Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali
ORANG mukmin yang membuang waktu adalah disebabkan tidak memahami saranan Islam mengenai penjagaan masa. Jika kita kembali kepada saranan al-Quran, banyak ayat serta hadis membicarakan mengenai masa dan cara menggunakannya dengan baik.
Islam memberi penghargaan kepada masa kerana ia dapat menjadikan kehidupan manusia lebih teratur dan dapat berinteraksi dengan Tuhannya serta orang lain dengan sempurna.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Dia sudah menundukkan bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan menundukkan bagimu malam dan siang, dan Dia mengurniakan setiap permintaan kamu itu. Dan jika kamu hendak memperhitungkan segala nikmat Allah nescaya kamu tidak mampu untuk menghitungnya." (Surah Ibrahim, ayat 33-34)
Di samping itu, masa adalah tanda kekuasaan Allah SWT dalam kewujudan kehidupan ini. Allah SWT menyuruh manusia mensyukurinya. Di samping itu, Allah SWT bersumpah dalam al-Quran dengan waktu dalam pelbagai situasi antaranya, demi waktu malam (wa al-lail), demi waktu Fajar (wa al-fajr), demi waktu dhuha (wa al-dhuha), demi masa (wa al-asr). Allah SWT juga menamakan surah berkenaan dengan waktu yang menunjukkan kepentingan masa kepada manusia untuk dimanfaatkan.
Masa juga berkait rapat dengan ibadat dalam Islam kerana setiap ibadat perlu dilaksanakan apabila tiba waktunya. Seperti solat lima waktu, solat Jumaat, puasa dalam bulan Ramadan, haji di bulan Zulhijjah dan zakat apabila tiba masanya. Islam menggalakkan umatnya mengingati Allah SWT dengan bertasbih dan berzikir tanpa mengira waktu.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara pada waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang yang lalai." (Surah al-Araf, ayat 205)
Setiap Muslim terikat dengan waktu dan ibadat seperti solat, puasa dan lainnya dalam seluruh kehidupan. Mereka sentiasa berhati-hati supaya tidak luput waktu daripada menunaikan kewajipan itu.
Rasulullah SAW memberitahu bahawa waktu yang dimiliki akan ditanya di hadapan Allah SWT pada hari akhirat. Diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap hamba pada hari akhirat tidak akan dapat mengorak langkah menuju ke mana-mana sehingga ditanya empat perkara iaitu mengenai umur dihabiskan, bagaimana melalui usia muda, daripada mana harta diperoleh dan bagaimana dia membelanjakannya serta apakah dia sudah beramal dengan ilmunya itu."
Dua soalan mengenai masa ditanya iaitu umur secara keseluruhan dan khususnya pada usia muda. Usia muda adalah paling berharga kerana ia saat manusia mempunyai tenaga dan fikiran terbaik jika dibandingkan dengan usia kanak-kanak atau usia lanjut dengan serba keuzuran.
Manusia perlu sedar masa beredar terlalu pantas dan cepat terutama pada saat keseronokan. Cuma pada waktu kesedihan, masa berlalu dirasakan terlalu panjang. Hakikatnya, semua sama kerana masa beredar begitu cepat.
Nabi Nuh AS yang hidup lebih daripada seribu tahun berasakan kehidupan itu terlalu singkat dengan mengumpamakan kehidupan seperti sebuah rumah yang mempunyai pintu depan dan belakang. Aku masuk ke dalamnya melalui pintu depan dan keluar melalui pintu belakang. Itulah kehidupan yang manusia sering berebut untuk memperolehnya.
Manusia juga harus mengerti bahawa masa yang berlalu tidak akan kembali dan tidak dapat dicari ganti. Apabila kita mengetahui kepentingannya, sewajarnya masa tidak dibuang begitu saja tanpa melakukan perkara yang berfaedah. Sebaliknya, masa diurus dengan teratur dan sempurna.
Abdullah ibn Masud berkata, "Saya belum pernah menyesal melainkan penyesalan saya pada hari apabila terbenamnya matahari, semakin singkat umur saya ini, sedangkan amalan saya tidak bertambah."
Oleh itu, orang yang memahami kepentingan masa akan menjaga masa melebihi menjaga wang ringgit mereka. Kehidupan ini hanya beberapa hari saja dan apabila hari berlalu pergi, hilanglah separuh daripada umur kita.
Orang yang tidak menghargai masa sekarang akan menyesal di akhirat nanti. Al-Quran menyebutkan dua kali manusia akan menyesal yang mana penyesalan itu tidak ada gunanya lagi iaitu penyesalan pada saat ajal sudah hampir tiba.
Manusia bercita-cita dipanjangkan umur untuk melakukan kebajikan dan memperbaiki kehidupan serta mendapatkan waktu yang sudah hilang itu. Masa tetap berlalu dan ajal akan menjemputnya.
Kedua, masa di akhirat yang mana manusia bercita-cita untuk dikembalikan ke dunia semoga mereka dapat membuat amal yang terbaik. Harapan itu tidak akan tercapai kerana pada hari itu semua manusia akan menerima perhitungan masing-masing.
Umat Islam perlu menghindari pembaziran masa seperti berbual kosong di kedai kopi atau menghabiskan masa di tempat permainan hingga lupa tanggungjawab dunia dan akhirat. Orang yang membuang masa dengan percuma adalah orang yang menganiaya dirinya sendiri.
Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan lima perkara yang perlu direbut sebelum datangnya lima perkara iaitu masa hidup sebelum mati, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa muda sebelum tua dan masa senang sebelum papa.
Tugas utama seorang Muslim ialah memelihara masa. Setiap detik waktu perlu diawasi supaya dimanfaatkan untuk agama dan dunianya. Golongan salaf sangat memberi perhatian kepada masa dan akan berasa rugi jika hari itu mereka tidak memperoleh ilmu pengetahuan.
Maka setiap hari mereka berusaha supaya ilmu akan bertambah dengan belajar dan membaca. Imam al-Shafie membahagikan masa malamnya kepada tiga bahagian untuk ibadat, belajar dan mengajar ilmu serta masa untuk tidur.
Muslim yang inginkan keberkatan hidup sewajarnya mengikut sistem hidup yang digariskan Islam. Peraturan yang dikehendaki ialah setiap Muslim perlu tidur awal dan bangun lebih awal atau sekurang-kurangnya sebelum terbitnya matahari.
Muslim yang sentiasa bangun awal pagi akan memperoleh berkat seperti yang didoakan Nabi Muhammad yang bermaksud: "Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku pada awal pagi."
Setiap orang mendapat masa 24 jam tanpa berkurang atau lebih dan orang yang bijak akan menggunakan masa dengan sebaiknya. Bilangan bukan penentu tetapi kualiti dan penjagaan masa menjadi keutamaan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, amatlah sedikit mereka ini." (Surah Shad, ayat 24)
Ibn Ata'illah berkata dalam hikmahnya: "Banyak sekali manusia diberikan usia umur yang panjang tetapi sumbangan diberikannya sangat sedikit, dan banyak sekali orang mempunyai usia umur yang pendek, tetapi mereka memberikan sumbangan sangat banyak. Sesiapa yang umurnya diberi berkat oleh Allah, maka dalam jangka masa pendek dia akan mendapatkan pelbagai kurniaan daripada-Nya, yang sangat sulit untuk diungkapkan."
Tuesday, April 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment