Bersama Prof Dr. Sidek Baba
ISU ketuanan umat Melayu adalah sesuatu yang amat unik bagi Malaysia. Tiga tempoh dalam hampir setiap tiga dekad sejarah Malaysia memperlihatkan isu ketuanan Melayu berada dalam pertikaian.
Pada 1946, selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, isu Malayan Union berbangkit. Ia mencetuskan kebangkitan umat Melayu terhadap penjajah Inggeris. Pada 1969, tercetusnya peristiwa 13 Mei, yang menyebabkan terhasilnya Dasar Ekonomi Baru bertujuan memperkasa ekonomi dan pendidikan orang Melayu.
Pada 2008 keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 memperlihatkan kegoncangan kuasa politik kaum Melayu dan lahir Pakatan Rakyat yang cuba memberikan alternatif terhadap politik orang Melayu dan bukan Melayu.
Sejak 50 tahun Malaysia merdeka, banyak perubahan berlaku terhadap dasar pendidikan, bahasa, ekonomi, budaya, malah pendekatan beragama di kalangan orang Melayu. Walaupun perlembagaan negara memperuntukkan kedaulatan raja dan sultan, hak istimewa orang Melayu, tanah simpanan Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan.
Tetapi, faktor perubahan akibat globalisasi memberi kesan besar terhadap integriti umat Melayu membabitkan cara berfikir, gaya hidup dan pengaruh budaya popular yang amat menjejas mentaliti generasi muda.
Harus ada tinjauan menyeluruh mengenai faktor umat Melayu sebagai faktor teras yang memayungi Melayu dan juga bukan Melayu. Sebagai faktor teras ada asas penting membolehkan faktor pemayung untuk berkongsi asas kemajuan dan pembangunan berasaskan prinsip keadilan, amanah, timbang rasa dan juga kemanusiaan supaya asas kestabilan dan keamanan terus wujud dalam negara.
Kewujudan Baba Peranakan dan India Peranakan pada suatu ketika di Negeri Selat terutama di Melaka membayangkan bagaimana proses adaptasi atas penyesuaian budaya berlaku dengan baik terhadap budaya masyarakat teras.
Sejak merdeka, walaupun umat Melayu dibantu dalam banyak lapangan, dari satu segi ia melahirkan kumpulan menengah Melayu yang agak besar dan pada masa sama mencetuskan mentaliti bergantung yang boleh menghambat daya saing orang Melayu menghadapi cabaran masa kini dan masa depan.
Tidak kurang juga pendekatan membangunkan kaum Melayu didekati secara kroni dan salah guna kuasa yang menyebabkan orang Melayu dan bukan Melayu berasa agak kritikal kepada pelaksanaan yang berjalan.
Cabaran yang ada lebih banyak menuntut keupayaan ilmu, ketrampilan dan modal insan yang tidak saja mempunyai kekuatan pemikiran Islam berorientasikan tamadun, tetapi pada masa sama mempunyai ilmu berbanding sumber tamadun yang maju.
Globalisasi yang datang kepada umat Melayu memberikan cabaran sengit. Faktor tradisi dan agama yang menjadi dukungan umat Melayu dalam kehidupan serta pentadbiran didepani budaya langit terbuka yang banyak memberi kesan terhadap pemikiran orang Melayu.
Setengah orang Melayu masih berpaut dengan fahaman sekular yang tebal. Setengahnya pula memberikan interpretasi yang liberal terhadap agama sehingga dasar media, budaya popular dan seni diberikan interpretasi Barat yang merugikan generasi muda.
Orientasi pendidikan sifatnya lebih mekanistik yang mendukung teknologi tinggi, tetapi tidak melihat peranan 'sentuhan tinggi' sebagai asas hubungan keinsanan yang penting dalam proses pembangunan tamadun.
Ramai orang Melayu yang berjaya lupa kepada amanah membangunkan bangsanya, terlalu sombong dengan jawatan dan kedudukan sehingga lupa bahawa ramai di kalangan generasi terdidik Melayu melihat gelagat mereka dengan rasa kesal.
Malah, faktor yang menjadi asas ketuanan tidak lagi dilihat sebagai amanah untuk dipertahankan. Meremehkan kedudukan Bahasa Melayu dalam subjek Matematik dan Sains adalah satu daripada contoh penghakisan ketuanan Melayu.
Dalam tradisi Islam, memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia, mempelajari bahasa Cina sebagai bahasa penting pada masa depan tidaklah salah.
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu harus dipelihara ditingkatkan penguasaan dan penggunaannya di semua lapangan. Oleh kerana krisis identiti melanda orang Melayu sehingga pemimpin Melayu berasa rendah diri untuk bercakap bahasa ibundanya kerana ia dilihat sebagai gambaran tidak maju dan global.
Hal yang sama berkaitan dengan pendidikan yang menuntut integrasi ilmu berjalan supaya asas agama dan nilai murni mendasari sistem. Kita memerlukan modal insan menyeluruh supaya nilai murni yang mendasari ilmu memungkinkan pengurusan negara berjalan dengan adil dan saksama.
Perancang kebudayaan seni dan hiburan yang terpancar dalam media cetak dan elektronik seharusnya memiliki kepekaan bahawa umat Melayu sebagai asas ketuanan Malaysia memerlukan pendekatan baru yang kreatif dalam pemaparan karya seni serta hiburan supaya seni tinggi di kalangan orang Melayu dan peradaban lain dapat ditampilkan, memberi nilai adab terhadap pembangunan budaya sihat.
Tuesday, April 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment