Saturday, April 19, 2008

Institusi perlu diimarahkan secara sistematik, berkesan

APABILA disebut masjid sebagai institusi menjana kecemerlangan ummah, pasti semua bersetuju dengan fungsi rumah Allah itu bukan saja sebagai tempat ibadat tetapi pusat penyatuan serta mengadakan pelbagai kegiatan.

Namun apa yang berlaku, kebanyakan masjid di negara ini tidak dimanfaatkan sebaiknya malah gagal berperanan sebagai institusi penting untuk membina peradaban manusia melalui aktiviti bercorak keagamaan, kebudayaan, ekonomi dan sosial.

Fungsi masjid yang disempitkan ternyata merugikan masyarakat sekeliling sedangkan bangunan yang dibina dengan kos mencecah jutaan ringgit itu mampu menyediakan pelbagai kemudahan seterusnya menghasilkan kebaikan dalam kehidupan umat Islam.

Justeru, bagi mengembalikan kegemilangan masjid sebagai institusi penting menggerakkan umat Islam serta ahli kariahnya, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menyediakan landasan untuk pihak pengurusan masjid mencambah idea mencari kaedah terbaik mempelbagaikan fungsi masjid.

Perhimpunan kira-kira 1,200 imam dari seluruh negara pada majlis Multaqa Imam-Iman Masjid Seluruh Negara 2008, Selasa lalu, memberi gambaran jelas kesungguhan mempertingkatkan institusi masjid supaya dapat diimarahkan secara sistematik dan berkesan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma) Jakim, Ghafani Awang Teh, berkata perjumpaan imam seluruh negara bertujuan menggerakkan semula fungsi masjid selari perubahan dan keperluan semasa.

Katanya, masjid yang mempunyai kedudukan utama dalam masyarakat sepatutnya menjadi pusat sehenti yang mampu mengembalikan kekuatan ummah, membantu memperkasa ahlinya serta bertindak sebagai ejen perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam.

"Mereka yang bertanggungjawab menggerakkan masjid ialah imam dan jawatankuasa pengurusan masjid. Oleh kerana mereka ini mempunyai hubungan rapat dengan ahli kariah, maka golongan inilah yang ingin kita gerakkan.

"Hasil daripada perjumpaan sehari ini diharap imam dapat memahami hasrat kerajaan dan berusaha membantu untuk memastikan masjid lebih aktif dengan menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan yang dapat menarik pembabitan semua pihak," katanya.

Beliau berkata, imam adalah antara orang penting dalam masyarakat setempat kerana selain menjadi rujukan isu berkaitan agama, mereka juga sumber maklumat untuk Jakim mendapatkan maklum balas mengenai apa yang berlaku pada peringkat akar umbi.

Ghafani berkata, berpandukan maklumat diperoleh daripada imam membolehkan Jakim merangka program yang sesuai dengan keperluan ahli masjid atau memikirkan cara menangani masalah sosial yang melanda masyarakat kawasan itu.

Justeru katanya, imam juga ibarat wakil rakyat yang perlu turun padang untuk meninjau perkembangan ahlinya, menghulurkan bantuan mengikut kemampuan serta memikirkan kegiatan sesuai untuk mendekatkan masyarakat kepada masjid.

"Jika semua imam turun padang berjumpa ahli kariah, mendekati mat rempit, penagih dadah serta ibu tunggal, akan memudahkan lagi untuk membantu pihak berkenaan. Inilah tanggungjawab sosial imam selain menguruskan masjid serta mengimamkan solat.

"Bagaimanapun, ia bukan tugas imam seorang tetapi tanggungjawab bersama yang perlu dipikul pengurusan masjid serta ahli kariah ke arah menjayakan hasrat untuk melihat masjid menjadi institusi yang aktif menangani isu kemasyarakatan," katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan memang wujud kekangan terhadap usaha murni itu seperti masalah kewangan bagi menganjurkan program atau menyediakan kemudahan selain pengurusan yang tidak cekap serta sambutan daripada orang ramai.

Beliau berkata, Jakim akan berusaha membantu pengurusan masjid dan pada masa sama menyarankan mereka memikirkan usaha terbaik melihat kepada keperluan serta kemudahan yang ada untuk memajukan masjid di kawasan masing-masing.

Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, Zainal Abidin A Jalil, berkata imam serta ahli jawatankuasa masjid adalah pihak yang sesuai untuk menyebarkan maklumat yang sah kepada ahli masyarakat.

Katanya, menggunakan kapasiti imam yang menjadi pemimpin kepada jemaah kariah, mereka dapat membantu pihak berkuasa serta kerajaan meredakan ketegangan atau perbalahan jika berlaku dalam kawasan masing-masing.

"Ini dapat dilakukan oleh imam dengan menghasilkan khutbah dan topik ceramah yang bermutu serta bersifat semasa. Selain mengajar mengenai isu agama, imam juga boleh memberitahu apa yang sebenarnya berlaku di sekeliling.

"Maknanya, imam perlu tahu apa yang berlaku dan mendapatkan maklumat tepat mengenainya supaya dapat disampaikan kepada ahli kariah. Multaqa hari ini contohnya menjadi landasan tepat untuk imam mendapatkan maklumat bagi disampaikan apabila balik ke masjid mereka nanti," katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Perpecahan Ummah Mengancam Keselamatan Negara berkata, institusi masjid adalah tempat terbaik untuk penyatuan jemaah serta menangkis dakyah tidak betul yang dilemparkan terhadap Islam.

No comments: