Friday, April 18, 2008

Bicara Kalbu: Isteri digantung tak bertali khuatir jadi madu

Soalan:

SAYA seorang isteri yang digantung tidak bertali. Saya mengkategorikan diri sebagai wanita bujang berusia matang. Beberapa bulan lalu saya ditemukan semula dengan bekas kekasih zaman remaja. Kami intim dan selalu berjumpa. Kami berkongsi cerita suka duka dan sama-sama menyelesaikan beberapa kekusutan diri sendiri serta masalah keluarga masing masing.

Tiba-tiba cinta lama berputik semula. Beliau mengajukan niat untuk menjadikan saya isteri keduanya. Tiada apa yang kurang dengan isterinya tetapi niat berpoligami kerana kasihan dan rasa tanggungjawab sebagai lelaki Islam yang wajib melindungi wanita Islam.

Baginya, saya wanita dianiaya kerana digantung tidak bertali oleh suami yang tidak bertanggungjawab. Menurutnya lagi, pertemuan terlalu kerap menjadikan kami intim dan perlu dihalakan dengan pernikahan. Namun saya berbelah bagi dengan stigma masyarakat terhadap status isteri kedua sebagai perampas suami orang.

SEDAR DIRI,
Taman Sri Gombak, Selangor

Jawapan:

KASIH sayang, cinta dan rindu adalah satu anugerah. Ia perlu dididik dan dibentuk supaya membawa manfaat kepada kehidupan yang sejahtera, bukan sebaliknya. Sebagai manusia beriman yang diberi akal, seharusnya mengawal perasaan dan bertindak secara rasional dalam apa juga keadaan.

Memandangkan status puan yang masih lagi bergelar isteri, saya yakin puan faham batas pergaulan seorang isteri dengan lelaki bukan muhrim, lebih-lebih lagi dengan bekas kekasih.

Sebagai panduan, hayati firman Allah yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram) dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir." (Surah al-Nur, ayat 31)

Status gantung tidak bertali perlu diselesaikan di Mahkamah Syariah. Puan tidak boleh berkahwin selagi status itu tidak selesai untuk mengelakkan daripada status bersuami dua kerana ia haram di sisi Islam.

Poligami adalah sesuatu yang dibenarkan syarak walaupun ia masih dianggap sebagai satu stigma dalam masyarakat. Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil terhadap anak yatim, maka kahwinilah perempuan yang kamu sukai dua, tiga dan empat, tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil hendaklah satu saja dan ia adalah lebih baik bagi kamu." – (Surah an-Nisa, ayat 3)

Berpandukan ayat itu adalah harus bagi seorang suami mempunyai lebih daripada seorang isteri. Walau bagaimanapun, hak ini adalah tertakluk kepada kemampuan. Ia bukan satu keistimewaan tetapi lebih kepada satu pertanggungjawaban.

Contoh terbaik adalah Rasulullah SAW mengahwini wanita yang suami mereka syahid untuk melindungi wanita itu serta anaknya.

Puan mungkin akan gusar dengan tanggapan masyarakat yang menyatakan puan adalah perampas dan perosak rumah tangga. Pasti puan lebih arif mengenai perasaan terhadap bekas kekasih yang mana ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isterinya.

Andai kata perasaan puan adalah ikhlas terhadap bekas kekasih tanpa ada niat ingin menyakiti hati sesiapa, maka berlaku adil pada perasaan bekas kekasih dan isterinya.

Jangan terikut-ikut dengan anggapan bahawa isteri kedua adalah perampas suami orang dan perosak rumah tangga kerana ini adalah anggapan masyarakat semata-mata. Ia harus dinilai daripada pelbagai aspek.

Puan juga perlu bersedia membuka minda menerima hakikat bahawa seseorang lelaki tidak semestinya perlu alasan selain alasan syarie untuk berpoligami. Kita mesti hapuskan mitos bahawa apabila suami ingin berpoligami, ia adalah disebabkan kekurangan isteri.

Dalam hal ini niat kekasih mengahwini puan bukan kerana kekurangan isterinya tetapi kerana ingin menolong puan keluar daripada kepompong penganiayaan suami.

Hidup berpoligami jika diamalkan dengan baik serta niat yang ikhlas akan membawa kepada kesejahteraan di dunia dan akhirat. Namun pengamal poligami perlu sedar tanggungjawab masing-masing dan impak yang akan dirasai anak serta sesiapa saja yang dekat dengan mereka.

Setiap individu yang akan berpoligami perlu secara sedar mengenali harapan dan tanggungjawab masing-masing. Perbincangan tiga penjuru perlu diadakan supaya semua pihak dapat mengenali dan memahami perasaan serta situasi masing-masing. Cuba elakkan sebarang prasangka dan berbincanglah dengan hati yang terbuka.

Suami yang berhasrat untuk berpoligami mestilah berlaku adil dan mampu secara material, wang ringgit, fizikal dan mental. Adil bukan bermaksud semuanya sama rata tetapi setiap pihak mendapat haknya mengikut keperluan dan kedudukan masing-masing. Perlulah ada kesepakatan dalam menangani masalah dalam berkongsi kasih.

Akhir sekali mohon petunjuk daripada Allah dengan beristikharah dan mesyuarat. Bak kata alim ulama, tidak kecewa orang yang beristikarah dan tidak rugi orang yang bermusyawarah. Mengadulah kepada-Nya, moga puan beroleh petunjuk dan diberi penyelesaian terbaik menangani situasi ini.

Jawapan disediakan Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur, Dr Niekmah Adam. Soalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www. bicarakalbu.blogspot.com.

No comments: