Oleh Zahari Hasib
SETIAP kali selepas menunaikan solat lima waktu, kita selalunya akan berdoa kepada Allah untuk dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki lalu diberikan pula petunjuk serta hidayah semoga kita tergolong sebagai hamba soleh di samping terhindar daripada azab api neraka.
Umur yang panjang bukan sekadar memberi kesempatan buat kita menikmati kehidupan dunia yang penuh dengan rahmat Allah, juga untuk menilai sejauh mana kita sudah melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab sebagai hamba-Nya.
Berjayakah kita menunaikan semua tugas atau hanyut dalam kemungkaran dosa sedangkan dalam menikmati kehidupan kita turut diingatkan supaya sentiasa mengingati mati, satu hakikat yang tidak dapat dinafikan.
Firman Allah yang bermaksud: "Berusahalah mencari keredaan serta rahmatku seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, dalam pada itu beramallah pula dengan segala kebajikan dan ibadat seolah-olah engkau akan mati pada esok hari."
Memang tidak menarik untuk kita bercakap mengenai mati kerana ada beranggapan kematian adalah suatu garis pemisah yang melenyapkan segala peluang serta harapan untuk terus menikmati keindahan dan kenikmatan hidup dunia.
Sedangkan, mereka tidak mahu mengerti sesungguhnya ada sebuah keindahan serta kenikmatan lain yang menunggu pada alam akhirat jika kita sebenarnya termasuk dalam golongan Muslimin yang bertakwa.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya janganlah ada di antara kamu yang berlaku tamak dan haloba akan segala sesuatu yang ada di dunia, sebab ketahuilah olehmu bahawa jika dibandingkan dengan kenikmatan yang ada di syurga, maka dunia ini adalah tidak lebih daripada seketul bangkai yang ditarik atau direbut oleh beberapa ekor anjing."
Allah memperingatkan dalam firman yang bermaksud: "Walau di mana juga kamu berada, hatta jika bersembunyi di dalam bilik yang kukuh pun namun mati akan tetap juga menemui kamu." (Surah An-Nisa', ayat 78)
Diriwayatkan oleh Ibnul Umar: "Pada suatu hari aku datang menemui Rasulullah SAW yang ketika itu Baginda berada di tengah sahabatnya yang terkemuka, tiba-tiba terdengar olehku salah seorang daripada mereka bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah agaknya manusia paling cerdas dan pintar otaknya? Maka dijawab Nabi Muhammad SAW: Adapun orang yang cerdas dan pintar di antara kamu ialah mereka paling banyak mengingati mati lalu membuat persediaan menuju kepadanya."
Apabila kita memohon kepada Allah supaya dipanjangkan umur, sewajarnya kurniaan itu dimanfaatkan untuk memperbanyakkan amal ibadat serta membuat kebaikan di dunia sebagai bekalan pada akhirat nanti.
Menjadi rugi kepada mereka yang diberi peluang hidup tetapi mensia-siakan masa dengan perkara dilarang kerana masa yang berlalu tidak akan kembali apatah lagi jika tidak sempat bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Adapun sebaik-baik manusia menurut pandangan Islam ialah mereka panjang umur serta baik perbuatan dan amalannya, manakala sejahat-jahat umatku ialah orang yang lanjut usia tetapi kekal dalam amalan mungkar."
Firman Allah yang bermaksud: "Pada hari mereka akan mati, padahal selama ini ia tidak mengerjakan solat bahkan sering pula berdusta serta berpaling maka akan bertanya Allah kepada mereka: Siapakah akan dapat menyembuhkan kesakitan itu? Lalu tidaklah mereka mendapat apa-apa selain daripada kepayahan pedih yang berbelit serta celaka."
Beberapa keterangan mengenai kematian yang patut kita renungkan ialah kata-kata Khalifah Umar al-Khattab kepada Kaab al-Akbar: "Bahawa ada kalanya kematian bagi sesetengah orang akan sama seperti suatu ranting kayu berduri bila berada di dalam kerongkong, kemudian ia ditarik dengan keras oleh seorang lelaki perkasa, maka akan tercabutlah mana-mana yang tercabut dan akan tertinggallah mana-mana yang tertinggal."
Suatu hari seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai kematian paling mudah, maka Nabi menjawab: "Seringan-ringan mati adalah seperti duri melekat pada lembaran kain, bila ia dicabut maka pasti sedikit daripada benangnya akan terbawa sama."
Pada hari akhirat nanti kita akan dibangkitkan kembali untuk menghadapi hisab serta pengadilan, di mana pada hari itu semua makhluk sama saja di sisi Allah, serta tidak ada suatu apapun yang boleh membantu, selain amalan kita.
Allah berfirman yang bermaksud: "Hendaklah sentiasa kamu ingat bahawa sesungguhnya kehidupan di dunia ini sebenarnya tidak lain melainkan adalah permainan, kelalaian dan perhiasan bermegah-megah di antara kamu, serta perburuan tipu daya, membanyakkan harta serta anak pinak, seumpama rumput tumbuh subur sesudah hujan menghairankan petani, lalu selepas itu lantas engkau lihat ia kuning menjadi punah dan binasa." (Surah Al-Hadid, ayat 20)
Saturday, April 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment