Wednesday, April 23, 2008

Peguam Syarie Menulis: Ibu bapa wajar bantu selamatkan perkahwinan anak

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

MUTAKHIR ini, akhbar menyiarkan pelbagai kisah artis Malaysia berkahwin beberapa bulan, kemudian mengalami masalah rumah tangga dan bercerai. Kisah perkahwinan dan perceraian artis pula memang disukai ramai kerana mereka adalah golongan selebriti yang dikenali.

Seorang penulis ada menyebut bahawa tahun ini adalah tahun artis berkahwin dan bercerai. Namun, beliau menyatakan berkahwin dan bercerai bukan saja berlaku kepada artis tetapi kepada orang biasa juga. Agak menarik untuk dikupas.

Perkahwinan sememangnya menyatukan dua insan berbeza latar belakang, datang daripada dua keluarga berlainan dan dibesarkan dengan pendekatan berbeza oleh ibu bapa mereka. Maka, sudah tentu wujud perbezaan antara mereka sama ada daripada segi cara berfikir, pembawaan diri, penilaian terhadap sesuatu perkara dan pendekatan diambil apabila berdepan masalah.

Perbezaan itu seharusnya ditangani dengan baik, hati terbuka dan berlapang dada di antara pasangan berkahwin. Islam menekankan supaya suami melayani isteri dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang, bukan secara kekasaran atau kekerasan.

Kedua-dua belah pihak disaran supaya bergaul, menjalinkan hubungan dengan baik dan harmoni. Ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isterimu) dengan cara yang makruf.” - (Surah al-Nisaa’, ayat 19)

Kadang-kala kita melihat ada suami melayan isteri dengan ganas, pantang tersilap akan dimarah dan diherdik dengan kata-kata kesat walaupun di hadapan orang ramai. Bahkan ada yang dipukul dan lain-lain perlakuan tidak wajar.

Ini sebenarnya berlawanan dengan ajaran Rasulullah SAW. Baginda berjaya menzahirkan hubungan kekeluargaan yang sangat tulus dengan semua isterinya dan dinyatakan dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli (keluarganya) dan aku di kalangan kamu adalah orang yang paling baik dengan ahliku.” - (Riwayat Ibn Majah)

Apabila berlaku perbezaan, Islam menyarankan supaya kita melihat perbezaan itu daripada sudut positif sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Jika kamu benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikan mereka). Kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan apa yang kamu bencikan itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” - (Surah al-Nisaa, ayat19)

Jika isteri melakukan sesuatu perkara yang buruk dan berlawanan dengan syariah serta menderhaka kepada suaminya atau dipanggil nusyuz, maka apakah yang seharusnya dilakukan?

Allah berfirman yang bermaksud: “Wanita yang kamu khuatiri nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkan diri daripada tempat tidur mereka, dan pukul mereka, kemudian jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkannya.” - (Surah al-Maidah, ayat 35)

Pentafsir seperti al-Tabari menyebut jika rumah tangga dibina menghadapi masalah dan ia berpunca daripada sikap nusyuz isteri, maka hendaklah isteri itu diberi peringatan supaya kembali taat kepada Allah dan melaksanakan hak suami ke atasnya. Jika isteri nusyuz dengan meninggalkan tempat tidur, maka hendaklah ditegur dengan kata-kata nasihat seperti, “Bertakwalah kamu kepada Allah dan kembalilah ke katilmu.” - (Surah al-Maidah, ayat 35)

Tindakan kedua, jika isteri masih berlaku nusyuz ialah suami meninggalkannya dan tidak melakukan persetubuhan bersama isterinya. Dalam keadaan ini, al-Tabari mentafsirkan bahawa ada dua cara dibolehkan iaitu suami masih tidur bersama isteri di atas katil yang sama tetapi tidak melakukan persetubuhan.

Cara kedua ialah suami meninggalkan isterinya iaitu tidak tidur bersama tetapi masih berada dalam ruang lingkup rumah yang didiami oleh pasangan terbabit. Jika selepas dua tindakan dilakukan tetapi isteri masih tetap berlaku nusyuz, maka tindakan seterusnya ialah suami boleh memukul isterinya dengan pukulan yang tidak mencederakannya sehingga isteri berubah dan kembali taat kepada Allah dan suaminya. Jika isteri sudah kembali taat maka suami tidak boleh lagi mengambil tindakan seperti dinyatakan di atas.

Peruntukan pukul dijadikan alasan oleh sesetengah pihak sebagai bukti Islam menindas wanita kerana membenarkan suami memukul isteri. Sebenarnya, peruntukan itu adalah satu alternatif penguatkuasaan disiplin diperuntukkan sebagai jalan terakhir membentuk salah laku isteri jika ada.

Ia bukan galakan kerana jika begitu, sudah tentu ada ditunjukkan Nabi SAW mengambil tindakan itu ke atas isterinya. Realitinya, Nabi SAW sendiri tidak pernah memukul isteri Baginda, bahkan Baginda mengutuk mana-mana lelaki yang memukul isteri pada waktu siang dan menidurinya pula di waktu malam. Ini menunjukkan Nabi sangat menekankan rahmah, hubungan mesra dijalankan dan bukannya hubungan tegang dengan hukuman dan deraan.

Bagaimana jika salah laku atau permasalahan berpunca daripada suami ataupun berpunca daripada kedua-dua belah pihak suami dan isteri? Apakah yang harus dilakukan untuk menyelesaikannya?

Menurut Ibn Kathir, ayat 34 surah al-Maidah sebenarnya adalah berkait rapat dengan ayat 35 surah sama iaitu Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan jika kamu khuatirkan ada perbalahan antara keduanya, maka kirimlah dari keluarga lelaki dan dari keluarga perempuan. Jika keduanya bermaksud mengadakan pembaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu.”

Wajar atau tidak ibu bapa campur tangan apabila sesuatu pasangan bergaduh dan hubungan menjadi tegang? Jawapannya adalah wajar demi kesejahteraan dua pasangan terbabit. Kemungkinan dengan campur tangan daripada keluarga, hubungan pasangan bermasalah boleh diselesaikan dan bahtera perkahwinan mereka dapat diselamatkan daripada karam.

Ini jarang berlaku dalam masyarakat kita. Selalunya yang kita dengar adalah apabila berlaku perselisihan, ada ibu bapa mengambil sikap berkecuali dan hanya menyebut, “Pandai-pandailah kamu selesaikan masalah rumah tangga kamu.” Pendekatan ibu bapa seperti ini adalah silap dan ia tidak menepati apa yang Allah sarankan.

Dalam setiap urusan perkahwinan, ibu bapa dan keluarga adalah antara golongan paling sibuk meraikan pasangan, justeru, apabila berlaku masalah, wajar ibu bapa berusaha menolong bagi menyelesaikan secara baik.

Ibu bapa suami dan ibu bapa isteri perlu berbincang mengenai cara untuk menyelamatkan hubungan perkahwinan, bukannya menyalahkan pihak satu lagi. Bahkan, jika ibu bapa gagal berperanan, maka, abang, kakak, bapa saudara dan lain-lain juga wajar menghulurkan tangan, mengambil tahu serta berusaha untuk menyelamatkan sesebuah ikatan perkahwinan yang dibina.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: