Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
ALLAH menjadikan manusia berpasang-pasangan lelaki dan perempuan. Kedua-duanya saling perlu memerlukan antara satu sama lain dan bergandingan membangunkan kehidupan dengan peranan masing-masing.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sebahagian daripada tanda kebesaran Allah ialah menjadikan bagi kamu pasangan supaya kamu hidup tenang dan dapat memupuk rasa kasih sayang di antara satu sama lain.” (Surah ar-Rum, ayat 21)
Melihat besarnya peranan manusia sebagai khalifah Allah dalam memakmurkan bumi ini, bukan saja lelaki, malah wanita turut mempunyai tugas untuk mencapai misi serta visi membina kemajuan ummah.
Lantaran itu, dapat dilihat wanita menceburi bidang mencabar seperti juruterbang, polis, tentera, ahli bomba, pemandu kenderaan awam dan kehebatan mereka melaksanakan tanggungjawab setanding lelaki.
Nabi Muhamad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah orang yang memuliakan wanita itu kecuali orang yang mulia dan tidaklah menghina wanita itu kecuali orang yang hina pula.” (Hadis riwayat Ibnu Asyakir)
Kedatangan Rasulullah SAW sebagai Nabi akhir zaman antara lain bertujuan mengembalikan semula peranan wanita sebagai suatu kelompok yang begitu bermakna dalam menyumbangkan bakti dalam pembangunan ummah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang dapat memberi kebahagiaan anak Adam ialah wanita yang baik, tempat tinggal yang baik dan selesa dan kenderaan yang selamat. Tiga perkara yang boleh merosakkan hidup anak Adam ialah wanita yang jahat, tempat tinggal yang buruk dan kenderaan yang tidak sempurna.”
Jelas wanita memainkan peranan besar dalam usaha membangunkan kemajuan ummah sejagat. Sumbangan dan peranan dimainkan wanita dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian, antaranya:
l Tugasan ibadat - Islam tidak membezakan lelaki dan wanita dalam melakukan apa juga ibadat. Apa yang wajib dan sunat bagi lelaki itulah juga hakikatnya kepada wanita, begitulah sebaliknya terhadap perkara yang harus, haram dan makruh.
Allah menerangkan hal itu dalam firman-Nya yang bermaksud: “Barang siapa yang beramal salih daripada lelaki dan wanita dan beriman kepada Allah, maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga Allah dan tidak akan dianiayai sedikit pun (tidak akan dikurangkan balasan pahalanya).” (Surah an-Nisa’, ayat 124)
Walaupun dalam beberapa situasi seperti solat Jumaat, menjadi saksi, wali dan imam tidak dipertanggungjawabkan kepada wanita, hakikatnya ulama bersetuju kebanyakan seruan lainnya adalah untuk kedua-dua kaum lelaki dan perempuan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Muslim lelaki dan wanita, Mukmin lelaki dan wanita, lelaki yang taat dan wanita yang taat, lelaki yang benar dan perempuan yang benar, lelaki yang sabar dan wanita yang sabar, lelaki yang khusyuk dan wanita yang khusyuk, lelaki yang bersedekah dan wanita yang bersedekah, lelaki yang berpuasa dan wanita yang berpuasa, lelaki yang memelihara kehormatan dan wanita yang menjaga kehormatan diri, lelaki yang berzikir dan perempuan yang berzikir mengingati Allah akan disediakan mereka keampunan dan pahala yang banyak.” (Surah al-Ahzab, ayat 35)
l Tugasan mengurus rumah tangga - wanita memainkan peranan besar dalam pembangunan keluarga. Kebahagiaan dan kecemerlangan sebuah rumah tangga adalah berkat daripada kesungguhan, kekuatan ikatan dan hubungan yang terjalin antara isteri dan suami serta anak sebagai amanah Allah. Seorang suami tidak akan mampu memikul tugas menjaga dan mendidik anak tanpa bantuan isteri.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kahwinilah wanita itu kerana mereka akan mendatangkan harta kepada kamu.”
Selain memberikan sokongan moral kepada suami dalam meneruskan sesuatu kerjaya yang menjadi punca rezeki keluarga, isteri turut sama berperanan menjadi teman dan sahabat paling akrab kepada anak dan suami.
Sebahagian besar isteri pula turut sama menjadi tulang belakang kepada suami apabila turut sama memiliki kerjaya tertentu dengan tujuan untuk menambahkan pendapatan keluarga.
l Tugasan dalam masyarakat - seperti yang dimaklumi jumlah wanita lebih ramai daripada lelaki. Lantaran itulah wanita sentiasa menjadi pelengkap dalam apa juga usaha yang dirangka dan dilaksanakan.
Jika dilihat pada zaman Rasulullah SAW, wanita terutama isteri Baginda kerap kali menjadi jurucakap dan wakil Baginda dalam menyampaikan hukum Allah sama ada kepada kaum lelaki dan wanita.
Di samping itu mereka turut berperanan bukan saja pada masa negara aman damai bahkan pada saat negara diserang, mereka tetap melaksanakan tanggungjawab di medan peperangan.
Rabiah berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami ikut serta dalam peperangan bersama Nabi Muhammad, kami memberi minum kepada satu kaum dan kami berkhidmat kepada mereka dan kami membawa pesakit dan orang terkorban ke Madinah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Begitulah juga mutakhir ini, kaum wanita memainkan peranan lebih besar memandangkan banyak cabaran dan dugaan sebagai pembantu yang menjadi menjadi sayap kiri dan teman seiringan demi pembangunan diri dan bangsa seluruhnya.
Monday, April 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment