ISLAM dalam sejarah pembangunan dan kemajuannya sering dihubungkan dengan pembangunan sistem. Bukti lahirnya suatu tamadun sejak zaman Rasulullah SAW memberi fokus kepada pembangunan manusia dengan menghubungkan binaan Perlembagaan Madinah sebagai landasan membangunkan sistem yang dilatari masyarakat berbilang bangsa.
Perlembagaan Madinah memberi asas bagaimana kepemimpinan Islam dan misi pembangunan umatnya menjadi teras yang tidak saja membatasi ketrampilan faktor teras, tetapi memayungi kelompok bukan teras.
Pengalaman itu berjalan dengan baik di bawah suatu muafakat yang jelas arah tujunya, tetapi ia menampilkan masalah apabila wujud rasa ingkar terhadap apa disepakati.
Sesama golongan Muhajirin dan Ansar, muafakat yang lahir adalah berasaskan kesatuan akidah. Orang Nasrani dan Yahudi berasaskan latar agama yang diungkap daripada tradisi Nabi Allah Ibrahim.
Secara etika dan nilainya, banyak titik persamaan dan secara akidahnya ada asas perbezaan. Ia tentunya menuntut etika di mana yang berbeza biarlah berbeza dan yang bersama suburkan titik persamaannya.
Hakikatnya agama daripada tradisi Nabi Allah Ibrahim memberikan asas etika dan nilai yang mendukung nilai kemanusiaan tinggi. Sayangnya, ia tidak dimengerti oleh penganut yang melihat perbezaan sebagai isu pokok mempertajamkan hubungan keinsanan.
Hal yang menyangkut mengenai pasal membabitkan umat Islam diberikan asas teguh dalam Perlembagaan Madinah dan hal yang menyentuh masyarakat bukan Islam juga diberi diperuntukkan agak besar.
Pembangunan Islam sejak zaman Rasulullah SAW dan sahabat, zaman seterusnya sehinggalah kebangkitan tamadun Islam di Maghribi, Andalusia dan Eropah, tidak dapat mengelak daripada wujudnya interaksi tamadun dan budaya dengan masyarakat bukan Islam.
Pemerintahan Islam Maghribi sentiasa dirujuk mengenai bagaimana hubungan Eropah dan negara Arab dapat berlaku. Kehebatan Andalusia memperhalusi keupayaan agama terbesar dunia melakukan interaksi keinsanan menyebabkan mereka mampu membina muafakat dan berkongsi nilai ketamadunan untuk membina sistem.
Hakikatnya, Islam itu sendiri membawa ajaran mengenai memperkasa rahmah alamiah. Islam tidak diturunkan untuk mempertajam rasa perkauman dan menyulitkan keadaan. Penampilan Islam pada zaman berbeza yang dilatari masyarakat pelbagai dengan fahaman berbeza tidak dimaksudkan untuk menyulitkan hubungan, tetapi memudahkan interaksi ilmu, perkongsian etika dan nilai bermanfaat untuk pembangunan sistem.
Maksud amanah, adil, telus dan tulus dalam Islam umpamanya, tidak hanya berlegar di sekitar kepentingan umat dan agamanya, tetapi memberi kebaikan kepada yang lain. Ideologi yang terbangun hasil pemikiran manusia umpamanya mempunyai keserasian terhadap ajaran Islam jika pendukung ideologi berkenaan peka dengan usaha membangun nilai yang fitrah.
Tidak mungkin kestabilan boleh wujud jika faktor teras dalam latar budaya, sejarah dan agama di tolak semata-mata atas nama persamaan dan demokrasi. Tidak pula dikatakan adil jika kelompok yang lemah penguasaan ekonominya diajak bersaing di permulaan yang sama sedangkan banyak faktor dalam diri bangsa itu memerlukan fokus yang jujur dan peningkatan kualiti modal insan.
Malaysia yang menggunakan pendekatan demokratik dalam memahami maksud amanah, keadilan, kebajikan dan kesejahteraan memerlukan pedoman bagaimana dalam dunia persaingan terbuka memerlukan faktor teras yang sifatnya memayungi dan faktor bukan teras didekati secara santun, adil serta saksama.
Mendukung maksud adil dalam Islam menuntut faktor pemahaman makna rohaniah dan spiritual yang berupaya diterjemahkan dalam program dan sistem. Menangani isu kemiskinan, kecelikan ilmu dan minda, keutamaan nilai dan etika, kesalingan hubungan insan dan kejernihan sistem sosial, binaan prasarana yang dirasai semua dan fokus integrasi terpancar daripada keyakinan dan kepuasan terhadap kesaksamaan memerlukan upaya penterjemahan tinggi dan bijaksana.
Islam tidak harus didekati secara emosi, sentimen, retorik yang tinggi dengan hanya menggariskan pedoman umum serta harapan supaya orang lain melakukannya saja. Pencernaan maksud Islam dalam pembangunan dan sistem harus bermula dengan keupayaan menjana ilmu yang bersepadu supaya penampilan Islam dilihat mampu mengatasi masalah dan menghasilkan suasana kondusif dikongsi semua.
Jika pencernaan itu gagal dirumus dan dilaksanakan, maka sebarang usaha pembaharuan hanya tinggal dalam dengungan slogan di tengah kerumitan serta kerencaman ideologi sekular dan liberal yang mencengkam.
Kebuntuan melakukan tajdid boleh menyebabkan gagasan umum mengenai Islam cair diserapi sistem yang sudah lama berjalan, malah menjadikan pendukung Islam lebih hampa dan masyarakat bukan Islam lebih kecewa.
Amat penting faktor teras diperkasakan supaya sifat memayungi menjadi suatu rahmah dan akhirnya Malaysia akan terus menjadikan model kepelbagaian berdiri atas teras yang adil, unik dan mensejahterakan.
Tuesday, April 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment