Antara sifat dibicarakan ahli tasawuf ialah ujub. Imam al-Ghazali mengaitkan sifat ujub dengan takbur, kerana melalui sifat ujub akan menyusul perasaan takbur. Al-Ghazali mendefinisikan ujub sebagai hairan dengan diri sendiri kerana berasakan kelebihan lalu membanggakan diri.
Beberapa tulisan al-Ghazali secara tegas menyatakan mereka yang bersifat ujub adalah orang yang sakit jiwa. Ia penyakit yang menjangkiti manusia pada zaman moden ini. Penyakit ujub mempunyai kesan negatif dalam masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiga perkara yang membinasakan, iaitu orang kedekut yang menjadi ikutan orang, hawa nafsu yang diikuti, serta orang yang hairan terhadap dirinya sendiri.”
Menurut imam al-Ghazali, ada tujuh faktor utama ke arah sifat ujub. Faktor itu berkaitan dengan ilmu pengetahuan, pengabdian terhadap Allah, asal dan keturunan, kecantikan, kekuatan dan kekuasaan, kekayaan dan bilangan saudara, pengikut dan peminat.
Seseorang mempunyai ilmu yang tinggi boleh bersikap ujub jika beliau bersikap ego. Mereka sukar menerima pandangan orang lain, dan dengan mudah mengecap orang lain sebagai `bukan dalam bidangnya’ atau `tidak saintifik’.
Kepada ulama tradisional sering dilabelkan sebagai jumud. Mereka berasakan merekalah yang hebat dan banyak membaca. Jadilah manusia jenis ini kagum dengan diri sendiri akibat keilmuan tidak terkawal.
Andainya dihalusi, gejala perpecahan dan kerenggangan yang berlaku dalam masyarakat banyak ditunjangi sifat ujub. Ada berasakan dialah tokoh terbaik, lalu jadilah perebutan kuasa yang hebat bukan didorong sebab dasar, tetapi akibat cetusan sifat ujub.
Ujub juga berpunca akibat tidak ikhlas seseorang melakukan amal ibadat kepada Allah. Dengan amalan dilakukan mereka berasakan merekalah yang banyak beramal, manakala orang lain dianggap hina kerana kurang beramal. Mereka juga berasa pelik terhadap diri sendiri.
Seterusnya imam al-Ghazali menyatakan asal keturunan boleh mendorong seseorang bersifat ujub. Mereka biasanya mengaitkan diri dengan asal keturunan yang mempunyai kelebihan daripada orang lain, lalu megah dengan keturunan sendiri.
Faktor inilah yang meletakkan bangsa Yahudi menjadi angkuh, bangga dan sombong kerana mereka menganggap keturunan mereka sebagai manusia pilihan. Begitu juga bagi mereka yang berasakan diri cantik daripada orang lain, kerana boleh membibitkan perasaan angkuh.
Sifat ujub juga terbentuk dengan kekuatan dan kekuasaan yang ada pada seseorang menyebabkan mereka berasa hebat lalu melakukan kezaliman serta penindasan.
Kekayaan juga boleh mendorong seseorang bersifat ujub. Sejarah membuktikan bahawa Qarun menjadi orang yang angkuh dan mengingkari Allah kerana ia memiliki kekayaan. Pada zaman moden ini menjadi kebiasaan orang angkuh dan sombong dengan harta dilimpahkan Allah.
Begitu juga keadaannya bagi mereka mempunyai bilangan pengikut dan peminat yang ramai. Sifat ujub dan bongkak menunjangi jiwa kerana mereka berasakan diri disayangi dan dihargai.
Sifat ujub yang wujud mutakhir ini ibarat budaya dalam kehidupan masyarakat. Ia merujuk kepada sifat mereka yang berasakan diri lebih hebat berbanding orang lain. Sifat itu semakin kukuh disebabkan sikap individualistik masyarakat.
Asasnya ujub timbul dalam diri sendiri, tetapi lama kelamaan membentuk dalam kelompok dan kumpulan masyarakat. Akhirnya timbul sikap memandang rendah terhadap kumpulan, kelompok dan organisasi lain.
Sesungguhnya penyakit ujub adalah penyakit masyarakat yang perlu dibendung. Generasi awal Islam adalah generasi gemilang dalam sejarah, lantaran tiadanya sifat ujub dalam diri mereka.
Lihatlah kenyataan yang diungkapkan Khalid bin al-Walid ketika beliau dilucutkan jawatannya sebagai panglima perang oleh Saidina Umar, dan beliau masih mampu berjuang walaupun menjadi prebet. Katanya: “Aku berjuang bukan kerana si Umar, tetapi kerana Tuhan si Umar.”
Budaya ujub seharusnya dibendung kerana meninggalkan kesan buruk dalam masyarakat. Jika tidak, kita akan berdepan dengan budaya menjijikkan iaitu budaya sombong, angkuh dan keras kepala.
Firman Allah bermaksud: “Allah lebih mengetahui hal kamu, di kala dia jadikan (bapa) kamu daripada tanah dan di kala kamu masih anak dalam perut ibu kamu; kerana itu janganlah mengatakan diri kamu suci (memuji diri); (kerana) Dia (Allah) lebih mengetahui siapa yang berbakti (di antara kamu).” (Surah al-Najm, ayat 32)
Monday, April 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment