SAYA sering bermimpi berjumpa lelaki yang saya kenali. Dalam mimpi itu dia mengusap ubun-ubun saya, menasihati supaya jangan bersedih, bersama saya bersolat jemaah dan membetulkan cara perlakuan solat seperti rukuk dan tomakninah. Perkara itu datang berulang-ulang. Paling membingungkan ialah pada Ramadan lalu, saya bermimpi dia mendatangi saya seolah-olah saya dan dia baru saja diijabkabulkan. Untuk pengetahuan, saya tidak bermimpi pada tengah malam tetapi mimpi itu datang selepas saya melakukan solat hajat dan istikharah (kerana dia adalah harapan saya untuk dijadikan suami). Harapan ini terbina pun kerana mimpi berkenaan. Pun begitu, saya dan dia tidak menjalinkan apa-apa hubungan. Ini sudah berlanjutan sejak Januari 2007. Semoga tuan dapat meleraikan kekusutan saya.
Sang Pemimpi,
Johor Baru
SEBELUM saya ulas dan memberi pandangan, sebaiknya kita perjelaskan kedudukan mimpi dalam Islam. Kita sering mendengar mimpi adalah permainan tidur. Ini adalah penilaian umum terhadap mimpi orang awam (orang biasa seperti saya dan anda).
Dalam Islam, kita berpegang dengan satu prinsip yang jelas iaitu mimpi bukan hujah. Maksudnya kita tidak boleh menjadikan mimpi sebagai hujah atau fakta untuk menegakkan suatu pendirian atau pendapat.
Contohnya jika kita bermimpi bahawa ada orang salih memberitahu mengenai suatu perkara, tidak ada kewajipan untuk kita mengikut saranannya, apatah lagi jika saranan itu bertentangan dengan syariat Islam.
Berlawanan dengan mimpi orang awam, mimpi nabi dan Rasul adalah kebenaran yang tidak boleh dipersoal. Ini kerana nabi dan Rasul terpelihara daripada godaan syaitan dan bisikan hawa nafsu.
Juga ada di antara nabi yang diberi kemampuan untuk mentafsirkan mimpi seperti Nabi Yusuf. Mimpi orang salih boleh dianggap sebagai ilham yang dianugerahkan Allah. Namun seperti mimpi orang awam, ia tetap tidak boleh dijadikan sandaran dan hujah untuk menetapkan sesuatu perkara.
Umat Islam tetap perlu kembali kepada al-Quran dan hadis serta ijtihad ulama berdasarkan istinbat hukum dan hujah untuk memutuskan urusan umat Islam. Mimpi sama sekali tidak boleh menyokong satu pendapat atau sebaliknya kerana dikhuatiri menimbulkan perpecahan kerana tidak ada neraca yang boleh diguna pakai dalam menentukan isyarat terkandung dalam mimpi seseorang.
Bagi manusia biasa seperti kita, mimpi ada kalanya boleh dianggap sebagai petunjuk atau pertolongan Allah. Banyak perkara yang harus di dunia ini membabitkan pemilihan sama ada sesuatu itu baik atau buruk hanya Allah yang mempunyai pengetahuan lengkap mengenainya.
Ayat al-Quran ada yang memberitahu kita mengenai perkara yang tidak kita sukai sedangkan ia baik buat kita dan cenderung kepada sesuatu yang disukai tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk kita.
Dalam soal memilih pasangan, kita diingatkan Allah, antara lain supaya tidak mengahwini wanita musyrik sungguhpun perasaan cenderung kepadanya. Sebab itu kita dianjurkan berdoa seperti doa pemuda al-Kahfi yang tertidur dalam gua yang diceritakan dalam surah Al Kahfi.
Mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami di sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus dalam urusan kami."
Berbalik kepada isu ditanyakan apakah mimpi boleh dijadikan sandaran? Seperti dijelaskan, mimpi boleh menjadi isyarat atau petunjuk. Sering kali apabila kita keliru dan tidak pasti keputusan apakah patut diambil, kita memohon petunjuk Allah supaya memberikan jawapan atau penyelesaian.
Ia boleh datang dalam bentuk gerak hati, mimpi atau petanda tertentu yang menyebabkan hati kita berasa tenteram terhadap sesuatu keputusan. Rasulullah SAW ada menyebut dalam hadis yang bermaksud: "Jika kamu tidak pasti, tanyakanlah hatimu."
Ini yang sering kali disebut 'tepuk dada, tanya selera'. Tetapi sebelum tanya selera kita, kena tepuk dada tanya iman. Jika selera tadi tidak bertentangan dengan syariat, maka teruskanlah. Letakkan azam dan bertawakal seperti firman Allah yang bermaksud: "Apabila kamu sudah berazam bertawakallah kepada Allah."
Dalam soal memilih pasangan, Islam memberi panduan iaitu wanita dikahwini kerana empat, harta, kecantikan, keturunan dan agama. Maka pilihlah yang beragama, nescaya beruntung kedua-dua tanganmu.
Jelas dalam hadis itu kita perlu memilih pasangan yang dipastikan pegangan agamanya mantap. Yang selain daripada itu adalah nilai tambah atau bonus. Kecantikan, keturunan dan harta boleh memusnahkan dan mendatangkan penderitaan berpanjangan jika tidak ada pegangan agama kukuh.
Jika dari sudut zahirnya lelaki itu taat beragama dan berpegang teguh dengan Islam, ia adalah pilihan yang baik. Namun seperti digariskan, hanya Allah yang tahu sama ada pilihan kita baik atau sebaliknya.
Di sinilah kita memohon petunjuk dengan melakukan solat istikharah dan bermunajat kepada Allah dengan hati ikhlas untuk menjaga agama dan menjunjung syariat Islam dalam kehidupan mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk dalam bentuk gerak hati, mimpi atau kecenderungan tertentu.
Namun, perlu berhati-hati dengan syaitan kerana ia sentiasa berusaha menimbulkan syak wasangka dan ragu-ragu di hati kita. Oleh itu sentiasalah memohon perlindungan dari Allah daripada syaitan yang direjam supaya gerak hati kita adalah petunjuk dan isyarat dari Allah.
Untuk memastikan mendapat petunjuk Allah hendaklah kita menjaga hubungan dan syariat Islam. Seperti dijelaskan dalam persoalan ini, saudari tidak pernah menjalin apa-apa hubungan dengan lelaki berkenaan.
Teruskanlah memelihara adab dan akhlak serta batas pergaulan digariskan Islam. Jangan terikut-ikut aliran hari ini di mana umat Islam terjebak dalam budaya memadu cinta seperti orang Barat. Keluar berpasangan sedangkan mereka tidak ada ikatan sah sebagai suami isteri.
Di samping itu, hasrat murni saudari perlu disampaikan mengikut saluran yang betul. Sampaikan hajat dan harapan saudari kepada pihak ketiga yang boleh dipercayai, selalunya pasangan suami isteri yang amanah untuk menyampaikan kepada lelaki berkenaan.
Jangan bimbang dikata orang 'perigi mencari timba'. Dalam Islam tiada halangan untuk seorang wanita menyampaikan hasratnya kepada lelaki yang baik untuk menjadi calon suami, seperti Saidatina Khadijah yang menghantar wakil menyampaikan hasratnya kepada Rasulullah SAW.
Jawapan disediakan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Friday, April 25, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment