Tuesday, April 15, 2008

Perspektif Ikim: Inggeris pinggir undang-undang Islam

Oleh Mastura Mohd Zain

Hukum syarak akan menjadi peraturan Tanah Melayu jika tidak disekat penjajah

UNDANG-UNDANG Islam adalah undang-undang yang berkuatkuasa di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah Inggeris kerana apabila pengaruh Islam sampai ke Tanah Melayu, ia banyak mempengaruhi perkembangan, pelaksanaan undang-undang serta peraturan dalam masyarakat.

Ini dibuktikan dengan adanya beberapa kumpulan undang-undang seperti Risalah Hukum Kanun atau Undang-undang Melaka. Walaupun masih dibelenggu dengan pengaruh adat, pada dasarnya Hukum Kanun Melaka adalah undang-undang adat Melayu yang bersesuaian dengan Islam.

Ada peruntukan dalam undang-undang Melaka itu yang menyebut mengenai undang-undang dan acara berhubung urus niaga Islam, timbangan, ukuran, larangan riba dan kaedah menjual tanah.

Selain Hukum Kanun Melaka, ada juga Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-Undang 99 Perak dan Undang-Undang Sungai Ujung. Banyak bukti menunjukkan undang-undang yang ada di Melaka adalah undang-undang induk bagi undang-undang dilaksanakan di negeri lain.

Bagaimanapun, dengan kedatangan penjajah Inggeris, proses pengubahsuaian adat Melayu dan undang-undang Islam terhenti. British menggunakan pengaruhnya di Tanah Melayu untuk mengetepikan undang-undang Islam sehingga R J Wilkinson berkata maksudnya: "Tidak diragukan lagi bahawa undang-undang Islam akan menjadi undang-undang Tanah Melayu jika undang-undang British tidak masuk dan menahannya."

Prinsip undang-undang Inggeris di negara ini mula dipakai apabila Inggeris bertapak di Pulau Pinang pada 1786. Campur tangan Inggeris di negeri Melayu bermula di Perak pada 1874.

Memang benar perjanjian antara British dan raja Melayu tidak menyebut dengan jelas mengenai pengenalan undang-undang Inggeris ke negeri Melayu, namun pihak Inggeris dengan cara beransur-ansur menerapkan undang-undang mereka.

Proses itu akhirnya membawa kepada penyediaan struktur dan sistem pentadbiran bagi pelaksanaan undang-undang Inggeris. Undang-undang Inggeris diperkenalkan ke Tanah Melayu melalui dua cara iaitu, melalui keputusan hakim Inggeris, dan melalui statut (akta).

Statut pula boleh dibahagi dua iaitu umum dan khusus. Statut umum contohnya adalah Akta Undang-undang Sivil 1956, yang bermula sebagai Enakmen Undang-undang Sivil 1937. Akta itu menyediakan landasan bagi pemakaian undang-undang Inggeris di negeri Melayu.

Seksyen 3 Akta itu memperuntukkan, "Melainkan ada ubah suai yang dibuat atau akan dibuat oleh undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Malaysia."

Daripada peruntukan disebutkan, jelas prinsip undang-undang Inggeris dan ekuiti hanya boleh dirujuk jika tiada undang-undang tempatan mengenainya. Namun hakikatnya undang-undang Inggeris tetap dipakai di negeri Melayu walaupun ada undang-undang tempatan mengenainya.

Oleh itu boleh dikatakan bahawa kedatangan British dan pengaruhnya menyebabkan undang-undang Islam tidak dapat dikembangkan dan akhirnya terpinggir.

Akta khas yang memperkenalkan undang-undang Inggeris antaranya Akta Kontrak 1950, Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah. Hakikatnya akta itu adalah pengkanunan prinsip Common Law Inggeris, sekali gus bererti kes yang diputuskan mahkamah Inggeris akan dibawa masuk dalam sistem perundangan negara. Keadaan itu menguatkan lagi status undang-undang Inggeris berbanding undang-undang tempatan.

Prinsip undang-undang kontrak Inggeris pula mula terpakai di Malaysia apabila negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang menerima Akta Kontrak 1872 (akta ini kemudian dikemaskinikan menjadi Ordinan Kontrak 1950) yang dibawa masuk dari India, pada 1899.

Pada ketika itu negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu masih lagi mengamalkan undang-undang tempatan mengenai perdagangan.

Prinsip itu bagaimanapun diketepikan apabila mereka mula menerima pakai undang-undang Inggeris mengenai kontrak. Contohnya, Johor menerima Akta Kontrak dengan rasminya pada 1914, sebaik saja dipaksa menandatangani perjanjian yang meletakkannya di bawah naungan Inggeris.

Negeri Melayu Tidak Bersekutu yang lain pula menerima pakai undang-undang kontrak Inggeris secara tidak langsung apabila pertikaian mengenai kontrak diselesaikan melalui pemakaian prinsip undang-undang kontrak Inggeris.

Alasan yang diberikan adalah langkah itu mampu menyeragamkan undang-undang antara negeri di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Negeri dalam Persekutuan yang lain iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bagaimanapun hanya menerima Ordinan Kontrak, yang dikemaskini menjadi Akta Kontrak 1950, pada 1974.

Namun sebenarnya undang-undang kontrak Inggeris sudah mula dipakai di situ sejak adanya Ordinan Undang-undang Sivil 1878 lagi. Selain daripada undang-undang kontrak dan perniagaan yang digubal mengikut undang-undang Inggeris, mahkamah sivil saja yang mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes mengenai kontrak dan perniagaan. Mahkamah syariah tidak diberi bidang kuasa membicarakan kes seperti itu.

Mungkin boleh disebutkan sedikit mengenai perbezaan penting antara undang-undang kontrak Inggeris dan prinsip kontrak Islam. Undang-undang kontrak kedua-dua sistem menyarankan persetujuan mesti dibuat dengan rela hati.

Bagaimanapun, mengikut undang-undang Inggeris jika ada prinsip caveat emptor pembeli hendaklah awas, supaya tidak tertipu. Akta Kontrak 1950 menghuraikan: Seksyen 17 menyebutkan keadaan diam mengenai fakta yang mungkin mempengaruhi kerelaan seseorang membuat kontrak tidak dianggap sebagai penipuan.

Seksyen 19 pula disebut sebagai kecuali jika kerelaan disebabkan oleh gambaran yang salah atau keadaan diam. Kontrak itu tidak boleh dibatalkan, jika pihak yang memberi kerelaan itu boleh mendapat tahu apa yang sebenarnya dengan usaha biasanya sendiri.

Prinsip kontrak Islam pula menjelaskan persetujuan mestilah bebas daripada kesilapan, salah nyata, penipuan dan paksaan. Islam menganggap kerelaan atau keredaan sebagai asas sesuatu kontrak.

Oleh itu, dalam Islam seseorang seharusnya memberitahu kepada pihak yang lain jika ada apa-apa kecacatan terhadap barang atau perkara yang menjadi subjek kontrak.

Walaupun ada persamaan dengan undang-undang Inggeris mengenai kerelaan, prinsip caveat emptor dalam undang-undang kontrak Inggeris di mana pembeli perlu menyelidik sendiri kecacatan barang, tidak terpakai dalam undang-undang kontrak Islam.

Akhir sekali, latar belakang atau sejarah sesuatu undang-undang itu tidak boleh dipandang sepi, ia penting untuk diketahui, supaya kita dapat lebih memahami mengapa sesuatu undang-undang itu seperti yang sedia ada pada hari ini.

INTI PATI

Prinsip undang-undang Inggeris di negara ini mula dipakai apabila Inggeris bertapak di Pulau Pinang pada 1786. Campur tangan Inggeris di negeri Melayu bermula di Perak pada 1874.

Prinsip undang-undang kontrak Inggeris pula mula terpakai di Malaysia apabila negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang menerima Akta Kontrak 1872 (akta ini kemudian dikemaskinikan menjadi Ordinan Kontrak 1950) yang dibawa masuk dari India, pada 1899.

Negeri Melayu Tidak Bersekutu yang lain pula menerima pakai undang-undang kontrak Inggeris secara tidak langsung apabila pertikaian mengenai kontrak diselesaikan melalui pemakaian prinsip undang-undang kontrak Inggeris.

Prinsip kontrak Islam pula menjelaskan persetujuan mestilah bebas daripada kesilapan, salah nyata, penipuan dan paksaan. Islam menganggap kerelaan atau keredaan sebagai asas sesuatu kontrak.

No comments: