Thursday, April 17, 2008

Hak Muslim: Mahkamah Syariah tempatan boleh sah talak

Soalan:

ADIK saya bernikah di Selangor dan kemudian mengikut suaminya yang bertugas ke Arab Saudi. Selepas dua tahun di sana, mereka kembali ke Malaysia. Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), suaminya menyuruh adik saya pulang ke rumah ibu kami dan meminta menunggu sehingga beliau datang dengan alasan ada urusan penting perlu diselesaikan. Dua minggu kemudian, suaminya menyerahkan sijil perceraian berbahasa Arab yang didaftarkan di Arab Saudi dan sekeping cek bernilai RM30,000. Tarikh sijil perceraian didaftarkan adalah dua minggu sebelum mereka pulang ke Malaysia. Walaupun sehingga kini adik saya cuba menghubungi suaminya, beliau hanya mendiamkan diri. Persoalannya, mengapakah perceraian itu didaftarkan secara rahsia di Arab Saudi dan apakah yang perlu dilakukan oleh isteri? Mengikut pengiraan kami, tarikh tamat edah adalah pada 5 Mei 2008. Adakah RM30,000 itu boleh dianggap sebagai sagu hati dan bolehkah isteri menuntut sagu hati tambahan kerana suami mampu memberi lebih daripada itu dan sikap berdiam diri beliau sehingga kini. Bolehkah isteri menuntut harta sepencarian dalam tempoh dua tahun perkahwinan?

Abang prihatin,
Gombak, Selangor

Jawapan:

Tahniah di atas keprihatinan terhadap permasalahan rumah tangga adik saudara. Sikap ini wajar dicontohi saudara lelaki yang lain apabila saudara perempuan dilanda masalah rumah tangga, bukannya membiarkan mereka bersendirian menderita.

Beberapa isu perlu diberi perhatian dalam permasalahan ini, iaitu sama ada perceraian di Arab Saudi sah ataupun tidak dan jika ia sah, sama ada sijil cerai di Arab Saudi boleh diterima sebagai sijil cerai yang sah ataupun tidak di Malaysia?

Adakah pihak-pihak perlu mendaftarkan semula perceraian itu di Malaysia? Bagaimana pula dengan tuntutan selepas perceraian? Sama ada cek RM30,000 itu boleh dianggap sebagai mutaah atau sagu hati?

Saudara menyatakan pasangan adik dan suaminya bernikah di Selangor, namun tidak dinyatakan di manakah mereka tinggal kini. Suami sudah mendaftarkan perceraian di Arab Saudi tanpa pengetahuan isteri walaupun mereka bernikah di Selangor, Malaysia.

Diandaikan suami adalah warga negara Malaysia dan adik saudara tinggal di Selangor, maka undang-undang yang terpakai adalah undang-undang Malaysia iaitu Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (dirujuk sebagai EUKIS 2003) selaras Seksyen 4 EUKIS 2003 iaitu, "Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal di negeri Selangor dan bagi semua orang Islam yang bermastautin di negeri Selangor tetapi tinggal di luar negeri itu."

Apabila adik saudara menerima sijil perceraian berbahasa Arab dari Arab Saudi, beliau perlu mendaftarkan perceraian itu di Bahagian Pendaftaran Nikah, Cerai dan Rujuk daerah tempat tinggalnya di Selangor.

Namun, Ketua Pendaftar hendaklah berpuas hati bahawa mahkamah sudah membuat perintah muktamad berhubung perceraian itu kerana Seksyen 56 EUKIS 2003 memperuntukkan: "Tiada apa-apa lafaz talak atau perintah perceraian atau pembatalan boleh didaftarkan melainkan Ketua Pendaftar berpuas hati bahawa mahkamah sudah membuat perintah muktamad berhubung dengannya."

Mahkamah yang dirujuk dalam Seksyen 56 ini ialah Mahkamah Syariah tempat tinggal adik saudara. Maka, adik saudara perlu membuat pengesahan perceraian itu di Mahkamah Rendah Syariah daerah tempat tinggalnya mengikut Seksyen 57 EUKIS 2003.

Pendaftaran permohonan pengesahan perceraian menyediakan tiga salinan dokumen seperti pernyataan tuntutan, kad pengenalan beliau (jika alamat tempat tinggal tidak sama dengan alamat di kad pengenalan, dapatkan surat pengesahan anak kariah tempat tinggalnya), sijil perakuan nikah serta sijil perceraian Arab Saudi itu.

Mahkamah akan menghantar satu salinan saman dan pernyataan tuntutan kepada suaminya untuk hadir ke mahkamah mengesahkan perceraian dalam tempoh 21 hari daripada tarikh pendaftaran kes. Jika ketika perbicaraan suami mengaku sudah melafazkan cerai dan lafaz itu sah mengikut rukun talak, mahkamah boleh mengesahkan perceraian di Arab Saudi itu.

Walau apapun, pengakuan suami tetap diperlukan bagi mengesahkan perceraian itu. Jika suami tidak dapat dikesan, saksi yang mendengar dan mengetahui mengenai lafaz cerai boleh disapina untuk memberi keterangan di mahkamah.

Apabila mahkamah mengesahkan perceraian, mahkamah turut memerintahkan tempoh edah bekas isteri. Selagi dalam tempoh edah, pihak-pihak masih boleh rujuk semula dan perlu didaftarkan di Bahagian Nikah, Cerai dan Rujuk pejabat agama daerah tempat tinggal isteri.

Jika tiada rujuk dalam tempoh edah, selepas sijil perceraian Selangor dikeluarkan, bekas isteri berhak membuat tuntutan nafkah edah, nafkah tertunggak, mutaah atau sagu hati termasuk harta sepencarian selama tempoh dua tahun perkahwinan.

Berlandaskan kepada peraturan, harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Seksyen 122 (1) EUKIS 2003 memperuntukkan: "Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu."

Pemberian cek RM30,000 itu tidak boleh dikira sebagai sagu hati kerana ia tidak diperintahkan oleh mana-mana mahkamah dan tiada perjanjian pihak-pihak mempersetujuinya sebagai sagu hati. Maka, bekas isteri masih boleh menuntut mutaah atau sagu hati mengikut jumlah dianggap wajar dan mampu dibayar oleh bekas suami.

Mahkamah yang berhak menuntut jumlah mutaah sepatutnya untuk bekas isteri selepas mendengar dan meneliti keterangan pihak-pihak. Semoga saudara istiqamah membantu adik perempuan hingga kesemua tuntutannya selesai di mahkamah.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Layari http://peguamsyarie.blogspot.

No comments: