Judul: Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Islam Tapi Anda Malu Bertanya
Penulis: Nik Salida Suhaila Nik Saleh dan Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Terbitan: Telaga Biru Sdn. Bhd.
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM19.90 (Semenanjung) RM21.90 (Sabah & Sarawak)
ZAMAN berubah dan penumpuan manusia sekarang lebih kepada ilmu duniawi serta kontemporari yang mengakibatkan umat Islam terpinggir daripada pengetahuan mengenai ajaran Islam yang perlu diamalkan.
Maka, berlakulah salah faham yang akhirnya menjurus kepada sikap membenci agama kerana persoalan mengenainya tidak berjawab atas alasan tidak tahu atau mungkin disebabkan malu bertanya.
Ada juga yang mendapat maklumat mengenai Islam melalui bahan tulisan daripada bukan Islam dan sudah tentu menimbulkan kekeliruan kerana orang bukan Islam mungkin memandang dari sudut berbeza.
Justeru, perbincangan untuk membetulkan salah faham perlu dilakukan bagi menangkis segala kekeliruan dan keindahan Islam dapat ditonjol serta diserlahkan. Tidak dinafikan wujud juga kekeliruan antara Islam dan adat hingga budaya amalan disangka agama.
Sedangkan tanggapan yang Melayu semestinya Islam tidak 100 peratusnya benar memandangkan ada orang Melayu yang tidak memenuhi tuntutan ajaran Islam sementara adat Melayu juga bukannya ibadat Islam.
Selain itu, kekeliruan juga boleh timbul kerana kefahaman yang terbatas terhadap al-Quran dan sunnah Nabi SAW akibat kecetekan ilmu dalam memahami nas al-Quran dan hadis. Contohnya, satu hadis melarang, manakala hadis lain membolehkannya.
Keadaan ini memerlukan kajian terhadap maksud firman Allah dan sabda Rasulullah SAW dibuat bagi mencari jalan penyelesaian serta gambaran jelas supaya dapat difahami dan diterima semua pihak.
Buku Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Islam Tapi Anda Malu Bertanya cuba memberi gambaran jelas mengenai Islam bukan saja bagi kefahaman umat Islam, juga sebagai rujukan serta panduan untuk menjawab tuduhan daripada musuh Islam.
Pelbagai persoalan diungkap daripada sekecil dan yang dianggap remeh meliputi persoalan mengenai al-Quran, hadis Rasulullah SAW, ibadat, isu wanita, rumah tangga, perkahwinan serta membabitkan isu berkaitan bukan Islam.
Buku setebal 190 halaman dibahagikan kepada 18 bab membincangkan 126 soalan yang disampaikan dalam bentuk soal jawab secara ringkas, padat berserta hujah tepat supaya difahami dengan mudah.
Selain isu Islam dan ibadat, topik lain turut diperdebatkan ialah hal berkaitan hiburan, kemajuan, makanan, perubatan, jihad, siasah politik, amal salih dan balasan syurga serta persoalan mengenai Islam dan hubungan dengan bukan Islam.
Menariknya, soalan yang dikemukakan adalah bentuk soalan yang sering bermain pada fikiran atau dipersoalkan secara terbuka dengan nada seolah mempertikaikan kebenaran Islam dan pastinya menimbulkan keinginan untuk mengetahui apakah jawapannya.
Contoh, persoalan mengenai kehebatan al-Quran kerana ada yang mengkaji al-Quran mendapati isinya sama serta berulang-ulang.
Jawapan disediakan ialah firman Allah yang bermaksud: "Itulah kitab (Quran) tidak ada keraguan padanya, sebagai petunjuk kepada orang yang bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)
Penjelasan diberi pula ialah al-Quran hebat kerana ia datang untuk memperbetulkan akidah yang sesat dan menjadi panduan hidup. Pengulangan isi dalam al-Quran berlaku kerana menggambarkan perkara itu adalah serius.
Banyak lagi soalan menarik yang sememangnya menjadi tanda-tanya kepada sebahagian kita dan jawapannya disediakan dalam buku Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Islam Tapi Anda Malu Bertanya.
Wednesday, April 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment