dan membatalkan hak pemilikan individu terhadap harta.
Harta yang dirampas boleh dimanfaatkan untuk membantu golongan miskin dan seterusnya mengeluarkan mereka daripada penderitaan ditanggung selama ini. Setiap rakyat adalah pekerja dan tidak ada golongan yang menjadi tuan.
Mereka berpendapat api pemusnahan antara golongan kaya dengan golongan miskin. Jika berlaku pertelingkahan golongan miskin yang jumlahnya lebih ramai tentu akan menang.
Islam menolak penyelesaian masalah hubungan kaya dan miskin. Sesungguhnya mereka sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain. Memang ada golongan kaya terpesong kerana harta dan kekayaannya sehingga bertindak aniaya terhadap sesama manusia. Mereka mengumpul kekayaan dengan cara menindas golongan miskin serta hak mereka dirampas dan dinafikan.
Namun, tidak semua golongan kaya bertindak kejam atau mempedulikan nasib golongan miskin. Masih banyak mereka berhati mulia serta menganggap kekayaan yang dimiliki sebagai cubaan daripada Allah.
Sekiranya mereka bersyukur dan membelanjakan kekayaan itu secara baik, pastinya Allah akan melipatgandakan lagi kebaikan. Mereka menggunakan kekayaan untuk mendapat keredaan Allah dan sama sekali tidak dilalaikan disebabkan kekayaan yang dimiliki.
Antara cara bersyukur ialah sentiasa membantu sesama manusia. Islam menetapkan perintah berzakat kepada golongan kaya yang memiliki sejumlah harta atau pendapatan cukup jumlah dan tempohnya supaya mengeluarkan sebahagian harta itu kepada golongan asnaf.
Sesungguhnya Allah menjanjikan kebaikan yang tidak terhingga nilainya, melebihi apa-apa harta yang bernilai, kepada orang yang suka membantu sesama manusia.
Islam tidak melarang umatnya mengumpul kekayaan diperoleh secara halal. Keinginan menjadi kaya dan menikmati kehidupan yang senang adalah fitrah semula jadi setiap manusia. Sebagai agama syumul dan memenuhi kehendak semula jadi manusia, keinginan memenuhi kehendak itu tidak ditegah.
Malah, Islam melihat faktor kekayaan adalah satu daripada cara untuk menjadikan Islam lebih dipandang mulia. Di samping itu, pengiktirafan terhadap pemilikan individu akan memajukan kehidupan satu bangsa dan mengembangkan ekonomi masyarakat membawa kepada keadaan harmoni, aman dan sejahtera.
Sebab itu, Islam menegah cara mendapatkan harta secara salah. Golongan miskin tidak dibenarkan merampas harta golongan kaya diamalkan prinsip Marxisme itu atau ala Robin Hood.
Ia berlainan dengan konsep ‘merampas’ harta golongan kaya yang tidak mahu mengeluarkan zakat seperti diamalkan pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar. Tindakan itu diambil berdasarkan tuntutan agama kerana harta sepatutnya dikeluarkan adalah milik golongan yang layak menerimanya. Bagaimanapun tindakan itu hanya boleh dilakukan oleh pemerintah adil.
Islam menghargai prinsip pemilikan harta individu, menjaga, mengguna dan mengembangkan berdasarkan peraturan ditetapkan. Kebebasan dan kebenaran memiliki harta tanpa had memberi motivasi kepada individu untuk berusaha gigih yang sekali gus memberi kebaikan kepada aktiviti ekonomi.
Sebenarnya, aktiviti ekonomi berjalan dan berkembang hasil keinginan manusia terhadap harta. Keadaan itu mewujudkan keadaan saling memerlukan dan menggunakan semua sumber yang membawa tercapainya matlamat itu.
Islam membina hubungan antara individu atau antara kelompok masyarakat atas asas persaudaraan dan sikap saling menolong. Oleh itu, Islam berusaha untuk menghapuskan permusuhan berlaku antara individu atau persengketaan antara lapisan masyarakat.
Pertolongan diberi oleh mana-mana individu bagi memenuhi keperluan saudara seagamanya yang lain akan menjadi penghalang dirinya daripada api neraka. Bahkan, pertolongan itu membolehkan dia mendapat ganjaran seperti individu yang beriktikaf selama 10 tahun di dalam masjid.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa pergi memenuhi keperluan saudaranya, maka itu lebih baik baginya daripada beriktikaf selama 10 tahun, dan sesiapa beriktikaf satu hari kerana mencari keredaan Allah, maka Allah menjadikan tiga parit (yang memisahkan) antara dirinya dan neraka, sedangkan jarak setiap parit itu seperti jarak di antara timur dan barat.” (Hadis riwayat Tabrani).
Islam menegah umatnya mempunyai perasaan dengki, hasad dan kemarahan kerana banyak bencana berlaku akibat perbuatan itu. Sesiapa mengamalkan perbuatan itu akan kehilangan pahala dikumpul menerusi amalan lain seperti api membakar kayu kering.
Peringatan itu membuktikan betapa besarnya kesan buruk mengamalkan sikap dengki. Jadi, perbuatan itu mesti dijauhkan sama sekali bagi sesiapa ingin menghidupkan rasa kecintaan terhadap agama dan mengekalkan pahala dikumpul untuk bekalan di akhirat nanti.
Jika berlaku satu pertelingkahan antara beberapa orang Islam, wajib ada usaha untuk mendamaikan dan meredakan api permusuhan itu. Persaudaraan sesama Muslim diumpamakan seperti bangunan, yang setiap satu bahagian saling menguatkan bahagian lain. Jika ada mana-mana bahagian runtuh, ia akan turut meruntuhkan bahagian lain dan tidak lagi wujud seperti satu bangunan.
Perbuatan mendatangkan kesusahan kepada saudara seagama dianggap sama seperti merosakkan diri sendiri. Masyarakat majoriti penduduknya miskin, huru hara, dikuasai perasaan hasad dengki tidak dapat menikmati kehidupan selamat.
Monday, April 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment