Oleh Penulis Khas YaPEIM
PENCAPAIAN: Ahmad Zahid pada majlis penyerahan keuntungan Ar-Rahnu Yapeim, baru-baru ini.
Pemimpin berwibawa mesti berupaya bawa kebahagiaan kepada rakyat
MENURUT sumber klasik Islam, pemimpin selalu dirujuk dengan istilah imam. Selain membawa maksud kepemimpinan dengan fungsi umumnya (mengarah, mengawal, merancang dan memantau), secara tersirat istilah imam mengandungi makna teladan.
Tradisi Islam melihat pemimpin tidak cuma harus memerintah, mengarah dan mengerah tetapi sekali gus dapat memberikan contoh. Dalam kaitan ini, ciri kepemimpinan Rasulullah SAW paling menonjol ialah contoh teladan yang baik.
Kepemimpinan pada hakikatnya adalah suatu amanah dan tanggungjawab, bukan kebesaran dan kemegahan. Memberi tanggapan kepemimpinan sebagai suatu keistimewaan yang penuh glamour adalah suatu kekeliruan yang cukup mendasar.
Dalam tradisi Islam yang murni, kepemimpinan biasanya tidak diminta dan jika diberikan kepada yang tidak layak adalah suatu perbuatan pecah amanah. Kisah al-Quran memberi petunjuk bagaimana Tuhan membangun sesuatu umat.
Apabila Tuhan mengkehendaki sesuatu umat itu bangun mencipta keunggulan, yang dilakukan-Nya ialah mengutus Rasul (pemimpin) bersama kitab (petunjuk/hidayah). Ini bererti keunggulan sesuatu umat bermula dengan penampilan pemimpin berprinsip dan berwawasan berasaskan ajaran kitab (petunjuk Ilahi).
Kepemimpinan yang berwibawa pula dicirikan oleh kemampuannya merubah dan membina manusia di bawah pengaruh, kuasa dan kemampuannya membina budaya yang kuat untuk dihayati seluruh warga organisasinya.
Kerana itulah pemimpin yang dianggap berjaya adalah pemimpin yang dianggap sebagai perubah manusia dan pembina budaya.
Kedua-dua fungsi itu hanya dapat dilaksanakan oleh pemimpin yang benar-benar berwibawa, mendidik, membangun dan memupuk potensi setiap individu bawahannya sehingga menjadi manusia berguna, penyumbang yang produktif dan cemerlang.
Justeru, ciri teladan yang tersirat di sebalik kalimat imam itu tampak relevan. Seorang pemimpin sebenarnya adalah pemegang amanah modal besar yang berupa sumber daya manusia. Oleh itu, sikap terhadap bawahannya harus cukup positif.
Sesuai dengan status manusia sebagai khalifah Allah, manusia dicipta oleh Yang Maha Esa dengan potensi secukupnya untuk menjadi makhluk petugas dan penyumbang yang kreatif.
Sebagai pembina budaya pula, pemimpin harus mampu memasyarakatkan sejumlah nilai, sikap dan amalan positif di kalangan warga organisasinya. Teras kepada apa yang disebut sebagai budaya itu hakikatnya ialah nilai yang dianggap penting dan berharga seperti ilmu, moral dan ekonomi.
Nilai itulah yang sebenarnya menjadi motivasi dalaman, kekuatan, pendorong sehingga seseorang sanggup melakukan sesuatu dengan penuh iltizam. Organisasi cemerlang umumnya mempunyai budaya kuat dalam erti kata adanya sejumlah nilai dikongsi dan dihayati bersama secara serius oleh seluruh warganya.
Di negara kita misalnya, pendekatan Islam Hadhari yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini menjadi panduan dan pemangkin kepada kepemimpinan negara serta seluruh rakyat dalam usaha memacu serta meletakkan hala tuju yang betul kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.
Ketika menyampaikan ucapannya, dalam perjumpaan sulung dengan seluruh institusi serta agensi di bawah bidang kuasanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan cabaran untuk melakukan perubahan dan pembaharuan dalam tempoh 44 hari dari hari pertama beliau menjawat jawatan berkenaan.
Tempoh 100 hari seperti yang sering diwar-warkan sebelum ini, bagi Ahmad Zahid adalah terlalu lama untuk menantikan pengumuman sesuatu pendekatan, perubahan yang perlu atau akan diperkenalkan jabatan dan agensi di bawahnya.
Cabaran itu seharusnya dipandang serius kerana sebagai pemimpin dan orang yang pernah berada di pelbagai jawatan, pangkat serta sektor, beliau bimbang imej lesu institusi dan agensi Islam yang dilemparkan akan terus menjadi konotasi negatif di kalangan masyarakat.
Sebaliknya, secara peribadi, selepas mengadakan lawatan menjelajah ke seluruh institusi dan agensi bagi mendapat gambaran sebenar serta taklimat peranan masing-masing, beliau mengakui banyak pencapaian institusi dan agensi Islam yang sebenarnya membanggakan umat serta negara.
Natijahnya ialah institusi serta agensi Islam kini berdepan dengan cabaran untuk merealisasikan harapan umat dan negara yang semakin besar selaras perkembangan semasa dunia dewasa ini.
Oleh itu, hanya menerusi kepemimpinan yang berwibawa, budaya kepemimpinan dan kepengikutan yang kuat serta kecemerlangan dapat memantapkan perubahan melalui pendekatan diperkenalkan oleh pemimpin untuk direalisasikan semua peringkat pengurusan.
Harapan menteri juga adalah besar untuk melihat kesepaduan golongan ulama dan profesional bersatu tenaga, akal serta fikiran bagi menterjemahkan pendekatan Islam Hadhari dalam semua aspek pelaksanaan dasar serta operasi institusi serta agensi Islam masing-masing.
Pandangan itu sewajarnya dikupas dan dianalisa dengan mendalam bagi melihat serta mencari titik pertemuan yang jitu dalam usaha menyemarakkan kebangkitan Islam sebagai agama serba sempurna, mencakupi segenap aspek kehidupan masa lalu, kini dan akan datang.
Konsep pengasingan entiti berasaskan kepada orde lama harus dikikis dan ditolak sama sekali, keegoan serta sikap mendabik dada mempertahankan premis atau pendirian masing-masing harus diketepikan.
Sebaliknya matlamat membangunkan serta mempertahankan maruah Islam di tengah-tengah kecelaruan dunia adalah hak yang harus diperjuangkan dengan apa juga harga sekalipun.
Dalam hal ini, bukan saja kepemimpinan cemerlang yang dituntut bagi merealisasikan hasrat dan wawasan yang diletakkan oleh Dr Ahmad Zahid, malah pada peringkat kepengikutan atau jentera institusi dan agensi juga perlu memainkan peranan semaksimum mungkin.
Dari perspektif Islam, antara tanggungjawab utama pengikut ialah memberikan kesetiaan, kepatuhan dan iltizam sepenuhnya. Kerjasama adalah nilai yang sangat ditekankan oleh Islam dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.
Kerjasama itu meliputi makna kesediaan pemimpin menjaga kepentingan, kebajikan pengikut dan keluarga mereka. Di pihak pengikut pula, ada kesediaan untuk memberikan dukungan terhadap pemimpin dalam melaksanakan tugas mereka.
Nasihat-menasihati secara jujur dan ikhlas adalah asas hubungan kewarganegaraan dalam sesebuah organisasi Islam. Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “ Agama adalah nasihat.” - (Hadis riwayat Muslim)
Ia bertentangan dengan ampu bodek yang selalu menjadi amalan golongan pencari kesempatan yang tidak bermaruah. Rasulullah SAW pernah menyatakan kebenciannya terhadap orang yang melakukan al-ghashsh, yakni tidak jujur atau tidak memberikan nasihat yang benar. Junjungan menganggap mereka ‘bukan dari kalangan kami’. (Hadis riwayat Muslim)
Dua elemen penting dalam agenda perubahan serta pergerakan ialah perancangan dan pelaksanaan. Firman Allah yang bermaksud: “Maka tanyakanlah kepada ahl al-dhikr jika kamu tidak tahu.” - (Surah al-Nahl, ayat 43)
Perancangan yang bijak seharusnya berasaskan kepada:
Kepakaran yang tinggi dan relevan. Al-Quran menyebut orang yang berkepakaran itu sebagai ahl al-dhikr yang perlu dirujuk.
Maklumat yang bersifat fakta, kenyataan dan kebenaran. Perancangan tidak seharusnya didasarkan kepada khayalan, dongeng, khabar angin, propaganda palsu atau fitnah. Yang disebut sebagai kebijaksanaan (hikmah) seperti dimiliki nabi ialah tindakan yang tepat dan itu hanya mungkin dilakukan berasaskan fakta tepat.
Kerja secara kolektif baik pada tahap pemikiran mahupun pada tahap gerak kerjanya.
Kesediaan mendengar pelbagai pandangan dan seterusnya membuat pilihan terbaik seperti mana yang dianjurkan al-Quran.
Kepekaan terhadap masalah berkaitan termasuk masalah yang dianggap kecil.
Pelaksanaan adalah proses menterjemahkan segala yang dirancangkan kepada tindakan menurut urutan. Proses itu perlu dilakukan dengan tegas, yakin, berani dan tanpa ragu-ragu.
Elemen penting yang tidak seharusnya diketepikan ialah aspek pengawalan meliputi segala sikap dan tindakan untuk memastikan proses pencapaian matlamat dilaksanakan dengan sempurna, menepati perancangan, pengurusan dan pengarahan.
Ini termasuk al-Ihsan iaitu kesedaran mengenai pemerhatian Tuhan terhadap segala gerak geri laku manusia termasuk suara hati dan lintasan fikirannya sehingga tidak ada sesuatu sekecil hama pun yang terselindung. Ia seolah-olah kawalan dalaman yang menjadikan seseorang sentiasa berwaspada.
Amalan amar makruf nahi mungkar membolehkan sesebuah organisasi sentiasa terkawal dalam batas kebenaran andainya semangat itu menjadi sebahagian budayanya. Mengaplikasi nilai hari ini lebih baik dari semalam serta membanyakkan doa memohon petunjuk dan keredaan Allah.
Al Ghazali memberikan panduan berikut: menasihati diri (musyaratah), mengawasi diri (muraqabah), menilai diri (muhasabah) dan mengkritik diri (mu’atabah).
Wednesday, April 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment