Saturday, April 19, 2008
Fungsi masjid perlu pembaharuan
Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz
WAWANCARA bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz sempena Multaqa Imam-Imam Seluruh Negara 2008 yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Boleh Datuk jelaskan matlamat multaqa kali ini terutama penekanan yang diberikan terhadap usaha mengimarahkan lagi fungsi masjid.
Perhimpunan ini membabitkan imam seluruh negara. Kita ingin wujudkan satu forum supaya imam dapat berkongsi pengalaman dan pendedahan mengenai pendekatan baru mengurus serta mengimarahkan masjid. Urusan agama adalah urusan negeri, tetapi jika imam hanya melihat dalam lingkungan negeri masing-masing, perkongsian pengalaman mereka agak terhad. Mungkin di sesetengah negeri mereka bagus dalam pengurusan masjid tetapi aspek mempelbagaikan program untuk mengimarahkan masjid, negeri lain lebih berpengalaman. Oleh itu, apabila berhimpun begini mereka akan dapat bertukar idea. Multaqa kali ini adalah perhimpunan pemimpin masyarakat tertinggi dengan pemimpin peringkat pertengahan serta akar umbi. Mereka dapat mendengar sendiri hasrat dan hala tuju kepemimpinan negara dan pemimpin juga dapat mengetahui masalah dihadapi pihak pengurusan agama ini. Institusi masjid satu-satunya institusi sosial umat Islam yang menjadi benteng terakhir untuk perpaduan umat Islam kerana ia bebas daripada pengaruh politik kepartian dan masjid menjadi milik semua umat Islam tanpa mengira latar belakang. Maksudnya institusi ini perlu diperkasakan kerana wilayah jangkauan masjid lebih luas dan tidak ada jurang memisahkan sebaliknya kita disatukan oleh kesatuan agama. Sepatutnya dari segi langkah strategi, institusi ini patut kita manfaatkan dan gunakan untuk agenda besar negara.
Adakah imam sudah bersedia untuk membuat perubahan dan melebarkan tugasan mereka daripada urusan di masjid kepada tugas sosial lain.
Saya yakin semua imam sudah bersedia, cuma mereka memerlukan pimpinan daripada organisasi agama pada peringkat negeri. Lebih-lebih lagi, kita lihat latar belakang imam sekarang sudah ada peningkatan daripada segi keupayaan intelektual serta pengaruh mereka dalam masyarakat. Imam tidak semestinya orang yang ada pendidikan formal agama. Mereka yang berpengalaman dalam bidang pengurusan atau sektor pekerjaan juga boleh menjadi imam. Mereka ini boleh terjemahkan pengalaman dan pendedahan tugas sebelum ini untuk memajukan masjid.
Imam disaran mengimarahkan masjid sebagai pusat pendidikan dan sosial. Tidak dinafikan masih ada masjid yang tidak bersedia menganjurkan aktiviti lain. Bagaimana Datuk melihat keadaan ini.
Kita perlu seimbangkan kemudahan prasarana dengan fungsi masjid. Kadang-kadang yang menyebabkan pihak pengurusan masjid mengambil pendekatan agak kaku kerana prasarana yang ada di masjid itu hanya memungkinkan untuk mengadakan aktiviti solat saja. Jadi, ia tidak menyokong atau menyediakan suasana lebih kondusif untuk aktiviti lain. Tetapi jika kita lengkapkan dan pelbagaikan kemudahan di masjid, ia boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti. Saya ambil contoh, untuk pendidikan dewasa, berdasarkan pemerhatian Jakim, masjid satu-satunya institusi sosial yang berjaya dalam pendidikan dewasa berbanding institusi lain. Sekarang ini ada keperluan untuk masjid memainkan peranan menyokong sistem pendidikan untuk kanak-kanak dan remaja, tetapi prasarana di masjid tidak kondusif untuk remaja dan wanita. Contohnya, sebahagian besar masjid tidak ada bilik darjah, bagaimana kita hendak merancang perkhidmatan untuk kanak-kanak. Bagi masjid yang hanya ada ruang solat, ia akan menjadi zon larangan kepada wanita uzur. Jika masjid mempunyai ruang lain, ia memberi kemudahan wanita uzur untuk datang walaupun tidak bersolat dan mengikuti aktiviti yang dianjurkan. Masjid perlu sediakan prasarana begitu untuk aktiviti remaja. Masjid Wilayah Persekutuan, kebetulan saya Pengerusinya, kami mengamalkan dasar terbuka dan memberi peluang pertubuhan bukan kerajaan seperti Dewan Pemuda Masjid membuka pejabatnya di sini. Maknanya, Masjid Wilayah menjadi tempat pertemuan pemuda dan remaja sekitar Kuala Lumpur.
Adakah ini bermakna pembinaan masjid perlu mengambil kira semua faktor itu seperti menyediakan bilik darjah serta prasarana yang kondusif supaya memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Jabatan Perdana Menteri pernah menjalankan kajian untuk menjadikan Masjid Putra sebagai model standard terutama dalam membantu pihak berkuasa agama merancang aktiviti mengimarahkan masjid. Program yang dirancangkan itu perlu seiringan dengan perancangan projek pembangunan. Kita perlu ada satu piawaian apa yang perlu ada di masjid. Contohnya, dewan solat untuk lelaki dan wanita, kemudahan pengajian lelaki, wanita dan kanak-kanak, ruang sesuai untuk letak anak dalam keadaan selamat dan terjaga termasuk mewujudkan taman permainan di dalam kawasan masjid. Sekarang ini kita hanya ada tempat wuduk untuk dewasa saja tetapi tidak untuk kanak-kanak. Jika kita pergi ke pusat rehat dan rawat di lebuh raya, ada disediakan tandas untuk kanak-kanak, bilik untuk menukar lampin bayi. Kenapa masjid tidak boleh menyediakan kemudahan seperti itu. Sebab itu saya kaitkan pelbagai pihak boleh menjadi jawatankuasa pengurusan masjid. Jika dia pernah menjadi pengetua sekolah, pasti dia tahu apa yang diperlukan murid sekolah dan boleh diserapkan dalam aktiviti masjid.
Tetapi setakat ini masih belum ada peraturan menetapkan pembinaan masjid perlu menyediakan semua kemudahan itu.
Pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri di Jakim baru-baru ini yang dihadiri semua Menteri Besar atau wakilnya dan ketua Majlis Agama Negeri, saya bentangkan mengenai bagaimana hendak gunakan pendekatan baru dalam pengurusan masjid. Saya juga sentuh perkara ini.
Gerakan ke arah mengembangkan fungsi masjid, apakah ada jangka masa ditetapkan untuk melihat perubahan seperti diharapkan itu.
Bergantung kepada beberapa pihak. Pertama, pihak yang dipertanggungjawabkan (dalam konteks negeri, pihak berkuasa agama negeri). Maknanya pihak ini yang merancang program pembangunan di masjid. Kedua, orang yang diamanahkan untuk mentadbir masjid iaitu ahli jawatankuasa dan pegawai masjid. Mereka perlu mengadakan perbincangan, mengikuti kursus supaya minda lebih terbuka. Mereka juga patut melawat masjid yang berjaya, jangan tertumpu pada daerahnya saja. Lihat bagaimana masjid lain melaksanakan aktiviti serta mencipta program yang mendekatkan masyarakat dengan masjid. Ketiga ialah komuniti. Kita perlu mencipta aktiviti menggalakkan kerja sukarela supaya ahli jemaah berkhidmat di masjid. Tafsiran ahli jemaah bukan saja yang datang sembahyang, penduduk kawasan kariah pun ahli jemaah, dia datang sembahyang atau tidak, dia ahli masjid atau tidak, orang warak atau yang liar, mereka adalah ahli jemaah. Mereka ini perlu kita dekatkan dengan masjid. Untuk remaja, apa yang menghalang kita buat kursus sehari membaiki basikal. Budak remaja suka basikal, jadi kita didik bagaimana menjaga basikal, cara tukar tayar, cara bersihkan basikal. Tidak perlu tunggu masuk pusat kemahiran kerana masjid juga boleh buat dengan kerjasama Pusat Giat Mara atau Institut Kemahiran Belia. Pendek kata jawatankuasa masjid kena amalkan dasar luar yang terbuka, kena mahu bekerjasama dengan agensi lain.
Tidak dinafikan masalah kewangan sering menjadi penghalang kepada aktiviti memaju dan mengimarahkan masjid. Bagaimana masalah ini dapat diselesaikan.
Mengenai masalah kewangan, jawatankuasa masjid perlu ubah pendekatan jangan terlalu bergantung pada sedekah atau derma. Maknanya, pihak berkuasa agama negeri perlu lebih fleksibel untuk memberi peluang jawatankuasa masjid menjalankan aktiviti yang dapat menjana pendapatan untuk masjid dengan panduan dan bimbingan Jabatan Agama Negeri. Sesetengah masjid oleh kerana berada di lokasi strategik, mereka boleh majukan tapak di sekitar masjid untuk membina rumah kedai untuk disewa. Yang penting boleh mendatangkan pendapatan untuk masjid.
Pada pemerhatian Jakim, adakah masjid di negara sudah melalui fasa perubahan ke arah memenuhi aspirasi kerajaan sebagai institusi yang cemerlang dalam mengembalikan kekuatan ummah.
Ini perlu kepada kajian tetapi melalui pemerhatian, kita lihat banyak masjid sudah berjaya mempelbagaikan aktiviti. Bagi masjid yang belum, perlu mencontohi masjid yang sudah berjaya. Jangan malu kerana tidak rugi menjadi peniru yang baik untuk menghasilkan sesuatu yang baik demi manfaat semua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment