Tuesday, April 8, 2008

Perspektif Ikim: Barat bimbang Islam kuasai dunia

Muslim wajib baiki kelemahan diri supaya dapat tangkis penghinaan terhadap agama

SEKALI lagi agama Islam menerima penghinaan daripada pihak Barat. Penghinaan kali ini adalah dalam bentuk sebuah filem pendek bertajuk Fitna. Filem ini memberikan tafsiran yang salah dan menyeleweng mengenai beberapa ayat al-Quran.

Bagi menguatkan tafsiran itu, filem ini menyelitkan juga peristiwa 11 September 2001 dan serangan bom di stesen Madrid pada 2004. Ini semua bagi menguatkan hujah Islam adalah satu agama yang menyokong keganasan.

Paling pelik adalah kenyataan Geert Wilders bagi menyokong perbuatannya itu. Kata beliau, "saya tidak menentang umat Islam tetapi menentang agama Islam kerana agama Islam adalah agama yang menyokong keganasan."

Kenyataan itu sama sekali dangkal. Ia kerana pusat bagi kehidupan seorang Muslim adalah berkisar pada agamanya. Apa saja yang kita lakukan adalah berkisar pada agama. Oleh itu menentang agama Islam samalah juga menentang umat Islam keseluruhannya.

Ahli parlimen Belanda yang kononnya bijak itu juga pernah menyarankan bagi mana-mana Muslim yang ingin menetap di Belanda, mereka hendaklah mengoyak al-Quran. Ini satu saranan yang berbaur kebencian amat mendalam.

Malang bagi kita kerana kebencian itu ditujukan kepada agama Islam yang bagi seorang Muslim adalah agama yang sungguh luhur, menepati fitrah manusia dan pastinya sentiasa menyuruh penganutnya mencintai keamanan serta kedamaian.

Kita tidak dapat memberikan kepastian yang jitu mengenai sebab kebencian itu boleh menjadi begitu meluap-luap. Namun, kemungkinan ada dua perkara menjadi penyebabnya untuk dipelajari daripadanya.

Pertama, orang seperti Wilders atau sesiapa saja yang sebelum ini menghina Islam, sudah menunjukkan kebencian amat sangat kepada agama ini. Adakah itu sebenarnya kebencian atau sekadar perasaan takut yang mendalam?

Dengan kata lain, mereka sebenarnya takut kepada agama Islam. Jika benar penghinaan itu berpunca daripada rasa takut amat sangat kepada agama Islam, maka apakah pula punca ketakutan itu?

Pada pandangan penulis, orang seperti Wilders adalah orang yang mengetahui dan meneliti sejarah. Mereka tahu satu ketika dulu, umat Islam didorong oleh agamanya yang suci mencapai satu tahap ketamadunan yang tinggi dan mulia.

Pada ketika itu, Islam dan umatnya dihormati dan digeruni. Oleh itu, penghina tahu jika umat Islam kini boleh mencapai kejayaan seperti satu ketika dulu, maka kuasa berkemungkinan terletak di tangan umat Islam.

Jika umat Islam dibenarkan kembali berjaya dan berkuasa, maka tamadun yang dicipta Barat kini mungkin akan tunduk kepada telunjuk umat Islam. Oleh itu, perkara ini tidak boleh dibiarkan. Umat Islam mesti disogok dengan pelbagai tohmahan dan tanggapan bahawa mereka lemah, tidak mampu berjaya dan ini semua disebabkan masalah agama Islam serta kelemahan umat itu sendiri kononnya.

Keduanya, dalam kita menyalahkan orang lain sebagai sebab penghinaan itu, kita tidak dapat menafikan bahawa umat Islam sendiri mempunyai kelemahan tertentu. Kelemahan itu memudahkan kita diperguna dan diperlekehkan. Apakah kelemahan umat Islam kini?

Pada pandangan penulis, kita lemah dalam banyak perkara. Negara Islam kebanyakannya terdiri daripada negara yang miskin, walaupun sebenarnya beberapa negara Islam misalnya Nigeria, mempunyai sumber tenaga (minyak) yang banyak.

Kita juga ketinggalan daripada segi kemajuan sains dan teknologi walaupun hakikatnya sejarah menunjukkan umat Islam terdahulu maju dalam bidang itu. Akhir sekali, kita lemah kerana negara Islam juga terbabit dalam peperangan sama ada perang saudara atau perang bersama negara lain.

Namun, apakah penyebab sebenar kita mempunyai kekurangan itu? Puncanya adalah rasa cinta terhadap ilmu pengetahuan amat rendah dan pada masa sama, kita mempunyai satu kedegilan untuk berubah kepada kebaikan. Masalah dasar ini jika tidak ditangani, selamanya kita akan terus lemah.

Dengan kelemahan itu pula, penghina tidak akan berasa bersalah untuk terus menghina kerana penghinaan yang diberikan itu adalah benar. Lagipun, dengan segala kelemahan itu mereka tahu kita tidak mampu bangkit untuk menentang mereka.

Mereka tahu apa yang mampu kita buat hanyalah sekadar menghantar memorandum, memboikot barangan dan merusuh. Sedangkan tindakan itu bersifat sementara dan tidak mampu menghentikan penghinaan.

Malah, jika berlaku keganasan, maka itu semua hanya akan membenarkan kecaman yang mereka lakukan terhadap agama dan umat Islam.

Pada ketika tertentu, tidakkah kita merasakan betapa dunia Barat hanya mentertawakan kita? Adakah kita ingin selamanya ditertawa dan dipermainkan sebegini? Oleh itu, bangkitlah umat Islam daripada lena yang panjang.

Berubahlah, bina kekuatan umat supaya kita tidak lagi boleh diperlekehkan. Untuk jangka masa panjang, perubahan inilah yang harus kita beri perhatian kerana tanpa usaha permulaan untuk berubah maka selamanya kita akan berada di takuk ini.

Akhir sekali, kita mesti boleh menjangkakan penghinaan seperti ditunjukkan dalam filem Fitna akan berlaku lagi. Jika tidak esok mungkin lusa. Oleh itu, keperluan untuk berubah memang benar-benar mendesak.

Justeru, umat Islam fikirkanlah dan capailah satu perubahan yang mampu dilakukan. Moga-moga dengan langkah pertama itu kita akan dapat menikmati langkah kejayaan lebih besar lagi pada masa depan.

INTI PATI

Penghinaan terhadap Islam

Fitna memberikan tafsiran yang salah dan menyeleweng mengenai beberapa ayat al-Quran.

Geert Wilders pernah menyarankan bagi mana-mana Muslim yang ingin menetap di Belanda, mereka hendaklah mengoyak al-Quran.

Punca penghinaan

Individu yang menfitnah Islam sebenarnya takut atau bimbang dengan kebangkitan kembali agama samawi itu yang sebelum ini yang pernah menguasai dunia. Untuk melawan arus kebangkitan Islam Muslim mesti disogok dengan pelbagai tohmahan dan tanggapan bahawa mereka lemah dan tidak mampu berjaya.

Ada antara negara Islam miskin, walaupun mempunyai sumber tenaga yang banyak, ketinggalan daripada segi kemajuan sains dan teknologi walaupun hakikatnya sejarah menunjukkan umat Islam terdahulu maju dalam bidang itu. Kita lemah kerana negara Islam juga terbabit dalam peperangan sama ada perang saudara atau perang bersama negara lain.

No comments: