Oleh Wan Roslili Abd Majid
Kecintaan pemerintah terhadap ilmuwan dibukti menerusi tindak-tanduk, dasar negara
PADA penghujung kisah pengembaraannya, Ibn Battutah (1304-1369/70M), menceritakan rasa kagum terhadap Sultan Abu 'Inan yang memerintah ketika beliau kembali ke tanah kelahirannya sekitar 1354 khususnya minat mendalam ditunjukkan baginda terhadap ilmu pengetahuan.
Menurut pengembara kelahiran Tanjah itu, Sultan Abu 'Inan sering mengadakan majlis ilmu pada setiap hari, iaitu selepas solat Subuh. Baginda meminta ulama fiqh dan penuntut yang bijak bestari supaya hadir ke masjid istananya.
Tafsir al-Quran, hadis dan cabang Mazhab Maliki dibaca di hadapan baginda. Baginda juga dikisahkan memiliki kefahaman mendalam mengenai setiap ilmu itu dan dapat menyelesaikan semua masalah berdasarkan kefahaman yang dimiliki.
Sebelum itu, dalam kunjungannya ke Kepulauan Jawa, Ibn Battutah menceritakan kisah pemerintahnya iaitu Sultan al-Malik al-Zahir yang bermazhab Syafie dan mengasihi fuqaha. Fuqaha menghadiri majlis baginda untuk membaca kitab dan bermuzakarah.
Ibn Battutah menceritakan pertemuannya dengan pemerintah Kepulauan Jawa itu, iaitu sebelum baginda kembali menyertai muzakarah fiqh berasaskan Mazhab Imam Syafie. Ketika menghadap sultan, beliau dapat melihat kehadiran penuntut ilmu yang berada di kiri dan kanan baginda.
Pengamatan yang dibuat oleh Ibn Battutah adalah bukti terhadap ciri khusus dan keistimewaan yang dimiliki pemimpin Islam pada zamannya, iaitu kecintaan yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan dan golongan ilmuwan.
Jika dirujuk pula zaman kegemilangan tamadun Islam, perkara sama ditunjukkan oleh pemimpin agung Bani Abbasiyyah seperti Khalifah al-Mansur (712-775 masihi), Khalifah Harun al-Rashid (766-809 masihi) dan Khalifah al-Ma'mun (813-833 masihi).
Al-Mansur, khalifah kedua Bani Abbasiyyah yang mengasaskan Baghdad pada 762 masihi berjaya menjadikan kota yang sebelumnya bernama Madinah al-Salam itu sebagai kota ilmu dan pusat pertembungan budaya yang sebenar di timur.
Langkah menuju kemajuan yang dicetuskan Khalifah al-Mansur diteruskan Khalifah Harun al-Rashid. Pada zaman pemerintahannya, pembangunan dan perkembangan ilmu pengetahuan berlangsung dengan lebih pesat.
Selain itu, baginda juga berjaya menjadikan Baghdad sebagai pusat perdagangan antarabangsa dan pusat ilmu pengetahuan. Pada zaman baginda, kegiatan penterjemahan digiatkan lagi dan penterjemah seperti Salm al-Harrani, ditugaskan menterjemah karya Aristotle seperti Categories, Hermeneutics dan Analytics.
Tempoh pemerintahan al-Ma'mun, putera sulung Khalifah Harun al-Rashid, seterusnya disifatkan sebagai zaman keemasan Bani Abbasiyyah, khususnya dengan kejayaan baginda merancakkan lagi kepesatan pembangunan ilmu dan tamadun Islam.
Baginda mencetuskan cadangan penubuhan Bayt al-Hikmah yang berperanan sebagai pusat kegiatan penterjemahan dan tempat mengadakan perbincangan serta wacana falsafah. Antara usaha penting lain Khalifah al-Ma'mun dalam bidang keilmuan ialah titah baginda supaya Hunayn ibn Ishaq, penterjemah Kristian Nestorian yang menguasai bahasa Arab dan Syriac, mengetuai sekumpulan sarjana untuk menterjemah karya Hippocrates dan Galen ke bahasa Arab.
Pada zaman pemerintahan al-Ma'mun juga lahir tokoh agung tamadun Islam seperti al-Khawarizmi, pengasas ilmu algebra. Karya al-Jabr wa al-Muqabalah dikatakan ditulis oleh al-Khawarizmi dengan ringkas atas dorongan Khalifah al-Ma'mun supaya mudah difahami orang ramai untuk digunakan dalam urusan perdagangan, wasiat, penghakiman, penggalian terusan dan sebagainya.
Kesimpulannya dapat dikatakan bahawa pencapaian tamadun Yunani dijadikan penanda aras untuk diatasi pemimpin Bani Abbasiyyah. Demikian pula dengan pemimpin Kerajaan Islam Andalusia yang turut menunjukkan keprihatinan tinggi dan kecintaan mendalam terhadap ilmu.
Misalnya, Khalifah Abdul Rahman III mengumpulkan buku yang tidak terhitung jumlahnya dan mengurniai naungan dalam bentuk perlindungan serta bantuan kepada sarjana perubatan dan sains kuno. Usaha murni baginda diteruskan Khalifah al-Mustansir (al-Hakam III) yang membina universiti dan perpustakaan di Cordoba.
Seperti yang dimaklumi, dorongan kuat daripada pemimpin inilah akhirnya melonjakkan Andalusia dan sarjananya berada pada tahap kecemerlangan mengagumkan. Kita umumnya mengetahui nama besar yang lahir akibat kepesatan kegiatan keilmuan di Andalusia dengan naungan pihak pemerintah seperti Abu al-Qasim (perubatan), Ibn Bajjah (perubatan dan muzik), Ibn Rusyd (falsafah) dan Ibn Khaldun (sosiologi).
Semangat sama dikongsi oleh pemerintah Islam di serata pelosok dunia seperti khalifah keenam Kerajaan Fatimiyyah Mesir, al-Hakim yang membina Dar al-'Ilm pada 1004 masihi. Baginda memperuntukkan 257 dinar setahun kepada institusi ilmu berkenaan dan menetapkan biaya daripada Baitul Mal istana untuk menyediakan buku dalam pelbagai bidang.
Selain itu, bayaran untuk sarjana yang menjadi pengajar institusi itu juga disediakan. Begitu juga Mehmet II yang mengadakan majlis pengajian ilmu agama dan mewujudkan tata tingkat ulama bagi Kerajaan Uthmaniyyah.
Penasihat baginda ialah seorang faqih, Molla Khosrew dan ahli astronomi, Ali Kushdji. Selain itu, pakar terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama juga diambil berkhidmat dengan baginda.
Maharaja Mughal yang terakhir, Abul Zafar Muhiuddin Muhammad Aurangzib Alamgir, seorang yang teguh pegangan agamanya dan berwibawa, sentiasa mengadakan perbincangan dengan sarjana agung di istana baginda selain menziarahi mereka, walaupun sibuk dengan urusan ketenteraan.
Pada zaman kesultanan Melayu, pemerintah Terengganu dan Melaka juga tidak ketinggalan memperlihat kecintaan mendalam terhadap ilmu dan penghormatan yang tinggi kepada golongan cendekiawan.
Menarik sekali jika dihayati kisah Sultan Mahmud Shah, walaupun dikenali sebagai seorang yang lemah akhlaknya, tetapi mempunyai hubungan akrab dengan ulama. Dalam buku Sejarah Melayu diceritakan kedatangan Sultan Mahmud Shah untuk mengikuti pengajian ditolak oleh gurunya, Maulana Yusuf disebabkan baginda menunggang gajah dan diiringi orang ramai.
Justeru, baginda berusaha mengunjungi semula gurunya, pada waktu malam dengan hanya ditemani dua orang pengiring. Malah, kitab yang hendak dipelajari juga dibawa sendiri. Apabila sampai di rumah Maulana Yusuf, baginda dengan merendah hati menggelar dirinya sebagai Fakir Mahmud dan meminta penjaga pintu memberitahu gurunya bahawa baginda tiba untuk mengikuti pengajian. Lantas gurunya itu pun membenarkan baginda masuk.
Semua kisah dan catatan sejarah itu menunjukkan dengan jelas bahawa pemerintah Islam zaman silam tidak sekadar melaungkan kecintaan mereka terhadap ilmu serta golongan ilmuwan, bahkan mereka membuktikannya dalam tindak-tanduk, usaha serta dasar pemerintahan.
Maka, tidak hairan jika mereka berjaya mengasaskan tamadun gemilang yang menjadi sebutan sehingga kini. Kejayaan mereka membina bangsa dan tamadun pada hakikatnya berteraskan iman serta makna diri dan ia pula sudah pasti bersumberkan ilmu yang benar.
Penulis ialah Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia
Tuesday, April 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment