Oleh Mohd Shukri Hanapi
MASIH ada segelintir pekerja menganggap kerja atau bekerja adalah perkara yang dilakukan secara spontan setiap hari. Bagi mereka, bekerja sebagai satu amalan rutin yang tidak membabitkan perancangan, etika atau peningkatan mutu.
Oleh itu, mereka melakukan kerja secara sambil lewa, malah ada yang dibuat secara 'ala-kadar'. Sikap begini digambarkan dalam peribahasa Melayu, 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.
Timbulnya sikap sebegini, barangkali disebabkan kejahilan mereka berhubung soal kedudukan bekerja dalam Islam. Sebenarnya perkataan kerja atau 'amal' mempunyai pengertian luas. Pengertian kerja atau bekerja mengikut Kamus Dewan (1997) bererti melakukan atau menjalankan sesuatu atau pelbagai usaha (kegiatan, urusan, tugas) bagi menghasilkan sesuatu.
Menurut Dr Yusuf al-Qardhawi pula, kerja memberi maksud daya usaha yang dilakukan manusia dalam keadaan sedar, sama ada secara bersendirian atau bersama orang lain untuk menghasilkan suatu barang atau perkhidmatan.
Maka, kerja atau bekerja dapat diertikan sebagai pergi ke tempat kerja dan menjalankan tugas serta tanggungjawab, sama ada di pejabat, kilang atau sebagainya untuk memperoleh pendapatan dan keredaan Allah.
Sesungguhnya bekerja amat dituntut dalam Islam bagi membolehkan umat manusia mendapat rezeki kurniaan Allah dan secara tidak langsung menjadi mekanisme memakmurkan muka bumi ini. Hal ini bertepatan dengan konsep penciptaan manusia itu sendiri sebagai khalifah di muka bumi.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya." (Surah al-Mulk, ayat 15)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan memerintahkan kamu supaya memakmurkannya." (Surah Hud, ayat 61)
Berdasarkan ayat itu, kerja adalah tugas dan perintah agama. Sebarang usaha mencari rezeki yang halal adalah fardu ain kerana untuk melaksanakannya memerlukan kekuatan rohani dan jasmani. Perkara paling utama ialah kesabaran.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mencari sesuatu yang halal adalah satu fardu sesudah menunaikan fardu (sebelumnya)."
Selaras tuntutan bekerja dalam al-Quran dan hadis, semua pekerja hendaklah menepati nilai moral, disiplin dan etika kerja yang disyariatkan. Etika kerja Islam jauh lebih unggul daripada segala etika kerja ciptaan manusia.
Keunggulan etika kerja Islam ialah kerana meletakkan keredaan Allah sebagai perkara utama. Segala bahan dan sumber dimanfaatkan untuk mencapai matlamat kesejahteraan ummah di dalam usaha mendapatkan keredaan Allah.
Di samping itu, konsep kerja Islam juga memberi penekanan terhadap peri pentingnya pengkayaan unsur dalaman yang ada pada diri manusia. Penyuburan serta pengkayaan sumber dalaman itu akan menyebabkan terbentuknya kekuatan luaran iaitu jasad dan akal.
Bagi memastikan kerja yang dilakukan itu berjalan dengan teratur dan lancar, seseorang pekerja hendaklah mempunyai sikap dan penilaian positif dalam menjalankan tugas diamanahkan.
Di samping itu, pekerja perlu menentukan tujuan dan objektif kerjanya, sama ada hasil rezeki yang diperoleh untuk dirinya sendiri atau untuk orang di bawah tanggungannya atau sebagai sumbangan tertentu untuk masyarakat di sekelilingnya.
Namun, tujuan utama bekerja bukanlah semata-mata untuk mendapatkan keuntungan berbentuk material saja, tetapi yang lebih penting adalah tuntutan moral dan agama yang dilakukan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Sesungguhnya Allah menyediakan semua keperluan manusia untuk hidup di muka bumi ini. Oleh itu, manusia seharusnya mencari, mengusahakan dan menggunakan sumber keperluan itu untuk menghasilkan barang yang memberi manfaat kepada mereka.
Segala usaha atau kerja yang dilakukan dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan berdisiplin termasuk dalam lingkungan ibadah yang dituntut Allah. Segala tanggungjawab dan amanah yang ditunaikan dengan baik dicatatkan sebagai amal kebajikan dan akan diberi ganjaran pahala.
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis, jelas kepada kita bahawa bekerja adalah sesuatu yang sangat dituntut dan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Islam. Selain itu ia juga satu bentuk ibadah manusia kepada Allah.
Tuesday, April 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment