Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
ISLAM adalah satu-satunya al-Din yang diredai Allah kepada seluruh umat manusia sejak dari zaman Nabi Adam hingga ke zaman umat Nabi Muhammad SAW. Serentak itu, sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah, maka dia bergelar sebagai seorang Muslim.
Selepas itu, seorang Muslim akan terikat dengan pelbagai tuntutan dan kewajipan yang ditetapkan Allah sebagai tanda keislaman dan kepatuhannya kepada Allah. Apabila diteliti di dalam al-Quran, kita mendapati Allah mengklasifikasikan Muslim kepada tiga golongan berdasarkan kepada tahap keislaman dan kepatuhan mereka kepada segala perintah Allah dan juga ajaran Islam.
Di dalam realiti kehidupan Muslim, ada banyak sekali ragam dan perilaku yang lahir dari seseorang Muslim. Ada antara mereka ini yang bertakwa, ada juga yang fasik dan tidak kurang juga ada yang sederhana dalam tingkah laku sehariannya. Semua ini berlaku bersandarkan tahap keislaman dan keimanan yang menghiasi hati sanubari mereka.
Dalam hal ini, Allah berfirman,” Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang yang Kami pilih dari hamba Kami, maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia besar (dari Allah semata-mata) Surah Fa’atir,32,.
Maksud ayat itu menjelaskan keperibadian Muslim terbahagi kepada tiga iaitu yang pertamanya Muslim yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri, kedua, Muslim yang sederhana dalam pembawaan dirinya dan ketiga Muslim yang bersegera dalam melaksanakan kebajikan dan amal kebaikan.
Inilah tiga golongan Muslim sebagai mana tersimpul dalam nas suci itu bagi menggambarkan kepada kita bahawa setiap Muslim tidak dapat tidak mesti termasuk dalam mana-mana salah satu golongan itu.
Golongan pertama iaitu Muslim yang menzalimi dirinya sendiri iaitu Muslim yang tidak mempunyai pegangan kuat kepada agama Islam. Walaupun mereka mengaku diri mereka sebagai Muslim beriman kepada Allah tetapi mereka sanggup membelakangkan ajaran agama dengan melanggar larangan Allah dan juga mengabaikan segala perintah Allah.
Islam dan iman yang bertakhta di hati sanubari mereka begitu rapuh dan mudah goyah hingga terpedaya akibat godaan hawa nafsu dan tipu daya syaitan. Natijahnya, tanpa pertimbangan akal yang waras dan perisai iman yang kebal, mereka dengan mudah melampaui batasan Allah seperti melakukan zina, rasuah dan melakukan jenayah.
Islam yang menerangi alam semesta ini adalah untuk menyelamatkan manusia daripada kegelapan dan kezaliman yang membelenggu manusia sekian lamanya. Oleh itu, Islam lengkap dengan panduan dan pedoman hidup mampu membimbing manusia ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Malangnya, sebahagian manusia tidak menyedari akan hal ini dan akibatnya mereka lupa diri dan sanggup pula membelakangkan ajaran agama Islam. Oleh sebab itu, Allah menyifatkan mereka ini menzalimi diri mereka sendiri dengan tidak patuh dan tunduk terhadap segala ajaran Islam sedangkan Islam datang untuk menyelamatkan diri mereka dan seterusnya memberikan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Di sisi Islam, nasib kesudahan mereka ini ditentukan oleh Allah mereka akan diazab dan dihumban ke dalam api neraka sebagai balasan terhadap kelalaian dan kecuaian mereka terhadap ajaran Islam.
Golongan kedua, Muslim yang bersifat sederhana yang ada dalam dirinya ciri dualisme dalam pembawaan hidupnya. Dengan lain perkataan, dia adalah seorang yang mempunyai pegangan yang kuat dengan ajaran Islam pada satu masa tetapi dalam masa sama sanggup menyimpang dari landasan agama yang sebenarnya dengan melakukan larangan Allah. Sebagai contohnya, ada seorang Muslim yang begitu tekun menghadiri sembahyang lima waktu berjemaah di masjid tetapi berjudi atau meminum arak pada masa tertentu. Ini bermakna Muslim itu mencampur-adukkan ketaatan dan kemungkaran di dalam kehidupannya.
Yang pastinya keadaan ini berlaku kerana iman dan Islamnya masih belum kukuh dan mantap lagi sehingga sanggup melanggar segala larangan Allah. Muslim seumpama ini memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar supaya dia sentiasa beristiqamah di bawah naungan Islam. Kesudahan nasibnya adalah terserah kepada Allah sendiri berdasarkan sifat Rahman dan Rahim. Sekiranya Allah kehendaki, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan begitu juga sebaliknya.
Golongan ketiga, Muslim yang bersegera dalam melakukan kebaikan dan kebajikan kepada Allah. Muslim itu mencapai kedudukan istimewa di sisi Allah hingga layak mendapat pelbagai gelaran yang diberikan sendiri oleh Allah.
Golongan memusatkan seluruh kehidupan mereka untuk melakukan kebaikan dan kebajikan sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya. Kehidupan mereka keseluruhannya bertunjang atas dasar Islam yang suci. Oleh sebab itulah mereka mampu menumpukan hidup mereka semata-mata untuk mencari keredaan Allah. Ini matlamat mulia yang digapai oleh setiap Muslim yang bertakwa kepada Allah.
Justeru, apabila mereka diketemukan dengan kepentingan ukhrawi dan kepentingan duniawi, mereka akan mendahulukan kepentingan ukhrawi mengatasi kepentingan duniawi kerana Allah adalah segala-galanya bagi hidup mereka.
Untuk menyelami ciri golongan Muslim yang bersegera kepada Allah ini, Allah ada merakamkan antara ciri yang melayakkan mereka termasuk ke dalam golongan itu.
Kelompok Muslim yang bersegera melaksanakan kebaikan ini mempunyai lima kriteria yang utama iaitu, mereka mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi segala-galanya. Hati dan ingatan mereka hanya tertumpu kepada Allah semata dan keredaan-Nya. Merekalah kelak yang akan memperoleh kemanisan iman yang akan mekar di hati sanubari mereka.
Kedua, bersikap lemah lembut kepada sesama Muslim. Inilah adalah sifat sebenar yang sewajarnya menghiasi peribadi Muslim dan perwatakan sehariannya kerana Allah pun memiliki sifat itu.
Ketiga, bersikap tegas dan keras terhadap kekafiran terutama orang kafir yang bermusuh dengan orang Islam seperti melakukan penindasan terhadap umat Islam dan sebagainya. Dalam hal ini, Islam melarang setiap Muslim dari berbaik-baik dengan mereka. Malah Islam menganjurkan supaya setiap Muslim membabitkan diri dalam jihad menentang kekafiran dan kejahatan mereka.
Keempat, berjihad pada jalan Allah iaitu berjuang menegakkan kalimah Islam di atas muka bumi ini. Ini adalah tuntutan wajib yang berjalan seiring dengan kewajipan Islam yang lain. Akhirnya, dia tidak takut terhadap celaan orang yang mencela di atas perjuangannya dalam menyebarkan dakwah Islam. Malah dia tidak berganjak walau selangkah dari perjuangannya dan tetap tabah serta sabar dalam meneruskan daya juangnya menegakkan Islam. Dia juga tidak mudah goyah dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang, malah dia menjadikan semua itu sebagai satu ujian dan pemangkin ke arah kejayaan yang hakiki.
Saturday, April 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment