Oleh Aminudin Mansor
SEBAGAI manusia biasa, sifat marah memang ada dalam hati dan jiwa seseorang. Bagaimanapun, sifat marah boleh dikawal supaya tidak berleluasa daripada menyelubungi perasaan dan tindakan kita.
Pakar psikologi menyatakan, sifat marah biasanya berpunca daripada sesuatu sebab atau kesan yang menyebabkan seseorang itu melahirkannya dalam dalam bentuk tindakan dan berasa tidak selesa apabila tidak berbuat demikian.
Menurut ahli sufi, marah disebabkan darah yang memenuhi hati dan bertujuan membalas dendam terhadap seseorang.
Rasulullah SAW pernah menasihatkan Mu'awiyah: "Wahai Mu'awiyah, jauhkan olehmu sifat marah, kerana marah itu dapat merosakkan iman seseorang seperti pahit jadam merosakkan madu yang manis."
Marah berasal daripada syaitan kerana syaitan dijadikan daripada api dan api itu hanya dapat dibunuh dengan air. Maka oleh sebab itu Nabi SAW menasihatkan supaya orang yang sedang marah mengambil wuduk.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai anak Adam, sebutlah nama-Ku apabila engkau marah, supaya Aku ingat pula akan engkau, dengan demikian apabila Aku marah tidaklah Aku menurunkan malapetaka atasmu."
Itulah sebabnya salah satu amal terbaik ialah menahan diri tatkala marah dan sabar sewaktu hawa nafsu meluap-luap. Maka dapat dinilai orang yang baik itu harus nampak kebaikannya pada waktu marah bukan pada waktu riang gembira.
Rasa takut kepada Allah dapat menghilangkan rasa marah, kerana marah itu datang ketika seseorang melupakan Tuhannya. Hanya Allah yang berhak marah terhadap hamba-Nya yang ingkar dan melakukan kemaksiatan.
Kemarahan dapat menghancurkan segala kebaikan yang ada. Oleh itu, sebagai hamba patutlah mengawal kemarahan supaya tidak menjadi mangsa malapetaka yang boleh terjadi akibat kemarahan.
Sebagai bapa atau ibu, sifat marah terhadap anak patut dikawal sebaiknya supaya anak tidak menjadi mangsa kemarahan tanpa sebab dan si anak tidak akan menyimpan dendam terhadap kemarahan ibu bapa mereka.
Islam mengajar umatnya mengambil berat perihal hubungan murni antara anak dengan ibu bapa. Ia adalah sebagai teras penting dalam kehidupan rumah tangga.
Sementara anak pula, wajib menghormati ibu bapa selagi mereka tidak menyuruh kepada perkara dilarang Allah.
Seorang anak mestilah menjaga lidahnya supaya tidak memarahi ibu bapa mereka, apatah lagi apabila kedua-duanya sudah tua dan uzur.
Allah menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud: "Jika salah seorang daripada keduanya (ibu bapa), atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah!" dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun)." (Surah al-Isra', ayat 23)
Ibu bapa pula, perlu bersikap sayang menyayangi antara anak dan ibu bapa haruslah diwujudkan dalam rumah tangga. Hindarkan sifat marah tanpa bersebab, kerana ia boleh menjadi punca renggang kasih sayang antara anak dan ibu bapa.
Keluarga bahagia memang menjadi idaman setiap insan. Namun, sepanjang hidup sebumbung, ada ketikanya suami marah terhadap isteri, anak, mungkin berkaitan hal disiplin dalam rumah, hal pelajaran anak, kewangan, makanan dan pelbagai lagi hal ehwal rumah tangga.
Begitu juga sikap sesetengah ibu, yang suka berleter kerana rumah tidak berkemas, atau sampah bertaburan di luar rumah, pinggan mangkuk dan kain baju tidak dibasuh. Apa pun puncanya, sifat marah keterlaluan boleh mengeruhkan suasana hingga menjejaskan hubungan kasih sayang antara suami isteri, ibu bapa dan anak.
Hubungan boleh menjadi renggang, menimbulkan penderaan terhadap anak ataupun lebih buruk lagi perceraian suami isteri. Sifat marah juga boleh merosak dan mengakibatkan kemusnahan jika tidak dikawal dengan hati yang rasional dan fikiran tenang.
Jika kita berhadapan dengan orang yang sedang marah, cubalah hadapinya dengan langkah berikut:
l Beri peluang orang yang sedang marah itu bercakap atau meluahkan terlebih dulu punca kemarahannya;
l Ketika berhadapan dengan individu yang sedang marah, janganlah menyampuk dan merendahkannya;
l Kaji punca kemarahannya dan cuba atasi. Jika berpunca daripada kesilapan kita, mintalah maaf daripadanya;
l Cubalah bertanya soalan bagi membantu menyelesaikan masalah;
l Terima kemarahan dengan tenang.
Bagi mengubati perasaan marah, cubalah amalkan;
l Sentiasa ingat kepada Allah dan ingatlah juga bahawa marah adalah sifat tercela yang tidak disenangi orang lain;
l Ambil wuduk dan bawa bertenang dengan memikirkan asal kejadian kita.
l Fikir semula mengapa kita harus marah. Nilai semula punca yang menyebabkan kita marah.
Saturday, April 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment