Saturday, April 12, 2008

Memperkasa Islam Hadhari serantau

Oleh Hasliza Hassan

Mohd Yusof Othman

Institusi wadah pembangunan, penyelidikan isu ummah seluruh dunia

PENUBUHAN Institusi Islam Hadhari (HADHARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula beroperasi 1 Julai 2007 adalah langkah proaktif yang diambil bagi memperkasakan pendekatan Islam Hadhari dalam pembangunan masyarakat Islam rantau Asia Tenggara dan dunia seluruhnya.

HADHARI adalah hasil resolusi Nadwah Ulama Nusantara III di Kepala Batas, Pulau Pinang pada April 2006 anjuran UKM dan keputusan itu digarap dengan cepat sekali kerana dalam tempoh enam bulan, diwujudkan Institut Islam Hadhari UKM.

Institut berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi pada 12 Februari lalu yang turut merasmikan Kursi Syeikh Abdullah Fahim yang bakal menempatkan sarjana Islam tersohor untuk melakukan kajian pelbagai bidang ketamadunan Islam.

Pengarahnya, Prof Dr Mohd Yusof Othman, berkata penubuhan HADHARI akan memperkasakan wacana mengenai pendekatan Islam Hadhari yang kian diterima ramai melalui 10 prinsip yang digariskan.

Beliau berkata, sebagai memenuhi tanggungjawab UKM sebagai universiti penyelidikan, HADHARI adalah landasan terbaik untuk menjadi wadah pembangunan, penyelidikan dan pangkalan data berkaitan isu keagamaan serta ummah.

"Gagasan Islam Hadhari tiada siapa pertikai kerana 10 prinsip itu membawa kebaikan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Melalui HADHARI, UKM akan menterjemahkan prinsip itu dalam bentuk pelaksanaan.

"Itu semua kita rangkum dalam hala tuju yang ditetapkan melalui penyelidikan dan analisis perkembangan serta pembangunan masyarakat Islam dalam semua aspek kehidupan supaya matlamat membina tamadun ummah itu berjaya dicapai," katanya.

Katanya, selain menjadi pusat rujukan, HADHARI akan mewujudkan jaringan intelektual antarabangsa di kalangan pemikir Islam dan membudayakan penyelidikan di kalangan pemikir Islam demi mengangkat citra universiti dan negara.

HADHARI akan berusaha mengadakan kerjasama penyelidikan dan kegiatan ilmiah dengan institusi ilmiah pada peringkat kebangsaan, serantau mahupun antarabangsa. Kerjasama pada peringkat kebangsaan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Malaysia; Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim); Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM); Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Kerjasama pada peringkat antarabangsa membabitkan Islamic Foundation, United Kingdom; Islamic Society of North America (ISNA), Amerika Syarikat; America Muslim Social Sciences Society (AMSSS); Islamic Educational, Scientific And Culture Organization; Institute of Advanced Studies, United Nations University Yokohama, Jepun dan Institute of Islamic Area Studies, Waseda University.

Pada masa sama, institusi berkenaan bakal membudayakan penyelidikan di kalangan pemikir Islam dalam menyediakan asas yang kukuh terhadap perkembangan ilmu serta tamadun Islam untuk dimanfaatkan secara bersama seluruh masyarakat dunia.

Sebanyak enam aktiviti utama dikenal pasti dapat membantu usaha institusi mencapai objektifnya iaitu penyelidikan, program akademik, seminar termasuk wacana, bengkel dan forum, penerbitan, perundingan dan jaringan kerjasama.

Menerusi aktiviti penyelidikan, HADHARI menyediakan geran di kalangan tenaga akademik dan pelajar peringkat siswazah membuat kajian komprehensif berkaitan isu pembangunan ketamadunan dalam perspektif Islam berdasarkan kepada keperluan negara.

Mohd Yusof berkata, HADHARI memutuskan empat bidang yang menjadi keperluan penyelidikan iaitu politik, sains sosial, ekonomi dan sains teknologi, kesihatan dan alam sekitar supaya setiap bidang itu dapat dimantapkan.

Sebagai contoh, katanya, pihaknya melihat keperluan memperkasakan politik umat Islam supaya lebih sensitif dan tidak kecewa dengan politik melalui pemberitahuan perkembangan politik semasa supaya masyarakat tahu apa yang berlaku.

"Bagaimana kita hendak memperkasakan supaya masyarakat dapat membentuk persepsi yang betul kepada politik. Itu yang kita akan adakan penyelidikan kerana kita mahu mereka sensitif dengan politik dan tahu duduk perkara dalam negara.

"Begitu juga peranan akidah, bagaimana akidah boleh memantapkan politik umat Islam dan pembinaan sosio-budaya, termasuk undang-undang syariah. Ia yang akan kita bangunkan dalam kajian nanti," katanya.

Begitu juga dengan aspek pembangunan sosial yang melihat kepada permasalahan umat Islam membabitkan pelbagai isu yang membelenggu termasuk penularan budaya menimbulkan pelbagai gejala negatif.

Bidang ekonomi pula bertujuan memastikan kajian dilakukan dapat meningkatkan kecekapan pengurusan ekonomi yang matlamat utamanya adalah memastikan bagaimana ekonomi dapat memberi kesenangan serta memenuhi kebajikan rakyat.

Mohd Yusof berkata, tidak dinafikan pasti ramai bertanyakan bilakah hasil penyelidikan yang dilakukan HADHARI dapat dimanfaat atau diguna pakai, namun semua itu bergantung kepada proses sesuatu penyelidikan itu.

Buat masa ini, katanya, yang penting ialah umat Islam perlu ada kekuatan menjalankan penyelidikan untuk mencari kesimpulan supaya maklumat diperoleh dapat disampaikan seterusnya mendidik umat Islam memperkasa diri serta melakukan perubahan ke arah lebih baik berpandukan ilmu yang ada.

"Untuk membina tamadun bukan mudah tetapi penubuhan HADHARI adalah salah satu langkah yang boleh kita lakukan untuk mengadakan kajian memastikan umat Islam dapat mencipta kejayaan melalui penguasaan ilmu dan pembangunan insan," katanya.

Bagaimanapun katanya, melalui aktiviti menyediakan bahan bercetak HADHARI dari semasa ke semasa akan menerbitkan jurnal, buku, monograf, laporan penyelidikan, Prosiding Seminar dan Buletin Institut.

Malah, pihaknya akan menerbitkan Jurnal Hadhari dua kali setahun memuatkan rencana ilmiah dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab untuk diindeks dan menjadi wahana antarabangsa membincangkan isu ketamadunan insan.

Seiring dengan itu katanya, HADHARI turut mengiktiraf ketokohan sarjana Islam dan kepakaran mereka bakal dimanfaatkan untuk menjalankan kajian berkaitan pembangunan dan perkembangan umat Islam melalui Kursi Syeikh Abdullah Fahim.

Kursi Syeikh Abdullah Fahim diwujudkan sebagai pengiktirafan kepada Abdullah Fahim @ Abdullah Ibrahim atau lebih dikenali Abdullah Pak Him, tokoh ulama dan mufti pertama Pulau Pinang yang banyak berjaya kepada perkembangan Islam dan politik.

INTI PATI: Objektif penubuhan HADHARI

Memperkasakan pendekatan Islam Hadhari dalam pembangunan masyarakat Islam rantau Asia Tenggara dan dunia seluruhnya.

Menganalisis perkembangan dan pembangunan masyarakat Islam.

Menjadi pusat rujukan dan latihan bagi melahirkan sarjana penyelidik.

Menjadi wadah pembangunan penyelidikan serta pangkalan data berkaitan isu keagamaan dan ummah.

Mewujudkan jaringan intelektual antarabangsa di kalangan pemikir Islam.

Membudayakan penyelidikan di kalangan pemikir Islam dalam menyediakan asas yang kukuh terhadap perkembangan ilmu serta tamadun Islam.

Aktiviti

Penyelidikan
Menyediakan wahana untuk aktiviti penyelidikan di kalangan tenaga akademik dan pelajar peringkat siswazah, selaras dengan status UKM sebagai Universiti Penyelidikan.

Program akademik
Kursus Islam Hadhari bertujuan menerapkan konsep Islam Hadhari kepada warga pelajar di universiti.

Seminar, bengkel, wacana dan forum
Tujuan penganjuran persidangan untuk menyebar luaskan maklumat serta penemuan diperoleh daripada hasil kajian yang sudah dan akan dijalankan. Selain itu, seminar, wacana dan forum bertujuan menerapkan dan memantapkan pemahaman pendekatan Islam Hadhari.

Penerbitan
Antara sumbangan HADHARI terhadap perkembangan ilmu adalah menerusi media penerbitan seperti jurnal, buku, monograf, laporan penyelidikan dan Prosiding Seminar, dan Buletin Institut.

Perundingan dan Jaringan Kerjasama
HADHARI akan berusaha untuk mengadakan kerjasama penyelidikan dan kegiatan ilmiah dengan institusi ilmiah di peringkat kebangsaan, serantau mahupun antarabangsa.

Kursi Syeikh Abdullah Fahim
Kursi sarjana Islam yang akan menempatkan sarjana tersohor untuk menjalankan kajian dalam bidang ketamadunan Islam.

No comments: