Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
SETIAP insan yang menghuni alam ini rata-rata memiliki buku diari harian untuk mencatat peristiwa penting dan bersejarah sama ada suka mahu pun duka, pahit atau manis yang terjadi dalam detik kehidupannya.
Buku diari harian itu penting kerana ia adalah harta bernilai yang merakamkan segala catatan manis sebagai pendorong atau perangsang dalam hidupnya pada masa akan datang. Sebaliknya, peristiwa duka dan pahit bertindak sebagai peringatan supaya tidak akan berulang lagi.
Namun, ramai yang tidak menyedari setiap insan sebenarnya memiliki satu lagi buku diari harian yang berada di bawah kawalan malaikat yang ditugaskan Allah untuk mencatatkan segala perilaku dan amalan perbuatan manusia, besar mahu pun kecil, baik mahu pun jahat.
Hal ini dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya Kami mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Ketika dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Surah al-Qaf, ayat 16-18)
Ketika mentafsirkan maksud ayat itu, al-Syeikh al-Zamakhsyari dalam kitab tafsirnya yang masyhur al-Kasysyaf menjelaskan, ayat suci itu menyingkap makna Allah bersifat maha halus ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu termasuk hal dibisikkan oleh jiwa manusia sekalipun, malah yang jauh lebih samar dan lebih sunyi sekalipun. Justeru, tidak ada yang lebih hampir kepada sekalian manusia melainkan Allah.
Bagaimanapun, timbul persoalan jika demikian luasnya ilmu Allah dan pengawasan-Nya kepada manusia, mengapa masih diperlukan lagi kehadiran dua malaikat yang akan memantau dan seterusnya mencatatkan segala amal perbuatan manusia?
Dalam menjawab persoalan ini, Imam al-Zamakhsyari menjelaskan hikmah kehadiran dua malaikat itu supaya catatan amal yang dibuat malaikat berkenaan dapat dipergunakan Allah sebagai bahan bukti dan hujah pada sidang pengadilan di Padang Mahsyar pada hari akhirat kelak.
Hikmah lainnya ialah supaya manusia menyedari dan menginsafi betapa ketatnya pengawasan Ilahi terhadap sekalian makhluk-Nya. Maka, dengan menginsafi pengawasan malaikat iaitu Malaikat Atid dan Raqib di samping pengawasan secara langsung dari Allah, mudah-mudahan manusia tidak melakukan perbuatan dilarang dan melaksanakan setiap suruhan.
Allah maha mengetahui akan segala yang lahir dan yang tersembunyi tetapi bagi menzahirkan kebesaran kerajaan-Nya dan keadilan pemerintahan-Nya, maka segala dilakukan setiap manusia sama ada yang baik atau buruk, ditugaskan malaikat mencatatnya untuk dilihat dan dibaca orang itu sendiri pada hari akhirat kelak.
Lebih daripada itu, kedua-dua malaikat berkenaan tidak akan berpisah dan berenggang walau sedetik pun walaupun sesudah manusia itu meninggal dunia sekalipun. Malah, mereka diperintahkan tinggal tetap di kuburnya bertasbih, bertahmid dan bertakbir hingga ke hari kiamat dan pahala zikir ditulis dalam suratan amal orang itu.
Rasulullah SAW tidak ketinggalan memperingatkan umatnya akan perihal dua malaikat yang mencatatkan amal manusia melalui hadisnya yang bermaksud: "Malaikat yang di sebelah kanan (yang menjadi pencatat kebaikan) ialah ketua kepada yang di sebelah kiri. Maka, apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan dituliskan baginya kebaikan itu sama dengan sepuluh kebaikan. Sebaliknya, apabila dia melakukan kejahatan lalu malaikat di sebelah kiri hendak mencatatnya, berkatalah malaikat sebelah kanan: Tunggulah dulu! Lalu dia menunggu selama enam atau tujuh jam, kemudian jika orang itu beristighfar daripada perbuatan jahat itu, tidaklah ditulis sesuatu pun dan jika dia tidak meminta ampun kepada Allah, ditulis baginya satu kejahatan saja." - (Hadis riwayat Tabrani dan Ibnu Marduwiyah)
Rasulullah SAW juga pernah memberikan peringatan kepada sekalian umatnya yang dikasihi dengan satu pertanyaan iaitu apakah kalian semua begitu tergamak melakukan sesuatu larangan dengan sewenang-wenangnya atau berbuat sesuatu yang tiada nilainya di sisi Allah tanpa merasa malu terhadap-Nya dan juga terhadap dua malaikat yang mencatatkan segala amal perbuatan kalian semua sama ada yang sebesar-besarnya mahu pun yang sekecil-kecilnya?
Jelas betapa pentingnya rasa kesedaran terhadap pengawasan Allah dan dua malaikat dalam setiap detik kehidupan seharian. Maka wajar bagi setiap Muslim memiliki buku diari harian yang bukan sekadar mencatatkan janji temu penting, bahkan untuk mencatatkan segala amalan harian dilakukan.
Ahli sufi membuat buku diari harian bukan untuk mencatatkan tahap prestasi sebaliknya buku diari itu diguna untuk mencatatkan keburukan dan kejahatan mereka sendiri di samping meningkatkan kesedaran pengawasan Allah yang dikenali dengan istilah muraqabah.
Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menyatakan, buku diari harian seumpama ini penting supaya manusia mempunyai kecenderungan untuk tidak melupakan segala dosanya. Padahal, jika setiap kali berbuat dosa, manusia akan meletakkan batu kerikil di halaman rumahnya, nescaya dalam waktu yang singkat halaman rumahnya akan penuh dengan batu kerikil itu.
Perlu diinsafi darjat muraqabah bukan hanya menjadi milik ahli sufi malah darjat itu boleh dicapai segenap umat Islam dengan syarat setiap Muslim wajib menjana keimanan, memantapkan ketakwaan dan beristiqamah dalam melaksanakan segala perintah Ilahi serta menjauhi larangan-Nya.
Syarat inilah antara rahsia kemuliaan seseorang Muslim dan ketinggian darjatnya di sisi Allah. Tanpa syarat itu, sudah pasti seseorang manusia tergamak atau tanpa segan silu melanggar batasan yang sudah digariskan Allah tanpa sebarang rasa malu atau takut terhadap pengawasan malaikat yang mencatatkan amalan perbuatan derhaka.
Justeru, tidak hairanlah jika ada seseorang Muslim yang menunaikan solat, zakat, puasa, haji tetapi pada masa sama dia masih melakukan larangan Allah lantaran betapa longgarnya deria rasa muraqabah dalam jiwanya sehingga dia begitu berani berbuat demikian.
Di sinilah terletaknya kepentingan buku diari harian supaya setiap Muslim dapat mencermin diri dan bermuhasabah lewat buku hariannya itu.
Lebih-lebih lagi, Saidina Umar al-Khattab pernah menyatakan satu ungkapan masyhur yang bermaksud: Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab pada hari akhirat kelak, timbanglah segala amalan kamu sebelum kamu ditimbang dalam sidang pengadilan Ilahi nanti.
Ungkapan itu sekurang-kurangnya menginsafkan Muslim betapa amalan bermuhasabah dan mencermin diri yang dilakukan seharian akan menentukan kesudahan nasibnya pada hari kiamat nanti sama ada menjadi penghuni syurga atau neraka.
Akhirnya, antara ciri-ciri Muslim yang sejati dan bertakwa di sisi Allah ialah seseorang yang sentiasa bermuhasabah dan mencermin dirinya pada sepanjang sebagai manifestasi keimanan dan tunjang takwa kepada Allah yang bertapak kukuh dalam sanubarinya.
Seseorang Muslim melalui diari hariannya akan menjauhi segala larangan Allah dan seterusnya melaksanakan segala suruhan-Nya supaya dapat menjejaki keredaan-Nya yang abadi di samping menikmati kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Tuesday, April 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment