Thursday, April 17, 2008

Personaliti: Xia satukan masyarakat Islam di Xian

Oleh Haryani Ngah

KENANGAN: Penulis (kiri) mengambil kesempatan bergambar dengan Muhammad Xia Ping.
Imam giat imarahkan masjid utama wilayah Shaanxi dengan pelbagai program
"IMAM, English", beritahu seorang petugas Masjid Besar Xian (Xian Great Mosque) yang seakan mengerti bahawa kunjungan penulis dan rakan usahawan Hai-O Marketing melawat ke masjid berkenaan adalah untuk mendapat maklumat serta melihat sendiri perkembangan Islam di sana.

Lega rasanya apabila dimaklumkan Imam Masjid Besar Xian yang terletak di tengah-tengah bandar Xian dalam wilayah Shaanxi, China itu boleh berbahasa Inggeris memandangkan ahli rombongan kami tidak seorang pun yang tahu bercakap bahasa Mandarin.

Kedatangan kami ke dewan solat masjid berkenaan disambut ramah Imam Muhammad Xia Ping yang segak memakai jaket dan kopiah. Senyuman tidak lekang daripada bibir sementara suara lembutnya menyapa mempersilakan kami duduk.

Sebaik diberitahu kami adalah rombongan dari Malaysia, kegembiraan jelas terpancar di raut wajahnya yang kemudian memberi kejutan apabila tiba-tiba meneruskan bicara dalam bahasa Melayu.

"Saya boleh cakap Melayu. Apa khabar? Saya ke Malaysia tiga bulan pada 1994. Anak saya belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Anak saya ambil undang-undang," katanya dalam pelat bahasa Cina.

Beliau yang juga graduan universiti Al-Azhar, Mesir itu kemudian bertanya jika kami boleh berbahasa Arab kerana baginya lebih mudah untuk bercerita mengenai perkembangan Islam menggunakan bahasa Arab.

Akur dengan kami yang menggelengkan kepala, pertemuan petang itu yang hampir memasuki waktu Asar tetap berjalan lancar kerana kesediaan Muhammad yang bersedia menjawab setiap soalan penuh sabar.

Katanya, beliau gembira untuk berkongsi cerita serta maklumat mengenai Masjid Besar Xian serta sejarah perkembangan Islam di China dengan pelancong yang mengunjung masjid itu yang menjadi salah satu destinasi pelancongan di wilayah Shaanxi.

Baginya, selain bercerita mengenai kehidupan masyarakat Islam yang kebanyakan tinggal di sekeliling kawasan masjid, secara tidak langsung beliau turut berdakwah menyebarkan syiar Islam melalui maklumat yang disampaikan.

Hujah beliau, masyarakat Islam di mana juga mereka berada memiliki keimanan yang sama, begitu juga tanggungjawab menunaikan kewajipan disyariatkan kepada mereka. Yang membezakan ialah latar belakang negara serta budaya kehidupan.

Justeru, katanya, seperti imam masjid lain, beliau juga memikul tugas mengimarahkan Masjid Besar Xian dengan pelbagai program untuk menyatukan masyarakat dan pada masa sama mengalukan kedatangan pelancong yang ingin melihat keindahan seni bina masjid berkenaan.

"Masjid ini berusia 1,250 tahun, dibina pada 742 Masihi ketika zaman Dinasti Tang. Masjid ini terletak di daerah Muslim Ta Xue Xiang atau lebih dikenali sebagai Muslim Street. Selain tempat ibadat, kami juga menjalankan aktiviti keagamaan seperti mengajar al-Quran dan ceramah agama.

"Untuk kanak-kanak, kami menyediakan pendidikan prasekolah yang membimbing cara menunaikan solat, kelas mengaji al-Quran serta ilmu Tauhid dan Fekah. Ini sebagai persediaan awal kerana mata pelajaran agama tidak diajar di sekolah," katanya.

Katanya, Masjid Besar Xian mempunyai lima ustaz yang bertugas mengajar agama kepada penduduk Islam yang tinggal di persekitaran masjid berkenaan dan kebanyakan mereka adalah peniaga kedai makan serta barangan cenderahati.

Ternyata adanya penempatan Islam di sekitar masjid memberi kemudahan kepada pelancong terutama yang beragama Islam untuk mendapatkan makanan halal serta produk buatan China tanpa was-was.

Kiri kanan jalan menuju masjid dipenuhi restoran yang menghidangkan masakan tradisional Xian termasuk kuih muih pelbagai bentuk, tidak ketinggalan kedai menjual daging yang pemiliknya memakai songkok, manakala yang perempuan bertudung.

Masjid Besar Xian yang termasuk dalam senarai lokasi terkenal menjadi destinasi kunjungan pelancong membuktikan sokongan kerajaan terhadap umat Islam selain memberi peluang masyarakat dunia mendalami perkembangan Islam di China.

Menurut Muhammad, keistimewaan masjid itu adalah struktur seni binanya yang menarik melambangkan budaya masyarakat China. Berbeza dengan masjid di negara lain yang mempunyai kubah, bangunan Masjid Besar Xian seperti tokong.

Bagaimanapun, memasuki kawasan dalam masjid terlihat keindahan Islam pada dinding yang dihiasi 30 juzuk lengkap ayat al-Quran diukir rapi dalam tulisan Arab serta ukiran terjemahannya dalam tulisan Cina. Ia dianggap seni ukiran ayat al-Quran terbesar di dunia.

Masjid ini berupaya menampung lebih 1,000 jemaah pada satu-satu masa dengan keluasan 13,000 meter persegi keseluruhannya. Namun 6,000 meter persegi daripadanya adalah pekarangan yang terdiri daripada pagoda dan wakaf sebagai kemudahan jemaah berehat.

Selain bantuan kerajaan, dana pengurusan masjid berkenaan datangnya daripada sumbangan derma orang ramai termasuk pelancong yang berkunjung ke masjid berkenaan.

Penduduk Islam di Xian seramai 60,000 dan ada 10 masjid di bandaraya itu tetapi Masjid Besar Xian yang terbesar dan tertua. Masjid itu menerima kedatangan kira-kira 100 pelawat setiap hari daripada rakyat China sendiri dan pelancong negara lain termasuk dari Malaysia.

"Saya ingat Tan Sri Abdul Hamid Othman (Penasihat Agama Perdana Menteri yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri) pernah berkunjung ke masjid ini. Malaysia sentiasa dekat di hati saya kerana selain pernah tinggal selama tiga bulan, anak saya masih di sana," katanya.

Ketika kunjungan ke Malaysia, beliau sempat melawat tempat menarik di Kuala Lumpur dan beberapa negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah serta Sarawak. Beliau sempat berjumpa ramai anak muda berbangsa Cina.

Mengingati saat itu, beliau mengatakan kedatangan ke negara ini membawa banyak rahmat apabila beliau berjaya menyampaikan dakwah kepada anak muda bangsa Cina untuk mengenali Islam dan ada antara mereka akhirnya memeluk Islam.

Menilai kepada pengalaman dilaluinya Xia berkata, Islam adalah agama untuk semua kerana beliau adalah imam masjid yang terletak di China tetapi peluang menarik orang lain kepada Islam terbuka ketika beliau datang ke Malaysia.

"Betapa besarnya anugerah Allah SWT dan kerana itu saya sentiasa memastikan setiap pengunjung masjid ini menerima sambutan ramah setiap kali mereka datang. Begitu juga anda dan saya harap anda mendapat manfaat daripada perjumpaan ini," katanya yang mengakhiri perbualan dengan memberitahu kami beliau mahu solat.

Rombongan usahawan Hai-O Marketing yang berada di Masjid Besar Xi'an petang itu sempat bertemu dengan pasangan pengantin yang baru saja selamat dinikahkan di masjid berkenaan dalam majlis serba ringkas.

Walaupun tidak semeriah majlis pernikahan di Malaysia, kegembiraan jelas terpancar daripada wajah pengantin perempuan yang memakai baju labuh dengan seluar berserta selendang di samping pengantin lelaki memakai kurta dan bersongkok.

No comments: