JIKA kita mempunyai alam tersendiri ketika berhadapan dengan isu tertentu berkaitan dengan alam kita, kanak-kanak juga mempunyai alam tersendiri ketika berhadapan dengan isu tertentu yang berkaitan dengan alam mereka.
Apabila musim bola sepak, maka yang ada di hadapan kita adalah bola sepak; makan, bola; minum, bola; tidur, bola.
Begitu juga dengan kanak-kanak ketika musim Ben 10, kartun kegemaran mereka melanda dunia, maka semua yang ada di hadapan mereka adalah Ben 10, Four Arms, Heat Blash, Accelerate dan Upgrade.
Pada awal tahun ini ketika penulis menghantar dan menjemput anak ke Sekolah Rendah Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, penulis dapati berlaku fenomena hijau melanda di kawasan sekolah berkenaan.
Fenomena hijau ini tidak ada kaitannya dengan gerakan Green Peace yang mendakwa paling mencintai kehijauan dunia tetapi ia berkaitan dengan Ben 10 yang menjadikan hijau warna kegemarannya.
Beg sekolah, kotak pensil, kotak makan tengah hari, bekas makanan, tempat minum, jam tangan dan banyak lagi semuanya berwarna hijau, Ben 10. Bagi Batman, Superman, Spiderman, Transformers dan kartun tradisional lainnya, mereka sudah tewas, tidak diminati lagi walaupun masih ada satu dua yang menampakkan diri sambil malu-malu.
Fenomena di atas selain daripada kehebatan peniaga yang selalu peka dengan kesempatan perniagaan, ia juga disebabkan oleh ‘hawa nafsu’ kanak-kanak yang membara dan memburu Ben 10.
Yang ingin dibincangkan di sini walaupun hanya dalam aspek tertentu apakah pendidik Islam boleh mengambil manfaat daripada fenomena Ben 10 dan menjadikan kanak-kanak sentiasa bersama Islam? Bolehkah pendidik Islam menjadikan kanak-kanak yang cinta Islam, hormat orang tua, apabila azan tiba mereka pergi ke masjid untuk solat berjemaah, bersedekah jika ada wang lebih, bertakbir ketika berjumpa dengan kebesaran Allah, bertasbih ketika berjumpa dengan kesucian Allah, bertahmid ketika berjumpa dengan nikmat Allah dan seterusnya.
Masa kanak-kanak adalah masa terbaik dalam pembentukan sahsiah seorang manusia. Dalam masa itulah tunas sebatang pokok mula tumbuh. Tunas yang sihat akan menghasilkan pokok yang sihat. Begitu sebaliknya, tunas yang sakit akan menjadikan pokok sakit. Tunas sebagai objek boleh menjadi sihat jika peladang memberikan semua keperluan menasihatkannya dan ia juga boleh menjadi sakit jika peladang memberikan keperluan memudaratkannya.
Di sinilah rahsia hadis Nabi yang bermaksud: “Setiap kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam), ibu bapanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, Majusi atau Nasrani.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Ulama mengkategorikan generasi sahabat Nabi menjadi ‘kibar al-sahabah’ dan ‘sighar al-sahabah’ atau sahabat dewasa dan sahabat kecil. Sahabat kecil ketika menjadi dewasa mencorak satu generasi yang terbaik dengan bimbingan generasi sahabat dewasa.
Sahabat kecil mempunyai sejarah dan pengalamannya sendiri ketika mereka hidup bersama Nabi. Pendidikan yang diberikan Nabi kepada mereka sangat berkesan dan bermanfaat kemudian hari. Nabi bukan saja mengajar mereka dengan ajaran agama Islam, malah Baginda juga mendidik mereka agar menjadi seorang Islam. Pendidikan dan pengajaran adalah dua perkara yang berbeza. Dalam bahasa Arabnya, tarbiyyah dan ta’lim secara berurutan.
Pendidikan berperanan untuk menjadikan manusia sebagai manusia sebenar sedangkan pengajaran berperanan menjadikan manusia boleh beradaptasi secara benar dengan alam dunia sehingga mereka sampai ke tahap yang tertinggi, berbanding makhluk lain ciptaan Allah. Pendidikan bertujuan membentuk kesempurnaan takwa seorang Muslim, manakala pengajaran bertujuan membawa kepada kesempurnaan ibadat. Mencapai ketakwaan dan melaksanakan ibadat adalah tugas utama umat manusia yang mesti disempurnakan di dunia ini. Allah berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” (Surah al-Anbiya: 92) dan firman-Nya bermaksud: “Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertakwalah kamu kepadaKu.” (Surah al-Mu’minun: 52)
Sahabat kecil tidak pernah diabaikan apatah lagi dilupakan oleh Nabi. Jika ada yang beranggapan bahawa Baginda Nabi tidak berteman dan bergaul dengan kanak-kanak, maka anggapan itu salah.
Imam Ahmad meriwayatkan Bahawa Baginda sering bergurau canda dengan Abu Umair bin Abu Talhah. Pada suatu hari, Baginda mengunjunginya tapi Abu Umair sedang dalam duka. Baginda pun bertanyakan sebabnya yang kemudian dijawab oleh para sahabat bahawa burung kecil yang selalu bermain dengannya sudah mati. Nabi pun berkata kepada anak itu: “Wahai Abu Umair! Apa yang telah dilakukan Nughair?”
Dalam bahasa Arab, ucapan Nabi ini mempunyai erti tersendiri yang menunjukkan gurauan dan canda serta kedekatan Nabi dengan budak yakni Abu Umair. Dari segi hukum fikah pula ada beberapa pengajaran yang boleh dipetik antaranya kita dibenarkan untuk memberikan nama jolokan kepada kanak-kanak; kita dibenarkan untuk bercanda dan mengulangi canda. Ini bukan rukhsah tetapi sunnah; memperlakukan anak dengan lemah lembut, menanyakan keadaannya dan mengajak bicara; anak kecil boleh bermain dengan burung. Orang tua boleh membiarkan anaknya bermain dengan mainan yang diperbolehkan; dan berbicara dengan kanak-kanak sesuai dengan kemampuan akalnya. (al-’Adawi (2006), Fikih Pendidikan Anak, 64) Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis mengenai bagaimana Nabi memperhatikan kanak-kanak. Ummu Khalid binti Khalid berkata: “Nabi diberi baju yang di dalamnya ada khamisah (potongan kain sutera atau wol) hitam kecil. Lalu Baginda bersabda, “Menurut kalian, untuk siapakah baju ini sesuai kita pakaikan?” Sahabat hanya diam. Rasulullah kemudian bersabda lagi: “Panggil Ummu Khalid!” Dia pun datang. Kemudian Nabi pun mengambil baju itu dan memakaikannya dan bersabda: ”(Pakailah) hingga usang!” Dalam baju itu terdapat tanda berwarna hijau atau kuning, kemudian Rasulullah bersabda: “Wahai Ummu Khalid! Ini bagus.” Dalam riwayat lain menggunakan bahasa Habsyah, ‘Ini baik’.
Rasulullah selalu memberi semangat untuk berbuat baik kepada kanak-kanak dan belia. Baginda memuji Abdullah ibn Mas’ud dengan sabdanya: “Engkau adalah anak yang suka belajar,” selepas memberi minum susu. (Hadis riwayat Ibn Saad) Nabi mengangkat Usamah ibn Zaid sebagai panglima perang ketika belia berumur 18 tahun. Nabi memuji dua anak Afara’ yang berhasil membunuh Abu Jahal dalam peperangan Badar. Nabi mendoakan Ibn Abbas dengan doa Baginda: “Ya Allah! Ajarkanlah dia hikmah.”
Rasulullah pernah berlalu di hadapan sekelompok kanak-kanak dan memberi salam kepada mereka. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Dan Rasulullah pun menghormati hak kanak-kanak seperti dalam sebuah hadis bahawa Baginda pernah diberi minuman. Baginda pun meminumnya. Di sebelah kanannya ada seorang anak kecil dan di sebelah kirinya orang dewasa, lalu Nabi berkata kepada anak kecil: “Apakah engkau membenarkanku memberi mereka (minum terlebih dulu)?” Anak itu menjawab, “Tidak, demi Allah! Aku tidak akan mendahulukan bahagianku darimu untuk siapapun.” kemudian Rasulullah memberi minuman itu pada anak kecil. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah mengambil kira keperluan kanak-kanak. Baginda bersabda maksudnya: “Jika seorang daripada kalian menjadi imam, maka hendaklah meringankan solat kerana di antara mereka ada anak kecil, orang tua, orang lemah dan sakit. Namun jika solat bersendirian, silakan dia solat sekehendaknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Solat adalah rukun Islam pertama yang wajib diperhatikan orang tua ketika mendidik anaknya. “Perintahkanlah anak kalian solat ketika berusia tujuh tahun, dan pukul mereka agar mengerjakan solat ketika berusia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka. (Hadis riwayat Abu Daud)
Islam sangat memandang berat soal pendidikan kanak-kanak dan memberi hak yang sepatutnya kepada mereka. Islam menggariskan panduan yang tertentu serta cara dalam mendidik kanak-kanak sejak mereka di dalam kandungan ibu lagi malah lebih awal daripada itu yakni ketika memilih calon suami atau isteri. Islam menggalakkan umatnya apabila memilih suami atau isteri hendaklah seorang yang mempunyai keperibadian yang mulia.
Anak adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah dan perhiasan dalam kehidupan manusia. Orang yang diberi nikmat ini sudah tentu memelihara dan mendidik dengan pendidikan Islam sebagai mensyukuri nikmat berkenaan.
Dalam perjalanan hidup Nabi, Baginda memberikan contoh teladan bagaimana kanak-kanak diberikan kasih sayang oleh Baginda kerana mereka memerlukan kasih sayang seperti mereka berhajat kepada makanan dan minuman.
Kasih sayang kepada kanak-kanak adalah sebahagian daripada pendidikan pertama yang sepatutnya diberi perhatian oleh masyarakat khasnya orang tua. Mengapa masyarakat, kerana mereka adalah tempat kanak-kanak menimba pengalaman. Mengapa orang tua, kerana mereka adalah kandang tempat hidupnya dipelihara.
Kanak-kanak memerlukan kasih sayang kerana mereka memerlukan kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup; kerana pembentukan dari segi pemikiran; dan kerana pembentukan dari segi masyarakat.
Agar tercapai matlamat pendidikan Islam, maka semua kursus pendidikan mestilah mengambil kira aspek keislaman seperti pengajaran mengenali sifat ketuhanan; cara bersembahyang; pengajaran ilmu pengetahuan; dan pengajaran al-Quran. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Didiklah anak-anak kamu dengan tiga perkara iaitu cintakan nabi kamu, cintakan keluarga nabi kamu dan mengajarkan al-Quran kerana orang yang mendampingi al-Quran dinaungi oleh ’arash llah pada hari yang tidak ada naungan selain darinya bersama nabi dan pembantunya.” (Hadis riwayat al-Tabrani)
Pendidikan Islam untuk kanak-kanak hari ini yang berlandaskan kepada contoh pendidikan Nabi akan dianggap berhasil jika hasil didikannya kelak menjadikan solat, ibadat, hidup dan matinya untuk Allah Subhanahu Wata’ala, bukan untuk Ben 10 dan yang sejenisnya. Wallahu a’lam.
Sunday, April 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment