Oleh Penulis Khas YaPEIM
BANTU RAKYAT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan Program Ar-Rahnu YaPEIM Cawangan Pekan, Pahang, sambil diperhatikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman (kiri), baru-baru ini.
Kepekaan umat Islam terhadap tanggungjawab sosial perlu jadi agenda dalam kehidupan
SAIDINA Ali bin Abi Talib pernah menunjukkan sikap dan pendirian tegasnya terhadap isu kemiskinan dengan ungkapan: "Andainya kemiskinan itu wujud sebagai manusia bernyawa, pasti akan ku bunuh."
Ungkapan serius itu memberi maksud bahawa fenomena kemiskinan adalah keadaan yang tidak disenangi sehinggalah terucap kalimah 'bunuh' yang memberi maksud pembasmian. Kemiskinan yang digambarkan oleh ungkapan sebagai malapetaka berbahaya kepada individu serta masyarakat.
Ia boleh menggugat kesejahteraan akidah dan iman, jasmani dan rohani, serta pemikiran dan kebudayaan. Implikasi daripada kemiskinan akan menyebabkan si pelakunya hilang pertimbangan waras hingga mudah melakukan pelbagai perbuatan boleh dikategorikan sebagai kejahatan.
Ini bermakna orang yang berada pada paras kemiskinan boleh menggadai maruah dan agamanya demi memenuhi keperluan hidup. Inilah yang diisyaratkan Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Kemiskinan itu hampir membawa kekufuran."
Malah, Baginda SAW pernah memanjatkan doa ke hadrat Allah supaya dikurniakan perlindungan daripada kejahatan tajaan kemiskinan seperti doanya yang bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kemiskinan dan kekufuran" dan "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kemiskinan, kekurangan dan kehinaan. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada menganiaya atau dianiaya."
Di samping itu, apabila dibelenggu kemiskinan, ia boleh menjadikan seseorang meragui keadilan Tuhan dalam soal peraturan hidupnya. Keadaan itu menyebabkan seseorang melafazkan kata bahawa Tuhan tidak adil menjadikannya sebagai orang miskin, papa kedana dan sebagainya.
Malah, ada yang berkata kenapa Tuhan menjadikannya sebagai orang miskin atau fakir. Sedangkan mustahil Allah bersifat zalim kerana Allah suci daripada bersifat zalim.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan Aku tidak sekali-kali menzalimi hamba-hamba-Ku." (Surah Qaf, ayat 29)
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami (Allah) menganiayai mereka, tetapi merekalah yang menganiayai diri mereka sendiri." (Surah al-Nahl, ayat 118)
Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Mushkilah al-Faqr wa Kayfa Ilajuha al-Islam, kemiskinan juga menyumbang kepada kepincangan akhlak dan budi pekerti. Kemiskinan akan menyebabkan golongan miskin terdesak melakukan tindakan di luar pertimbangan akhlak mulia. Mereka akan terjebak dan tergamak melacurkan diri, mencuri, berhutang yang mempunyai unsur riba dan sebagainya.
Inilah yang diingatkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Ambillah pemberian itu selagi ia bersifat pemberian. Jika ia bertukar menjadi rasuah maka janganlah kamu mengambilnya. Tetapi kamu tidak akan meninggalkannya kerana keperluan dan kemiskinan menegahmu daripada berbuat sedemikian."
Dalam pada itu, Allah dalam surah al-Ma'uun secara terang-terangan mengkategorikan mereka yang tidak peka dan prihatin kepada penderitaan golongan lemah, mengabaikan anak yatim terlantar dan membiarkan orang miskin kelaparan sebagai pendusta agama.
Firman Allah yang bermaksud: "Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin." (Surah al-Ma'uun, ayat 1-3)
Ini menunjukkan si pendusta agama bukan saja buta dan mati rasa keagamaannya, tetapi turut mati rasa kemanusiaannya. Bayangkan apabila seseorang yang tahu selok-belok persoalan ekonomi tidak menangani masalah kemiskinan.
Individu berkenaan mungkin tidak mampu menyelami rasa kepahitan dipalit kemiskinan sebab tidak mempunyai rasa kemanusiaan terhadap mereka yang dibelenggu kemiskinan. Justeru, Islam menganjurkan semangat bersedekah dan berzakat kepada mereka yang layak.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik dan sebahagian dari apa yang Kami (Allah) keluarkan daripada bumi untuk kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 267)
Sehubungan itu, kepekaan umat Islam terhadap tanggungjawab sosial membasmi kemiskinan perlu dijadikan agenda dan senarai keutamaan dalam kehidupan mereka. Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi, ada kalangan umat Islam yang pudar dan hilang pertimbangan dalam meletakkan urutan keutamaan ketika berhadapan persoalan lebih besar dalam masyarakat.
Beliau mengambil contoh bagaimana ramai umat Islam pergi ke Makkah saban tahun melakukan umrah sunat dan haji yang kefarduannya hanya sekali saja. Pada hemat beliau, jika dijumlahkan pembiayaan untuk perbuatan sunat nescaya dananya boleh mencecah bilion.
Jumlah sebegitu banyak boleh membiayai keperluan suatu dana yang diperlukan oleh umat Islam yang memerlukan walaupun daripada segi hakikatnya untuk mencukupkan suatu dana seperti Islamic Charitable Foundation masih belum dapat direalisasikan.
Beliau mengandaikan jika ada seruan dan cadangan kepada mereka yang saban tahun mengulangi ibadah sunat itu supaya membelanjakan dana bagi membendung kemiskinan dan kelaparan, seruan seperti itu tidak mendapat sambutan. Sambil menyesali sikap sedemikian, beliau menyifatkannya sebagai penyakit lama yang ada dalam masyarakat.
Usaha dilakukan pihak tertentu seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), pusat zakat seluruh negeri dan gerakan dakwah lain untuk mengeluarkan golongan miskin daripada kepompong kemiskinan patut disokong.
Dakwah seperti itu lebih berkesan dan dapat mempengaruhi kumpulan sasaran. Golongan itu tidak hanya diberikan bantuan material seperti wang ringgit, tetapi mereka juga dibantu dari segi kemahiran dan latihan keusahawan yang boleh membantu mereka melepasi tahap kemiskinan.
Dengan kata lain, mereka tidak lagi diberikan 'ikan' yang boleh dimakan pada waktu itu saja, tetapi mereka diberi 'pancing dan jala' supaya mereka boleh berdikari dan mengubah nasib pada masa depan.
Program bersifat jangka panjang perlu dianjurkan yang membolehkan mereka berdikari dan memanfaatkan usaha yang digembleng pihak tertentu supaya ia menjadi program berorientasikan mereka membantu diri mereka sendiri.
Ini perlu dijayakan dengan bersungguh-sungguh supaya mereka tidak beranggapan bahawa hari ini dibantu, tetapi esok terlantar kesusahan. Walaupun ada kalangan mereka yang dibantu itu yang mempunyai sikap sedemikian.
Malah, ada yang tidak bersedia mengubah minda untuk berubah hingga mereka yang diberikan modal berupa material seperti mesin jahit bertindak menjual mesin itu untuk mendapat wang segera. Ada yang dirasakan sudah melepasi tahap kemiskinan rela berada pada tahap lama dengan alasan bantuan tetap tiba mencurah-curah kepada mereka.
Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu menyenaraikan urutan keutamaannya dalam agenda mereka untuk melihat kemakmuran dan kesejahteraan dinikmati bersama. Kita pasti merindui suasana pada zaman khalifah Bani Umayyah yang terkenal iaitu 'Umar bin 'Abd al-'Aziz yang berjaya mewujudkan kesejahteraan dan keadilan ke seluruh rakyatnya.
Khalifah tidak hanya berjaya mengeluarkan rakyat yang miskin daripada kepompong kemiskinan, tetapi menjadikan rakyatnya kaya raya. Persoalannya bagaimana dan apakah kita mampu merealisasikan impian itu walaupun sejarah sudah membuktikannya.
Wednesday, April 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment