Wednesday, April 16, 2008

Peguam Syarie Menulis: Risiko mualaf dedah status agama kepada keluarga

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
http://peguamsyarie.blogspot.com

KERAJAAN Persekutuan dilaporkan berhasrat memperkenalkan peraturan baru mewajibkan orang bukan Islam yang ingin memeluk Islam supaya memaklumkan kepada keluarga masing-masing berhubung langkah berkenaan.

Hasrat diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggap perlu bagi mengelak masalah berbangkit berhubung taraf dan hak anak individu berkenaan serta kesulitan lain selepas mereka meninggal dunia.

Hasrat Kerajaan Persekutuan itu mendapat reaksi pelbagai daripada kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli agama dan ahli politik. Sebahagian menyokong, sebahagian lain tidak bersetuju. NGO Islam arus perdana juga tidak bersetuju jika peraturan itu dilaksanakan, begitu juga beberapa mufti seperti Mufti Perak dan Mufti Perlis.

Secara idealnya, memaklumkan keputusan memeluk Islam adalah baik kerana ia adalah anjakan paradigma memberi kesan kepada kehidupan mualaf itu. Namun, kita mesti mengkaji aspek praktikal dan keselamatan sama ada perkara sedemikian wajar dilaksanakan.

Ia boleh menghakis hak kebebasan beragama yang dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Jika sesuatu peraturan menafikan hak dijamin oleh Perlembagaan, maka peraturan sedemikian tidak elok digarap.

Seperkara lagi ialah hal-ehwal berkenaan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti termaktub di bawah Jadual Kesembilan Senarai Kedua Perlembagaan Persekutuan. Justeru, untuk peraturan itu dilaksanakan, cadangan perlu mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

Sebagai mualaf yang baru berjinak-jinak dengan agama Islam, pegangan agama kebanyakan mereka selalunya masih pada peringkat awalan dan belum mantap lagi. Ia mudah digoyahkan oleh pelbagai faktor seperti keluarga dan rakan.

Memang kita sering mendengar daripada saudara baru, apabila keluarga mengetahui mereka memeluk Islam, pelbagai cara dilakukan supaya mereka kembali ke agama asal. Ada dilaporkan ahli keluarga mengancam membunuh diri jika mualaf itu meneruskan hasrat memeluk Islam.

Ini menimbulkan dilema di kalangan mualaf. Malah, ada dilaporkan keluarga mengancam keselamatan mualaf kerana dianggap menconteng arang di muka keluarga. Tentulah keselamatan menjadi risiko jika keluarga diberitahu dan keimanan mereka juga masih lagi pada tahap awalan.

Persoalan berbangkit, sejauh mana kerajaan dapat menjamin keselamatan mualaf jika mereka dipaksa mengisytiharkan bahawa sudah memeluk Islam kepada keluarga?

Penulis memang bersetuju keputusan saudara baru memeluk Islam adalah suatu perkara besar dan membawa kesan berkekalan. Oleh demikian, memang perlu mereka memaklumkan kepada keluarga, tetapi biarlah mereka memilih cara dan masa bagaimana perkara itu patut diberitahu.

Mereka yang faham isi hati dan reaksi ahli keluarga terhadap keputusan dibuat. Undang-undang tidak harus mencampuri hal berkenaan apatah lagi jika pemberitahuan menjadi prasyarat untuk memeluk Islam.

Sudah tentu dalam keadaan ini dakwah Islam menjadi sukar untuk dilaksanakan. Akhirnya mengakibatkan orang bukan Islam menjauhkan diri daripada agama suci ini.

Jika ia menjadi syarat selepas lafaz syahadah dilakukan, apa pula kesannya apabila perkara itu tidak diberitahu sedangkan syahadah sudah diterima. Dari sudut hukum, mereka sudah Islam cuma keperluan peraturan saja tidak mencukupi. Dalam hal sedemikian, sekiranya saudara baru ini meninggal dunia, ia akan menimbulkan polemik lebih besar lagi.

Kita kerap memperkatakan mengenai hak keluarga yang masih belum Islam dalam hal berkaitan tetapi selalu meminggirkan persoalan utama mengenai hak mualaf itu sendiri. Janganlah merobek hak yang dijamin oleh Perlembagaan dengan pelbagai peraturan yang boleh menjejaskan keselamatan mereka. Hormatilah pilihan mualaf seperti orang Islam tidak pernah memaksa orang bukan Islam menganut Islam.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, dilaporkan berkata, Perlembagaan dengan jelas menyatakan pemelukan Islam anak di bawah umur mestilah mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa. Mahkamah hendaklah tidak membenarkan pemelukan Islam anak di bawah umur oleh sebelah pihak sama ada ibu atau bapa saja.

Pandangan ini tersasar daripada hakikat kebenaran berdasarkan keputusan kes mahkamah dalam kes Nendhuchilan dan juga Subahsini lawan Saravanan.

Dalam kes Subahsini umpamanya, Mahkamah Persekutuan memutuskan pemelukan Islam secara unilateral ini bukan suatu penyalahgunaan proses dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Oleh demikian, Perlembagaan Persekutuan sendiri membenarkan perkara ini dilakukan.

Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenavasan pula menyarankan pihak berkuasa agama memaklumkan pengislaman saudara baru kepada keluarga mereka secara alternatif. Perkara itu juga perlu diteliti kerana hakikatnya sebarang surat, saman, sepina atau dokumen yang dihantar pihak berkuasa agama Islam awal-awal lagi dibantah oleh pihak bukan Islam.

Dalam banyak keadaan, sebahagian orang bukan Islam mempertikaikan segala tindakan pihak berkuasa agama. Bagaimana pula saranan Ambiga boleh menyelesaikan 'kemelut' ini?

Sering kali mualaf dituduh mahu melarikan diri daripada tanggungjawab kekeluargaan terhadap keluarga yang masih belum Islam. Tohmahan itu tidak benar kerana pemelukan Islam adalah hidayah daripada Allah.

Malah, walaupun sudah Islam, saudara baru masih tidak putus hubungan dengan keluarga asal walaupun berbeza agama. Tidak langsung timbul persoalan melarikan diri daripada tanggungjawab. Jika orang bukan Islam tahu, sebenarnya ada hak dan bantuan lebih baik untuk mereka melalui undang-undang Islam, sudah tentu permasalahan itu tidak ditimbulkan.

Penulis berpandangan saudara baru perlu memaklumkan status agama mereka, tetapi keperluan itu tidak wajar dijadikan peraturan sehingga menyukarkan atau mengancam keselamatan mereka. Biarlah mereka menentukan bila ingin memaklumkan status Islam mereka itu. Jangan dipaksa kerana ia tidak selaras dengan hak kebebasan beragama.

Penulis menyarankan kerajaan memikir semula hasrat itu yang akan memberi kesan terhadap dakwah Islam di Malaysia. Peraturan yang ada sudah agak menyusahkan saudara baru, apatah lagi jika pelbagai peraturan lain pula diwajibkan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

INFO

Dalam kes Subahsini, Mahkamah Persekutuan memutuskan pemelukan Islam secara unilateral bukan suatu penyalahgunaan proses dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Oleh demikian, Perlembagaan Persekutuan sendiri membenarkan perkara ini dilakukan.

Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenavasan menyarankan pihak berkuasa agama memaklumkan pengislaman saudara baru kepada keluarga mereka secara alternatif. Perkara itu juga perlu diteliti kerana hakikatnya sebarang surat, saman, sepina atau dokumen yang dihantar pihak berkuasa agama Islam awal-awal lagi dibantah oleh pihak bukan Islam.

Dalam banyak keadaan, sebahagian orang bukan Islam mempertikaikan segala tindakan pihak berkuasa agama. Bagaimana saranan Ambiga boleh menyelesaikan 'kemelut' ini?

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dilaporkan berkata, Perlembagaan dengan jelas menyatakan pemelukan Islam anak di bawah umur mestilah mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

No comments: