Monday, April 21, 2008

Tajdid Iman: Komplot peribadi rosak imej Islam

Bersama Dr Juanda Jaya

Golongan orientalis bencikan agama guna kuasa, pengaruh cipta keburukan

UMAR al-Khattab adalah seorang pemimpin ulung dan khalifah ternama yang mencatat sejarah sebagai pemimpin utama umat manusia. Ketika menjadi khalifah, beliau berjumpa seorang peminta sedekah yang sudah tua dan lemah daripada bangsa Yahudi.

Beliau terkejut kerana mendapati wujud di kalangan rakyat jelatanya peminta sedekah yang tidak berdaya. Beliau pun bertanya: "Mengapa orang tua ini meminta sedekah?" Lelaki itu menjawab: "Saya adalah pembayar jizyah, wahai Amirul Mukminin."

Mendengar keluhan Yahudi itu Umar terus memerintahkan pegawai kewangan Baitulmal: "Tidak patut sungguh! Pada waktu muda tenaga orang ini ditumpahkan untuk mencari nafkah hidupnya dan jizyah pula sentiasa dia bayar. Sekarang dia susah tua, maka mengapa kita biarkan dia meminta sedekah. Mulai sekarang hapuskan namanya daripada senarai orang yang dipungut jizyah, lalu pindahkan namanya ke dalam senarai orang fakir miskin yang berhak menerima zakat."

Adil, rahmat dan bertimbang rasa. Begitulah seharusnya gambaran Islam apabila menjadi dasar pada sebuah negara.

Prof Yusuf al-Qaradawi dalam Al-Khasaisul Ammah Lil Islam, memberikan pandangan lebih luas mengenai ciri Islam yang merangkumi nilai utama iaitu nilai ketuhanan, kemanusiaan, sejagat, sederhana dan gabungan transformasi serta ketetapan dalam seluruh ajarannya.

Nilai ketuhanan bermakna segala fahamannya tidak terlepas daripada bimbingan wahyu, sementara nilai kemanusiaan yang membawa ajaran mengakui dan membela hak asasi manusia sejagat.

Adapun ciri yang ketiga ialah agama ini memiliki nilai sejagat iaitu mengatur segenap sistem hidup manusia secara lengkap bukan hanya aspek ibadah saja diutamakan, tetapi juga sistem politik, ekonomi, sosial, ilmu dan teknologi, kedaulatan negara dan kekuatan jihad diatur dengan sempurna.

Keempat ialah Islam bersikap sederhana, adil dan seimbang berlainan dengan fahaman dibuat manusia seperti fahaman sosialis yang menghapuskan hak setengah golongan daripada setengah yang lain ataupun fahaman kapitalis membebaskan golongan kuat memperhambakan yang lemah.

Islam juga bercirikan transformasi dipadu kekuatan ketetapannya terhadap nilai wahyu. Islam menerima perubahan dan penggabungan nilai lama dan baru dengan syarat ia tidak merosak syariah yang suci kerana yang menciptanya adalah Allah Yang Maha Suci daripada kecacatan.

Islam yang cantik, ideologi sempurna, doktrin efektif, fahaman relevan. Tetapi sayang, ramai orang di luar Islam diberikan gambaran teruk mengenai agama ini, gerak kerja orientalis yang bersepadu berjaya menconteng arang ke wajah sejarah Islam.

Ini ditambah dengan pengaruh media masa kini yang dikuasai kebencian terhadap Islam dan sumbangan besar serpihan kumpulan radikal menggunakan nama Islam sebagai alat untuk kepentingan peribadi dan golongan yang jelas bercanggah daripada sistem Islam yang suci berjaya mencorotkan kedudukan agama kita di mata dunia.

Jangan salahkan Islam, tetapi peribadi yang membawa nama Islam itu sebenarnya menjelekkan lagi wajah agama Allah ini. Islam tetap suci, tetapi perbuatan seorang Muslim yang sepatutnya mesti disucikan kerana mengotori Islam.

Banyak sungguh yang menggunakan nama Islam untuk kepentingan peribadi, akibat daripada kejahatan ini, maka orang komunis berpendapat agama itu candu bagi manusia. Sedangkan yang sekular benci mendengar sistem Islam cuba diterapkan dalam ekonomi, politik dan sebahagian aspek kehidupan.

Mereka mahu memisahkan agama daripada kepentingan dunia. Apakah kejahatan yang lebih dahsyat pada agama ini selain mengambilnya jika mendatangkan keuntungan dan membuangnya jika dilihat menjejaskan kepentingan hawa nafsu?

Keuntungan yang didapati daripada penjualan nama agama ini bukan dilakukan oleh ahli perniagaan atau orang politik saja, tetapi juga pendakwah yang mengambil peluang duniawi dalam dakwahnya. Ada yang meminta bayaran untuk khidmat membaca al-Quran bagi arwah orang sudah meninggal.

Jika begitu, bolehlah syurga itu dibeli untuk orang yang sudah mati, asalkan ada duit semuanya boleh diatur. Amalan yang langsung tiada sandaran daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW semakin subur.

Menambah cela pada wajah agama ini, semua itu kerana desakan kepentingan peribadi. Erti keikhlasan menjadi persoalan adakah memperguna agama boleh diterima sebagai usaha meninggikan kalimah Allah?

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukuman ke atasnya pada hari kiamat ialah seorang yang mati syahid. Dia dihadapkan kepada Allah kemudian Allah mengingatkannya akan nikmat yang pernah dikurniakan ketika di dunia, maka dia pun mengingatinya, kemudian Allah bertanya: "Apakah yang engkau lakukan dengan nikmat yang Aku berikan kepadamu itu? Dia menjawab: Nikmat itu saya gunakan untuk berperang kerana membela agama-Mu sehingga aku mati syahid. Allah berfirman: Engkau bohong, sebenarnya engkau berperang dengan matlamat supaya engkau dipuji sebagai perwira dan sudah pun dikatakan orang begitu kepadamu." Orang itu kemudian diheret wajahnya dan dicampakkan ke dalam neraka." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Jika orang yang syahid dipersoalkan matlamat jihadnya padahal dialah dipuji sebagai pahlawan dan seorang yang berani, bagaimana pula dengan orang dicela kerana terang-terangan merompak agama ini dan memperguna Islam demi kepentingan peribadi? Namun demikian kita tidak menafikan masih ada yang memiliki setulus keikhlasan dalam memperjuangkan agama.

Allah berfirman mengenai ciri umat yang bersih daripada segala kepentingan diri, bermaksud; "Katakanlah: Jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik."

Sifat paling menonjol dalam diri mereka berjuang ikhlas untuk Islam ialah mereka mahukan perubahan ke arah kebenaran, suka menyebarkan amar makruf dan bergiat aktif menegakkan nahi mungkar.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ubah dengan tangannya, Jika dia tidak kuasa, maka ubahlah dengan lidahnya. Barang siapa yang tidak kuasa dengan lidahnya hendaklah ubah dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)

Al-Imam Hasan Al-Basri berkata: "Tidak sedikit orang yang mati syahid, tetapi bukan di medan perang melainkan di atas katilnya. Iaitu orang yang terus menerus bekerja keras melaksanakan kehendak Allah dan Rasul-Nya dengan menyampaikan dakwah, mempergunakan peluang, atau kekuatan dan kekuasaan yang ada padanya. Sehingga tegaklah kalimah Allah."

INTI PATI

Ciri Islam yang merangkumi nilai utama iaitu nilai ketuhanan, kemanusiaan, sejagat, sederhana dan gabungan transformasi serta ketetapan dalam seluruh ajarannya.

Islam tetap suci, tetapi perbuatan seorang Muslim yang sepatutnya mesti disucikan kerana mengotori Islam.

Keuntungan yang didapati daripada penjualan nama agama ini bukan dilakukan oleh ahli perniagaan atau orang politik saja, tetapi juga pendakwah yang mengambil peluang duniawi dalam dakwahnya.

Menambah cela pada wajah Islam kerana desakan kepentingan peribadi.

Sifat paling menonjol dalam diri mereka berjuang ikhlas untuk Islam ialah mereka mahukan perubahan ke arah kebenaran, suka menyebarkan amar makruf dan bergiat aktif menegakkan nahi mungkar.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

No comments: