Wednesday, April 30, 2008

Peguam Syarie Menulis: Syor gubal akta martabat profesion peguam syarie

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
excopgsm@yahoo.com

BANYAK pihak membicarakan mengenai keperluan akta yang mengawal selia dan memantau peguam syarie di negara ini yang dipanggil Akta Profesion Guaman Syarie. Umum mengetahui peguam syarie mempunyai peranan besar pembantu mahkamah menegakkan keadilan.

Walaupun pihak yang bertikai boleh membawa kes mereka sendiri tetapi dengan pengetahuan yang kurang mengenai prosedur undang-undang, ada kalanya sesuatu per-mohonan tidak menepati kehendak sewajarnya. Oleh itu, peguam syarie adalah orang penting bagi membantu anak guam mengetengahkan tuntutan supaya sesuatu kes dibicarakan menepati prosiding ditetapkan undang-undang.

Buat masa ini setiap peguam syarie yang ingin beramal dan diterima masuk di mana-mana negeri di negara ini tertakluk kepada Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri yang ada. Kaedah itu pula berbeza-beza dan tidak seragam di antara negeri di Malaysia. Ada negeri meletakkan syarat yang ketat dan ada negeri lebih longgar syaratnya.

Sebelum ini, kita juga membaca di media, keluhan bakal peguam syarie mengenai kesukaran dihadapi dalam proses melengkapkan diri untuk diterima sebagai peguam syarie. Contohnya, pengalaman pahit seorang bakal peguam memohon menjadi peguam syarie di Selangor gagal kerana tiada latihan dalam kamar sedangkan dia lepasan syariah dan dikehendaki membuat penampalan di Mahkamah Syariah di seluruh negeri itu.

Begitu juga kesusahan bakal peguam syarie yang sudah menghabiskan masa hampir lima tahun belajar syariah, tetapi masih diwajibkan mempunyai Diploma Lanjutan Amalan Syariah. Sedangkan pelajar lepasan undang-undang sivil mempunyai pengetahuan syariah yang sedikit juga dikehendaki mengambil diploma sama.

Kepeguaman syarie dewasa ini sudah berkembang dengan baik. Kita dapati bilangan peguam syarie ditauliahkan semakin ramai. Begitu juga kes dibicarakan juga semakin banyak dengan fakta kes semakin rumit membabitkan tuntutan harta sepencarian serta mutaah mencecah jutaan ringgit.

Semua ini memerlukan khidmat peguam syarie untuk membantu pihak terbabit. Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mempercepatkan penggubalan dan seterusnya mewartakan Akta Profesion Guaman Syarie itu. Antara rasional perlu dipercepatkan akta itu adalah:

l Kedudukan dan martabat peguam syarie dapat ditingkatkan sebagai pihak yang penting dalam melicinkan perjalanan proses keadilan di mahkamah. Taraf profesion peguam syarie juga akan lebih dimuliakan setanding kedudukan peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Sivil yang dikawal selia di bawah Akta Profesion Undang-undang 1952.

l Apabila wujudnya dan dikuatkuasakan akta itu, maka Majlis Peguam Syarie boleh ditubuhkan yang bertujuan mengawal selia pengeluaran sijil amalan untuk setiap negeri, menjaga rekod peguam syarie, memastikan penerimaan masuk peguam syarie yang selaras serta dapat menjaga kebajikan ahli seperti sahabat mereka peguam sivil.

l Buat masa ini, jika ada peguam syarie terbabit dengan salah laku dan membuat sesuatu perkara yang tidak wajar seperti menipu anak guam, membawa pembuktian palsu, mengenakan caj tidak munasabah dan sebagainya, tidak ada badan tertentu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.

Dengan adanya Majlis Guaman Syarie yang diberi mandat oleh akta itu, nescaya ia membantu pelanggan membawa kes salah laku peguam syarie kerana badan ini akan mempunyai kuasa mengambil tindakan disiplin terhadap peguam terbabit.

Badan itu juga berkuasa di sisi undang-undang untuk menarik kembali sijil beramal peguam syarie yang disabitkan dengan salah laku seperti berlaku terhadap peguam sivil di bawah seliaan Majlis Peguam mereka.

l Kaedah pemilihan dan terima masuk peguam syarie boleh diselaraskan dan diseragamkan supaya tidak bersifat menganiaya bakal peguam syarie di negara ini. Contohnya:

– Negeri Selangor di bawah Kaedah-kaedah Peguam Syarie Negeri Selangor 1991 meletakkan syarat pemohon yang ditemuduga sudah mendapat latihan profesional yang diiktiraf majlis dalam kehakiman Islam. Ini bermakna pemohon perlu menghadiri latihan amalan guaman di firma guaman syarie dan sebagainya. Namun begitu, tempoh masa latihan tidak dinyatakan.

Pemohon juga perlu mempunyai Diploma Lanjutan Syariah yang berkaitan seperti Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam (DAIJ), Diploma Syariah dan Amalan Undang-undang (DLSP), Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan (DLSA) dan lain-lain selain mempunyai ijazah asas dalam bidang Syariah (LLB.S) atau Sarjana Muda Undang-undang (LLB). Pemohon juga perlu membuat tampalan di seluruh mahkamah di Selangor terlebih dulu sebelum majlis temu duga berlangsung.

– Negeri Kedah di bawah Peraturan-peraturan Peguam Syarie 1983 meletakkan hanya peguam bela dan peguam cara lepasan LLB saja yang layak memohon sebagai peguam syarie. Ini bermakna lepasan Syariah tidak dinyatakan di situ.

- Wilayah Persekutuan hanya meletakkan Ijazah LLB atau LLB.S dan yang selayaknya berhak memohon dan tidak diwajibkan mempunyai Diploma Lanjutan Guaman Syarie.

– Ada negeri perlu menjalani peperiksaan khas dan selepas lulus peperiksaan, perlu lulus temu duga pula. Ada negeri yang memberi tauliah peguam syarie setiap tahun tetapi ada pula negeri sudah bertahun tidak mentauliahkan peguam syarie.

Keselarasan syarat dan kelayakan untuk diterima masuk sebagai peguam syarie adalah satu keperluan supaya tidak menjadi bahan ketawa di negara ini. Melalui akta ini, tatacara yang selaras boleh diterima pakai di seluruh negara.

Contohnya jika diperlukan Latihan Amalan, apakah yang dimaksudkan latihan itu, apakah syarat firma yang boleh menerima pelajar dalam kamar (chambering), berapa lama tempohnya dan apakah master (majikan) perlu membuat laporan kepada Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri atau sebagainya.

Jika menepati tempoh sembilan bulan seperti peguam sivil, apakah perlu ditemuduga lagi atau bagaimana? Semua akan dapat diselaraskan dan kebajikan bakal peguam syarie terutama mempunyai ijazah syariah tanpa LLB akan terbela.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com.

No comments: