UMAT Islam sentiasa diserang dengan pelbagai tindakan provokasi yang memerlukan jihad secara jitu. Jihad yang ikhlas adalah bukti kepada keteguhan iman dan kesungguhan untuk merealisasikan tanggungjawab sebagai Muslim.
Jihad dalam Islam meliputi segala usaha dan perjuangan yang menjurus kepada tegaknya agama Allah supaya dapat diamalkan secara terbuka tanpa dihalang atau dimomokkan sesiapa.
Jihad tidak hanya terhad berperang di medan perang, tetapi merangkumi segala aktiviti diperlukan dalam kehidupan umat Islam. Usaha membangunkan masyarakat, memelihara dan memastikan keperluan masyarakat Islam dan manusia keseluruhannya terbela atas prinsip keadilan juga adalah sebahagian daripada jihad yang dituntut.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan berjihad kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benar. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama,” (Surah al-Hajj - ayat 78).
Kita perlu sedar umat Islam perlu berada pada kedudukan lebih kuat jika ingin dihormati dan mengelak daripada dibuli musuh Islam. Nasib umat Islam akan terbela jika mempunyai kekuatan atau kedudukan setanding dengan penganut agama lain.
Kejayaan ini hanya dapat dicapai jika setiap Muslim mempunyai jati diri dan daya juang yang utuh untuk berdepan dengan semua cabaran itu. Jati diri amat penting bagi melahirkan diri yang bersedia dan sanggup melakukan sesuatu bersangkutan kepentingan agama, diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara.
Pada konsepnya jati diri atau kekuatan diri adalah semua aspek murni diamalkan dalam diri. Sesuatu yang mendatangkan keburukan tidak kira kepada diri sendiri, orang lain dan negara, bertentangan dengan maksud jati diri. Sesuatu yang buruk ditegah dalam Islam.
Umat Islam mesti lebih bersedia menghadapi cabaran dengan penuh kesabaran dan ketakwaan sehingga berjaya meraih kejayaan hakiki di sisi Allah. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas melaksanakan jihad untuk agama Allah akan mencapai kejayaan. Ia sesuai dengan tujuan Allah mencipta manusia untuk mengabdikan diri kepada-Nya.
Asas ke arah pembentukan jati diri ialah kenal diri. Tanya diri kita apakah yang ingin dicapai dalam kehidupan ini? Adakah kita bersungguh-sungguh berusaha untuk melayakkan diri sebagai hamba Allah yang diredai setiap apa yang dilakukan?
Jihad boleh dilakukan menggunakan lisan, penulisan, kekuatan tenaga, ilmu, kekayaan, profesion yang diceburi, kepakaran dan segala macam tindakan dan usaha yang menuju tercapainya maksud jihad.
Musuh Islam sentiasa berusaha menghakis jati diri Muslim. Provokasi dalam bentuk menghina agama Islam, menidakkan hak kebebasan mengamalkan ajaran agama dan memperkecilkan kepentingan sesuatu amalan dalam agama Islam dilakukan secara terancang oleh musuh Islam di seluruh dunia.
Musuh Islam menguji dan menunggu tindak balas daripada umat Islam terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan. Dalam hal ini, umat Islam perlu bijak mengendalikan krisis provokasi itu. Tindakan kemarahan yang hebat dan luar kawalan akan memburukkan lagi imej umat Islam di seluruh dunia.
Golongan remaja dan pelajar menjadi sasaran pihak yang cuba menghakis jati diri dan melahirkan golongan yang mendatangkan masalah kepada negara. Masalah penagihan dadah, gejala seks bebas, kongsi gelap, mencuri, hiburan melampau, tidak menghormati ibu bapa, bergaduh dan vandalisme adalah unsur yang banyak menghakis jati diri golongan berkenaan.
Dengan cara itu, golongan muda terkeluar daripada ciri akhlak Islam. Mereka hilang jati diri dan keyakinan kepada ajaran agama semakin luntur. Akhirnya, mereka sekadar Islam pada nama, sedangkan amalan seharian tidak ubah seperti orang bukan Islam.
Perasaan cinta terhadap bangsa perlu disuburkan dan dibina dengan satu kesedaran bahawa ia tanggungjawab setiap rakyat. Sesiapa yang menolak tanggungjawab mempertahankan bangsa bermakna memutuskan ikatan bangsa yang ada dalam dirinya. Mencintai bangsa adalah satu daripada cabang iman.
Mencintai dan berbangga dengan bangsa perlu disuburkan mengikut garis panduan dibenarkan agama. Hakikatnya, bangsa itu sebahagian daripada sunnah Allah. Dalam konteks di negara kita, memperjuangkan bangsa itu sendiri bermaksud memperjuangkan Islam.
Perlu ditegaskan, amalan berbangga dan cinta terhadap bangsa tidak perlu disempitkan dengan konsep assabiah yang ditegah agama. Amalan assabiah satu peringkat terlalu taksub terhadap bangsa sehingga sanggup melakukan perbuatan membabi buta dan ditegah agama semata-mata atas nama bangsa.
Oleh itu, pembinaan jati diri amat penting bagi melahirkan umat yang bersedia menunaikan keperluan berjihad ke arah membina masyarakat harmoni, bersatu dan berjaya, dalam tuntutan mencari keredaan Allah menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Friday, April 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment