Oleh Mohd Adid Ab Rahman
HIDUP dalam suasana masyarakat yang aman, sejahtera, maju, bersatu padu, terhormat dan disegani menjadi dambaan semua orang. Corak masyarakat sedemikian sudah tentu dicucuri rahmat dan memperoleh keredaan Allah kerana berjalan di landasan yang benar mengikut syariat Islam.
Sesungguhnya masyarakat gemilang dan cemerlang akan terbina kukuh, jika setiap anggotanya berpegang kepada keimanan sebenar kerana setiap orang yang beriman serta bertakwa cenderung melakukan amalan soleh.
Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” - (Surah al-Asr, ayat 1-3)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Orang yang keimanan dan beramal salih, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.” - (Surah ar-Ra’d, ayat 29)
Masyarakat yang beriman akan membuahkan suasana aman dan sejahtera. Ini disebabkan keimanan yang dipegang erat menimbulkan rasa takut dan gerun kepada ancaman serta azab Allah yang dahsyat.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, bertambahlah iman. Kepada Tuhan mereka jugalah mereka bertawakal.” - (Surah al-Anfal, ayat 2)
Dengan demikian, dapat difahami bahawa dengan adanya perasaan takut manusia akan berusaha sedaya upaya menjauhi perkara mungkar yang dilarang agama, sebaliknya memperelok akhlaknya kepada Allah.
Maka, tidak terjadilah dalam masyarakat gejala negatif seperti kes ragut, peras ugut, pembuangan bayi hasil perzinaan akibat pergaulan bebas, pengedaran dadah, pembunuhan serta pelbagai lagi penyakit sosial yang mengganggu ketenteraman.
Kebajikan dan keselamatan masyarakat juga akan terjamin kerana keimanan menyemarakkan sikap terpuji iaitu tolong-menolong dan bekerjasama. Ahli masyarakat menghayati pesanan Rasulullah SAW mengenai setiap Muslim adalah bersaudara yang saling lengkap-melengkapi.
Banyak lagi sabda Baginda SAW yang perlu dihayati masyarakat hari ini antaranya daripada Anas bin Malik katanya: “Nabi SAW bersabda: Tidak sempurna iman seseorang itu sebelum dia mengasihi saudaranya.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Firman Allah yang bermaksud: “... dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan jangan kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” - (Surah al-Ma’idah, ayat 2)
Sebagaimana dikupas oleh Mukhlas Asy-Syarkani Al-Falahi dalam tulisannya bertajuk ‘Keajaiban Ibadah’ bahawa yang dibolehkan menolong dalam hal kebaikan saja seperti menyebarkan Islam, menegakkan keadilan, menjaga hak asasi manusia, meningkatkan amalan ibadah, menepati janji, menyelesaikan permasalahan hidup dan seumpamanya.
Dengan demikian, soal kemiskinan dapat dihapuskan, gejala sosial dapat dilenyapkan, tiada lagi pergaduhan dan pertumpahan darah serta masalah sosial lain kerana masyarakat hidup dalam lingkungan iman serta takwa.
Menuju masyarakat beriman, perlu ada usaha dakwah yang berterusan untuk membimbing dan menyedarkan manusia supaya mengamalkan nilai Islam dalam seluruh kehidupannya dengan ikhlas serta penuh keimanan. Akhirnya akan lahirlah masyarakat sejahtera.
Friday, April 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment