Oleh Hasliza Hassan
DARI kiri, Zaidan Bahar, Abdul Rahman Hamzah dan Solahuddin Ramli.
MULTAQA Imam-Imam Masjid Seluruh Negara 2008 yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai strategi menghadharikan masjid mendapat sambutan baik imam yang menghadiri perhimpunan bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan multaqa itu meminta supaya institusi masjid sentiasa diimarahkan dan dijadikan tempat yang selesa serta minat dikunjungi semua anggota masyarakat, termasuk generasi muda.
Perdana Menteri berkata, keutamaan harus diberikan supaya masjid bukan hanya menjadi tempat untuk mengerjakan ibadat, sebaliknya digunakan juga bagi menganjurkan kegiatan seperti aktiviti berdakwah dan menganjurkan kelas agama.
Katanya, aspek penyelenggaraan juga perlu diberi perhatian pihak pengurusan masjid bagi memastikan persekitarannya sentiasa terpulihara kerana tarikan ke masjid bermula apabila ia selesa dan indah dengan persekitaran menarik.
Imam 1 Masjid Teluk Mas, Melaka, Zaidan Bahar, 58, berharap imam masjid memberi perhatian kepada perkara yang ditekankan Perdana Menteri dan bekerja keras memastikan masjid di tempat mereka diimarahkan dengan pelbagai aktiviti menepati keperluan semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, imam dan jawatankuasa pengurusan masjid perlu memikirkan cara kreatif supaya program yang dianjurkan dapat memperlihatkan suasana masjid yang meriah dan kesatuan umat Islam dalam hidup bermasyarakat.
"Apa yang disarankan memang tepat. Terpulang kepada mereka untuk mendengar dan melaksanakannya atau setakat mendengar saja. Tetapi, jika setiap pihak ikhlas terhadap Allah, mereka akan lakukan yang terbaik untuk masjid dan ahli kariahnya.
"Tugas menanti saya ialah membuat perancangan untuk meramaikan lagi jemaah masjid dan dengan maklumat serta pendedahan diberikan hari ini, saya berharap dapat melaksanakan usaha itu dengan baik," katanya yang mengakui sudah mempunyai perancangan untuk mempertingkatkan mutu pengurusan Masjid Teluk Mas, Melaka.
Imam Masjid Baru Sungai Rengas, Kuala Terengganu, Mohd Shafie Jusoh, 65, berkata cabaran yang dihadapi masjid dalam perkembangan semasa ialah berhadapan masalah pemulauan akibat daripada fahaman politik.
Katanya, agak sukar bagi imam menyelesaikan masalah itu bagaimanapun usaha tetap dilakukan memandangkan harapan yang diletakkan terhadap masjid sebagai institusi yang dapat menyatukan umat Islam tidak kira dalam keadaan apa juga.
"Perbincangan hari ini yang banyak mendedahkan cara berhadapan masalah dikaitkan dengan masjid memang diharapkan oleh kami imam masjid. Dengan suntikan baru ini diharap semua imam tidak akan berputus asa sebaliknya menguatkan lagi semangat menjadikan umat Islam bersatu," katanya.
Beliau berkata, sememangnya imam adalah pihak paling rapat dengan anggota masyarakat dan sewajarnya mereka turun padang untuk memberi maklumat jelas berhubung isu yang menjadi perbincangan semasa.
Imam Masjid Kangkar, Teberau, Johor Bharu, Abdul Rahman Hamzah, 70, mengakui masjid juga mendapat tempias daripada kesan pilihan raya baru ini yang memperlihatkan berlaku perpecahan di kalangan ahli kariah.
Bagaimanapun katanya, dengan usaha keras serta semangat mempelbagaikan aktiviti supaya institusi masjid dapat dimanfaatkan sepenuhnya, usaha menyatupadukan umat Islam dapat dilaksanakan.
"Walaupun masjid kami tidak berhadapan dengan masalah perpecahan, usaha menggalakkan masyarakat mendekati masjid akan terus dilakukan supaya hubungan silaturahim dapat diperkuatkan. Mana ada kekurangan, kita akan perbaiki," katanya.
Imam Masjid Batu 14 Kemaman, Terengganu, Solahuddin Ramli, 46, berkata imam perlu memberi penekanan kepada masyarakat supaya tidak mengaitkan institusi masjid dengan ideologi yang merosakkan hubungan umat Islam.
Sebaliknya, masyarakat perlu diajak untuk menyuburkan lagi fungsi masjid sebagai pusat aktiviti yang mendatangkan manfaat melalui kelas agama, program pendidikan, riadah serta aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong.
"Perpecahan yang berlaku dalam masyarakat memang menyedihkan. Pendekatan yang patut diambil ialah memberi nasihat kepada masyarakat di kariah masing-masing pentingnya umat Islam bersatu padu untuk menjaga keamanan dan kestabilan politik, yang menentukan keamanan negara.
"Memang ini cabaran bagi imam tetapi saya yakin imam sudah bersedia dengan syarat semua pihak termasuk pemimpin tertinggi kerajaan memberi bantuan. Menyeru kepada kebaikan bukan tanggungjawab imam saja, tetapi tanggungjawab semua," katanya.
Beliau berkata, multaqa seperti itu perlu kerap diadakan supaya imam mendapat maklumat jelas mengenai isu semasa membabitkan kepentingan semua bagi memudahkan mereka memikirkan cara terbaik mengatasi permasalahan yang berlaku.
Saturday, April 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment