Wednesday, April 9, 2008

Iqra: Menghurai isu pergaulan, adab berpakaian menurut Islam

Judul: Batas-batas Aurat dan Pergaulan serta Hukum Persolekan dalam Islam
Penulis: Jaafar Salleh
Penerbit: Pustaka Azhar
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM9

HADIS riwayat Abu Daud daripada Saidatina Aisyah bahawa satu hari kakaknya, Asma binti Abu Bakar datang mengadap Rasulullah SAW sedang ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW terus berpaling muka.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Asma, apabila seorang wanita sudah sampai masa haid (baligh), maka (lelaki ajnabi) tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini (Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya)."

Perkembangan fesyen semasa sedikit sebanyak mewujudkan kekeliruan kepada umat Islam baik lelaki dan wanita mengenai batas aurat serta potongan pakaian yang sepatutnya dipakai memenuhi tuntutan agama.

Ini kerana ada pakaian yang menutup aurat iaitu seluruh tubuh badan daripada hujung kepala hingga ke kaki tetapi potongannya yang ketat serta pendek menjadikan ia bukan pakaian yang dianjurkan oleh Islam.

Hakikatnya, pakaian mencerminkan keperibadian seseorang Islam itu dan sewajarnya daripada penampilan termasuk cara berpakaian dapat membezakan mereka daripada orang lain. Buku Batas-Batas Aurat dan Pergaulan serta Hukum Persolekan dalam Islam memperincikan mengenai perkara itu.

Penulisnya, Jaafar Salleh menjelaskan pakaian takwa berdasarkan tafsiran ulama bermaksud pakaian melambangkan sifat takwa lahir daripada hati mereka yang melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan larangannya.

Walaupun bentuk pakaian takwa itu tidak dijelaskan secara terperinci dalam al-Quran tetapi apa yang dipakai Nabi SAW dan orang yang bertakwa seperti sahabat, salafussoleh dan ulama adalah contoh terbaik.

Tidak ketinggalan turut diceritakan warna sunnah dan warna yang dilarang sebagai panduan dengan sebab musababnya berdasarkan riwayat oleh sahabat serta pakaian yang dilarang lelaki memakainya iaitu pakaian dari sutera.

Topik Bentuk dan Fesyen Pakaian Wanita Islam pula mendatangkan dalil berkenaan bentuk fesyen pakaian wanita Islam untuk dijadikan ikutan serta amalan mereka yang sedia mematuhi perintah Allah tanpa soal.

Seperti dihuraikan, aurat wanita bagi lelaki ajnabi ialah seluruh badan dan pakaian bagi mereka tentulah yang menutup aurat, labuh, tidak ada perhiasan, kain tidak ditelusi pandangan, tidak terbayang bentuk badan serta tidak menyerupai pakaian lelaki.

Banyak lagi ciri cara berpakaian untuk wanita Islam yang dijelaskan dalam buku Batas-Batas Aurat dan Pergaulan serta Hukum Persolekan dalam Islam, yang turut menerangkan batas aurat lelaki sesama lelaki, wanita dengan wanita lain dan batas aurat kanak-kanak.

Dalam hukum bersolek bagi wanita, ada pelbagai keadaan menjadikan hukumnya wajib, sunat, ada yang haram dan makruh bergantung kepada masa serta keadaan.

Isu mungkin menjadi perhatian ramai diungkapkan dalam buku ini ialah pemakaian rambut palsu kerana Islam sudah memberi garis panduan mengenainya. Rambut palsu adalah termasuk perhiasan dilarang atau diharam oleh Islam.

Menyambung rambut sama ada dengan rambut asli atau diperbuat daripada plastik, benang serta bulu binatang sudah berlaku sejak 1400 tahun pada zaman Rasulullah SAW yang sahabat bertanya mengenainya dan dilarang oleh Baginda SAW.

Menurut kisah, seorang wanita pernah meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk menyambung rambut anaknya yang diserang penyakit sehingga rambutnya gugur dan dia bakal berkahwin. Jawab Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah mengutuk orang yang menyambung rambut dan yang meminta disambung rambutnya." - (Riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments: