Oleh Abdurrahman Haqqi
ATASI MASALAH: Psikologi syariah boleh diguna pakai mengenal pasti pendekatan yang sesuai dalam menyelesaikan masalah hukum syarak dan masalah perbezaan pendapat.
Hukum syarak sentiasa temani tingkah manusia sepanjang hayat tanpa kecuali, keindahan Islam terserlah
PADA mulanya, ilmu psikologi dihadkan kajian pada tingkah laku manusia. Ia tidak ada kena mengena dengan disiplin ilmu lain. Bagaimanapun, apabila berlaku interdiciplinary dalam ilmu, akhirnya ilmu psikologi berkembang kepada semua cabang ilmu. Oleh itu, kita amati hari ini wujud psikologi pendidikan, bahasa, politik, kewangan, ekonomi, budaya dan seterusnya.
Bagaimana dengan ilmu keislaman seperti akidah, tafsir, hadis, dakwah, dan syariah? Padahal, jika kita melihat pada keadaan kehidupan umat manusia sekarang dalam konteks amar makruf nahi mungkar, ilmu keislaman inilah yang sangat memerlukan kepada ilmu psikologi.
Allah SWT mengutus nabi dan rasul dengan mempersiapkan mereka sebaik-baik persiapan sama ada minda, mental mahupun fizikal. Mereka diutus sesuai karakter dan sifat umat yang akan diseru. Kelakuan dan sifat paling utama dalam sesebuah masyarakat adalah aspek bahasa di mana dengan bahasa ini komunikasi sebagai tulang belakang masyarakat boleh lancar dan berfungsi secara tepat dan betul.
Dalam al-Quran Allah berfirman tafsirnya: "Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah Ibrahim: 4)
Ketika mentafsir ayat ini Imam al-Baidawi dalam kitabnya Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta'wil menyatakan: "Yakni dengan bahasa kaumnya di mana dia adalah sebahagian daripada kaum berkenaan." (III/246)
Apa yang boleh dipetik daripada ayat ini ialah perlunya psikologi dalam penyampaian maklumat agar ia berkesan pada diri masyarakat yang diberikan maklumat berkenaan.
Sebagai gabungan daripada perkataan Greek, psyche, minda dan logos, ilmu atau kajian psikologi didefinisikan dengan kajian saintifik mengenai tingkah laku dan proses mental organisme. Tiga idea penting dalam definisi ini ialah; 'saintifik', 'tingkah laku' dan 'proses mental'.
'Saintifik' bermakna kajian dilakukan dan data yang dikumpulkan mengikuti prosedur sistematik. Iaitu dengan mengikuti langkah menyatakan masalah dan menentukan hipotesis yang hendak dikaji; mereka bentuk kajian dan menentukan teknik pengumpulan data; mengumpulkan data dan melakukan analisis data; dan melaporkan penemuan untuk memastikan sejauh mana hipotesis dapat dibuktikan.
Walaupun kaedah saintifik diikuti, ahli psikologi perlu membuat pelbagai tafsiran berdasarkan perkara diperoleh. Ia kerana subjek yang dikaji adalah haiwan dan manusia, tidak seperti sesuatu sel (seperti dalam kajian biologi) atau bahan kimia (seperti dalam kajian kimia) yang secara perbandingan lebih stabil. Bagi mengkaji tingkah laku haiwan atau manusia memanglah sukar dan memerlukan kerap membuat tafsiran.
'Tingkah laku' ialah apa jua aktiviti yang dapat diperhatikan, direkod dan diukur. Tingkah laku juga dapat diperhatikan apabila individu menyebut atau menulis sesuatu.
'Proses mental' merangkumi segala proses yang terbabit dengan pemikiran, ingatan, pembelajaran, sikap, emosi dan sebagainya. Inilah menjadi tumpuan ahli psikologi tetapi masalahnya ialah proses ini tidak boleh dilihat dan sukar merekod dan mengukur dengan tepat. Oleh itu, pada 1960-an, ahli psikologi enggan menerima kajian mengenai proses ini kerana ia tidak boleh dilakukan secara saintifik.
Bagaimanapun, paradigma berubah dan dengan kaedah baru, kajian mengenai proses mental diterima sebagai psikologi.
Psikologi adalah kajian secara saintifik mengenai tingkah laku manusia, jiwa atau rohani manusia, minda atau kehidupan mental manusia, pengalaman dan aktiviti manusia. Dalam sejarah perkembangannya sejak zaman Greek Kuno hingga kini ia mempunyai beberapa aliran termasuk aliran interaksionisme, aliran strukturalisme, aliran functionalisme, aliran behaviorisme, aliran gestalt, aliran humanistic, aliran kognitivisme dan aliran konstruktivisme.
Menurut ahli psikologi, antara kepentingan mempelajari psikologi untuk memahami manusia dengan lebih baik melalui tingkah lakunya dan memahami faktor yang menyebabkan wujudnya tingkah laku seseorang manusia.
Dalam kehidupan umat manusia menurut al-Quran, satu aspek keislaman yang selalu berdepan dengan mereka ialah masalah hukum syarak. Ia kerana hukum syarak berada dalam setiap sendi kehidupan mereka daripada awal pagi hingga ke penghujung malam, daripada bersendirian hingga kepada berkelompok. Bahkan dari sebelum dilahirkan sehingga selepas dikebumikan. Ia bererti hukum syarak akan sentiasa menemani manusia di sepanjang hayatnya tanpa pengecualian.
Jika hukum syarak mempunyai kedudukan yang sedemikian pentingnya, sudah tiba masanya pengkaji hukum syarak memahami juga selok-belok tingkah manusia agar penerapan hukum syarak akan lebih berkesan dan proses penonjolan keindahan Islam akan terserlah.
Apabila kita memperhatikan kehidupan masyarakat sepanjang sejarah, kita mendapati rungutan masyarakat mengenai kekakuan, ketidaktimbangrasaan dan ketegasan hukum syarak. Hakikat ini menjadikan masyarakat mencuba sebaik mungkin agar mereka boleh menjauhi hukum syarak. Untuk membuktikan hakikat ini, mari kita merujuk kepada al-Quran.
Allah berfirman tafsirnya: "Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya sendiri) dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (ketika membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu) dan perjanjian (perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhi-Nya). Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-An'am: 151-153)
Dalam ayat di atas, hukum syarak adalah ajaran yang dibawa nabi dan rasul. Malangnya, ia mendapat tentangan daripada masyarakat. Kemudian ditegaskan bahawa hukum syarak itu adalah jalan yang benar dan lurus. Oleh itu, wajiblah ia diikuti dan dilaksanakan.
Di sinilah letak kepentingan psikologi syariah dalam kajian ilmu keislaman semasa. Pengkaji perlu didedahkan dengan psikologi yang berkaitan dengan syariah secara menyeluruh. Mereka tidak hanya diajarkan hukum halal dan haram, tapi mereka juga diingatkan mengenai psikologi halal dan haram. Mereka tidak hanya diajarkan bahawa ini wajib, itu haram, ini sunat, itu harus atau makruh, tapi mereka perlu didedahkan dengan psikologi wajib, haram, sunat, harus dan makruh. Walhasil, pengkaji syariah mestilah dibekalkan dengan psikologi ibadat, psikologi munakahat, psikologi mu'amalat, dan psikologi 'uqubat sebagai teras pembelajaran syariah.
Psikologi syariah diperlukan bagi proses penyembuhan penyakit masyarakat yang cenderung menolak hukum syarak. Menurut Dr 'Aid al-Qarni (2005) generasi saat ini adalah generasi yang sedang menderita sakit kejiwaan di mana tidak sedikit daripada mereka memiliki masalah psikologi seperti cemas, stres, penyakit psikosomatis, bahkan penyakit yang paling parah kata Nabi Muhammad SAW, adalah penyakit wahan (terlalu cinta pada dunia dan takut mati). Sabda baginda maksudnya: "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah daripada kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'."
Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". (Hadis riwayat Abu Daud)
Cinta pada dunia dan takut pada mati inilah yang menjadi salah satu penghalang pelaksanaan hukum syarak dalam masyarakat hari ini. Umat Islam yang berjumlah hampir suku penduduk dunia tidak berkutik kerana mereka sedang menjadi bola yang boleh disepak ke sana ke mari tanpa ada perlawanan. Dengan tidak dilaksanakannya hukum syarak secara menyeluruh maka kita akan tetap menjadi bola dan tidak akan pernah menjadi pemain bola.
Menerusi psikologi syariah dapatlah diharapkan daripada pengkaji yang akan menerapkannya dalam masyarakat beberapa tujuan seperti memahami teori dan prinsip psikologi dalam syariah; mengetahui dan memahami keperluan masyarakat dari segi fizikal, kognitif, emosi dan personaliti mereka dalam menerima hukum syarak; menggunakan teori psikologi dalam perancangan dan amalan pelaksanaan syariah dalam masyarakat, mengenal pasti pendekatan yang sesuai diguna pakai dalam menyelesaikan masalah hukum syarak; dan prihatin kepada masalah perbezaan pendapat dan dapat mengenal pasti cara terbaik penyelesaiannya. Wallahu a'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment