AKAL mengandungi pengertian berfikir, memahami dan mengerti. Al-Kindi (796-873 Masihi) dan Ibn Miskawaih (941-1030 Masihi) meletakkan daya tertinggi pada manusia adalah daya berfikir. Syeikh Muhammad Abduh menegaskan, akal adalah suatu daya hanya dimiliki manusia dan menjadi dasar kewujudan insan.
Pentingnya kedudukan akal dapat difahami apabila taklif hukum hakam syariat diletakkan atau dipikul kepada orang yang berakal sihat dan waras. Begitu juga dalam lima elemen yang harus dilindungi manusia ialah akal selain agama, jiwa, keturunan dan harta.
Dalam tradisi Islam, akal merangkumi unsur spiritual, intelektual dan emosional. Orang berakal dirujuk oleh al-Quran dengan pelbagai istilah seperti orang berilmu, orang memiliki akal, orang mempunyai fikiran tajam, akal yang mencegah keburukan dan orang memiliki daya tahan; akal yang mantap.
Istilah zikir atau ingatan juga berkaitan merenung dengan tujuan mengingati di mana ia membawa implikasi adanya interaksi antara hamba dan Tuhan. Lebih jauh daripada itu, melalui aktiviti tafakur manusia mampu merentasi dari persepsi empirikal ke alam ghaib.
Budaya berfikir membabitkan akal. Justeru, al-Quran menekankan budaya berfikir dengan beberapa istilah seperti tadabbara (merenungkan), tazakkara (mengambil pengajaran atau mengingati), fahima (memahami), nazara (melihat secara abstrak), faqiha-tafaqqaha (mengerti).
Al-Quran turut menjelaskan bahawa kuasa berfikir turut dilakukan oleh seluruh sistem diri manusia yang terdiri daripada akal, nafsu, kalbu dan mata hati.
Allah SWT mengurniakan akal kepada insan supaya digunakan untuk mencari kebenaran, khususnya kebenaran mengenai kewujudan Allah SWT. Orang yang tidak menggunakan akal sering berbantah-bantah mengenai sifat Allah SWT dan menurut apa saja yang dibuat oleh orang terdahulu.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka yang ingkar: Turutlah akan apa yang sudah diturunkan Allah, mereka menjawab: Tidak, bahkan hanya menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah mereka menurut datuk neneknya sekalipun syaitan mengajak mereka itu melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka ke dalam azab api neraka yang marak menjulang.” (Surah Luqman, ayat 21)
Namun, perlu diingati bahawa daripada maksud hadis yang menyatakan bahawa manusia tidak disuruh berfikir dan mengkaji mengenai zat Allah SWT, sebaliknya manusia disuruh mengkaji ciptaan Allah SWT supaya dengan cara itu ia dapat mengenal Penciptanya.
Dalam epistemologi Islam, akal adalah sumber ilmu kedua sesudah wahyu. Wahyu diturunkan kerana sifat akal adalah terbatas. Keterbatasan itu tidak memungkinkan akal mengupas sesuatu yang tidak terbatas. Di sinilah wahyu datang dan berperanan memberikan jawapan terhadap persoalan alam ghaib.
Kepentingan akal dalam mengenal Tuhan menjadi perdebatan di kalangan ahli teologi Islam (Ilmu Kalam). Syeikh Muhammad Abduh dalam membahas sistem dan konsep teologi (ilmu kalam) menyatakan, jalan untuk mengenal Allah SWT bukan melalui wahyu semata-mata tetapi melalui akal juga.
Dalam konteks ini, akal memiliki potensi membangun dan mengembang ilmu melalui kajian dan penerokaan sementara wahyu pula memperkukuhkan ilmu atau pengetahuan akal mengenai Tuhan.
Wahyu menjadi elemen teras dan teratas menjelaskan soal akhirat serta makro kosmos yang berada di luar kemampuan jangkauan manusia berfikir. Dapatlah disimpulkan, al-Quran diturunkan untuk mengeluarkan akal daripada lingkaran sempit berasaskan alam material kepada alam yang lebih tinggi (alam ghaib).
Kuasa dan kecerdasan akal mampu memberikan manusia banyak kebolehan yang terhasil daripada kuasa akal antaranya akal membolehkan manusia membuat penelitian (renungan).
Menurut Syed Muhamad Dawillah al-Edrus, istilah tafakkara (proses merenung) itu terdapat dalam tiga bentuk iaitu merenung ciptaan Allah SWT, merenung tanda kebesaran Allah SWT melalui fenomena alam dan insan merenung diri sendiri.
Justeru, melalui kajian dan penerokaan fenomena alam maka akal berpotensi membangun dan mengembangkan pelbagai cabang ilmu pengetahuan untuk kepentingan kehidupan duniawi. Sejarah dan tamadun Islam merakamkan bahawa usaha membangunkan akal sudah dilaksanakan dengan jayanya melalui pembangunan dan penerokaan pelbagai ilmu pengetahuan. Ulama dan sarjana era keemasan Islam berjaya memanfaatkan akal untuk mengkaji alam semesta.
Hikmah Allah SWT mengurniakan akal kepada manusia ialah supaya dapat memahami wahyu dan mampu membina serta membangun tamadun melalui pemikiran saintifik. Alam adalah ciptaan Allah untuk dikaji, diteroka dan dimanfaatkan manusia demi melaksanakan tugas dan fungsinya sebagai khalifah.
Thursday, April 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment