Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali
PERSEKITARAN mempunyai kesan terhadap diri seseorang, maka sudah tentu menyebabkan ia kasih kepada tempat kelahiran dan negaranya. Ada dalam satu peribahasa yang menyebutkan kecintaan kepada negara sebahagian daripada iman.
Kecintaan kepada tanah air akan menyebabkan seseorang inginkan kemerdekaan dan menghargai nikmat kemerdekaan diberikan Allah. Perkara itu satu kesyukuran dan apabila manusia bersyukur kepada Allah ia adalah ibadat sementara ibadat sebahagian daripada iman. Oleh itu, kecintaan kepada negara adalah sebahagian daripada keimanan.
Rasulullah SAW amat sayang kepada tanah air Makkah. Baginda SAW menjalankan dakwah di sana selama 13 tahun menyeru penduduk dengan penuh hikmah dan pengajaran yang baik. Walau bagaimanapun, golongan yang menerima dakwahnya hanya sedikit.
Banyak golongan Musyrikin yang menyekat dakwah, menghina dan ingin membunuhnya. Lalu Allah memerintahkan Baginda SAW meninggalkan tanah air tercinta Makkah. Baginda SAW menyahut seruan Allah untuk meninggalkan Makkah pada kegelapan malam untuk dakwah Islamiah.
Ketika di pinggir kota Makkah, Rasulullah SAW menoleh ke belakang dan berkata: “Demi Allah, kamu adalah negara yang paling dikasihi Allah. Demi Allah, kamu adalah negara yang paling dikasihi di sisi aku, dan jika tidak penduduknya yang mengusir maka aku tidak akan meninggalkannya.”
Dalam perjalanannya ke Madinah, Rasulullah SAW masih lagi merindui Makkah sehinggalah Baginda berhenti di satu tempat bernama Hajfah. Di situ Rasulullah SAW melepaskan kerinduannya kepada Makkah.
Maka turunlah ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya yang mewajibkan atas kamu melaksanakan hukum al-Quran, benar-benar akan mengembalikan kamu ke tempat kembali.” (Surah al-Qasas, ayat 85)
Para pentafsir menyebutkan tempat kembali di sini ialah kota Makkah. Ini adalah janji Allah bahawa Nabi Muhammad SAW akan kembali ke Makkah sebagai seorang pemimpin berjaya dan perkara itu terjadi pada tahun 8 Hijrah. Ayat ini juga memberi perangsang kepada Nabi yang amat merindui Makkah bahawa janji Allah untuk mengembalikannya ke kota Makkah.
Pada suatu hari, ketika Muhajirin mengalami demam panas kerana keadaan cuaca di Madinah lalu mereka merindui Makkah. Cerita itu sampai kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda berdoa: “Wahai Tuhanku, jadikan kami ini kasih kepada Madinah ini seperti kami kasih kepada Makkah.”
Begitu juga kisah pertukaran kiblat yang menunjukkan kecintaan Rasulullah SAW kepada tanah airnya. Rasulullah SAW sebelum hijrah menghadap kiblat ke Kaabah. Apabila mereka berhijrah, maka Allah menyuruh mereka menghadap ke Baitulmaqdis di Palestin.
Ini adalah pemilihan Allah untuk menguji pengikut Rasulullah SAW dari segi ketaatan mereka kepada Allah. Maka Rasulullah SAW dan pengikut akur dengan perintah Allah. Bagaimanapun Rasulullah SAW dalam hatinya sentiasa teringatkan Makkah, Kaabah dan berharap dapat mengadapnya kembali.
Rasulullah mendongak ke langit seolah-olah berdoa dan berharap menghadap kiblat ke tempat yang awal iaitu Kaabah. Maka Allah memperkenankan permintaan Rasulullah SAW. Firman Allah yang bermaksud: “Dan kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblat kamu sekarang melainkan supaya Kami mengetahui dengan nyata siapa yang mengikuti rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh pemindahan kiblat itu terasa amat berat kecuali orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan Allah tidak akan mensia-siakan iman kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia. Sungguh kami sering melihat muka kamu mengadap ke langit, maka sungguh kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah muka kamu ke Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 143-144)
Dalam sejarah Islam, ada ulama yang menisbahkan nama mereka pada tempat kelahirannya di samping menulis buku sejarah mengenai negara mereka.
Imam Khatib al-Baghdadi menulis sejarah Baghdad dan menamakan buku itu Tarikh al-Baghdad. Ibn Asakir menulis sejarah Syam dan ulamanya dan menamakan Tarikh Damsyiq.
Kecintaan kepada negara perlu diterjemahkan kepada amal perbuatan dan aktiviti dengan memajukannya, mempertahankannya dan memuliharanya daripada kemusnahan. Patriotisme bererti semangat cintakan tanah air atau taat kepada negara.
Negara mempunyai lambang atau institusi tertentu yang boleh digunakan untuk membentuk semangat patriotik ini. Misalnya bendera kebangsaan, lagu kebangsaan, konsep raja sebagai lambang kedaulatan negara, Perlembagaan negara atau sistem perundangan negara.
Perkara ini penting dalam mewujudkan semangat patriotik dan melenyapkan semangat perkauman. Patriotisme yang dibenarkan Islam dalam erti cinta dan tanggungjawab terhadap bangsa dan negara berbeza dengan patriotisme Barat.
Islam menggandakan motivasi pelaksanaan tugas patriotisme dengan menambahkan ganjaran, hukuman ukhrawi kepada ganjaran dan balasan duniawi. Oleh itu, pengabaian atau pengkhianatan terhadap tanggungjawab itu dianggap sebagai kesalahan yang membawa hukuman duniawi dan ukhrawi.
Hassan al-Banna menganalisis nasionalisme daripada perspektif Islam dalam pengertian istilah wataniyyah dan Qawmiyyah. Perkara itu timbul sama ada kepada kesatuan negara mahupun kesatuan Arab atau kesatuan Islam.
Beliau menjawab persoalan itu dengan melihat bahawa beliau menghormati negara sebagai asas kepada kebangkitan umat dan tidak menjadi kesalahan kepada seseorang berkhidmat kepada negaranya.
Kemudian beliau berusaha untuk kesatuan Arab sebagai langkah kedua kebangkitan umat. Selepas itu, beliau berusaha untuk kesatuan Islam bagi membentuk dunia Islam. Menurutnya, kesatuan dunia Islam diperlukan kerana Islam adalah rahmat kepada alam.
Seterusnya al-Banna menjelaskan, tidak menjadi kesalahan apabila kita menyeru ke arah kesatuan itu dengan mengambil kira keperluan antara satu sama lain dan untuk mencapai matlamat yang sama. Tetapi jika seruan Qawmiyyah itu berbentuk permusuhan, maka beliau tidak bersama mereka.
Inilah yang membezakan antara kita dan orang lain. Hassan al-Banna membahagikan negara kepada lima bahagian iaitu wataniyyah al-Hanin, semangat cinta akan tanah air yang sememangnya wujud secara fitrah pada setiap orang dan digalakkan oleh Islam.
Beliau merujuk kepada Bilal bin Rabah yang ketika berada di Madinah menyatakan kecintaannya terhadap Makkah. Begitu juga Rasulullah SAW yang bercucuran air matanya ketika mendengar Asil menggambarkan keadaan Makkah lantaran kecintaan Baginda terhadap bumi tempat kelahirannya.
Kedua, wataniyyah al-Hurriyah wa al-izzah iaitu rasa tanggungjawab untuk membebaskan tanah air daripada kekuasaan asing, meletakkan asas kemerdekaan dan kemuliaan rakyat. Konsep ini tidak ditentang oleh Islam malah digalakkan.
Wataniyyah al-Mujtama’ iaitu usaha menyatupadukan rakyat sesebuah negara untuk kepentingan bersama; wataniyyah al-Futuh (perjuangan menguasai wilayah dunia dengan membawa sinar Ilahi); wataniyyah al-Hizbiyyah (pemecahan umat kepada kelompok yang kemudian dilagakan-lagakan).
Daripada kelima-lima bahagian itu, empat wataniyyah dibolehkan Islam manakala satu bahagian tidak dibenarkan apabila kecintaan kepada negara yang menimbulkan rasa permusuhan dan perkelahian antara satu sama lain.
Sesungguhnya tanah air harus dicintai dan dipertahankan kehormatannya. Matlamat bagi wataniyyah adalah untuk menyebarkan sinar Islam ke seluruh pelosok alam. Kemerdekaan bukan matlamat terakhir tetapi suatu tahap yang harus dilalui untuk mencapai matlamat lebih besar iaitu kedaulatan Islam di seluruh dunia.
Saturday, April 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment