Oleh Sumilah Marto
Ibu bapa perlu bimbing anak buat keputusan tepat corak masa depan cemerlang
MEMILIH kursus atau bidang pengajian tidak semudah memilih barang yang ingin dibeli di kedai. Ia adalah keputusan penting dalam kehidupan seseorang dan perlu dilakukan dengan teliti. Jika kesilapan berlaku, mungkin akan menimbulkan penyesalan berpanjangan.
Persoalannya, mampukah remaja lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat pilihan yang tepat dalam mencorakkan masa depan hanya berbekalkan sekelumit pengalaman dikutip di sekolah?
Atau sejauh manakah ibu bapa dapat memastikan anak tidak terkandas di tengah jalan serta menyalahkan ibu bapa kerana tidak memahami kehendak mereka sedangkan ada yang berjaya mendapat segulung ijazah perubatan semata-mata memenuhi kehendak ibu bapa, tetapi akhirnya melakukan sesuatu yang lain untuk kepuasan sendiri.
Justeru, dalam menghadapi kemelut seperti itu, jalan tengah mestilah diambil. Urusan berkaitan pemilihan kursus seharusnya dilihat menerusi pelbagai aspek dan bukannya bergantung pada satu pihak saja.
Sewajarnya pemilihan dilakukan berdasarkan kepada kombinasi perbincangan kedua-dua pihak sehingga masing-masing memperoleh titik pertemuan dan kata sepakat yang berkat. Perkara utama menjadi tanggungjawab ibu bapa adalah membimbing dan memastikan apa juga kursus yang dipilih akan membawa anak sentiasa dekat kepada Penciptanya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang ada tanda bagi orang yang berakal." (Surah Ali-Imran, ayat 190)
Ayat itu memberikan tafsiran bahawa untuk mengenal Allah dan mengagungkan-Nya adalah dengan cara memikirkan setiap makhluk-Nya, merenungkan keajaiban dan memahami hikmah terkandung dalam segenap ciptaan-Nya.
Ia tidak bererti mengabaikan atau menolak sama sekali habuan di dunia kerana Allah mengarahkan kita supaya memanfaatkan umur sebaiknya serta tidak menghabiskan peluang hanya dengan menikmati habuan dunia yang bersifat sementara.
Sebaliknya ia menyarankan supaya pada masa sama menggandakan peluang untuk mendapat perolehan akhirat yang lebih lumayan.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)
Di samping itu, perkara berikut boleh dijadikan panduan umum untuk ibu bapa membimbing anak memilih kursus yang bersesuaian.
Menyesuaikan cita-cita, minat dan bakat
Bagi anak yang memiliki cita-cita tertentu, pilihlah kursus yang bersesuaian untuk mencapai cita-cita berkenaan. Contohnya, jika sejak kecil anak menunjukkan minat berniaga, mempunyai bakat yang dibuktikan menerusi aktiviti di sekolah kursus yang sesuai ialah ekonomi atau pengurusan perniagaan. Seterusnya galakkan mereka menjadi peniaga berjaya selepas tamat pengajian.
Maklumat yang tepat dan terkini
Carilah maklumat yang tepat sebagai bahan pertimbangan untuk memilih kursus. Rujuk kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang ingin diceburi atau dapatkan maklumat daripada pelbagai media termasuk internet. Jangan biarkan peluang anak terlepas begitu saja disebabkan kegagalan mendapatkan maklumat mengenai kursus bersesuaian kelayakan mereka.
Lokasi dan kewangan
Bagi ibu bapa yang mempunyai pendapatan lumayan, tidak menjadi masalah menghantar anak ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) tanpa mengira lokasi dan faktor kewangan. Begitu juga bagi mereka yang mendapat tajaan pihak tertentu. Sebaliknya bagi kurang berkemampuan serta tidak berpeluang mendapatkan penaja, lokasi IPT adalah faktor perlu diambil kira untuk menjimatkan kos.
Dalam keadaan seperti itu, pilihlah lokasi IPT berdekatan dengan tempat tinggal atau lokasi luar bandar yang memiliki kos sara hidup agak rendah. Pilihlah juga tempat kursus yang menawarkan yuran berpatutan.
Namun, jika tiada pilihan seperti dinyatakan, elakkan wang sebagai faktor yang menghambat masa depan anak. Mungkin usaha lain perlu dilakukan misalnya membuat pinjaman kewangan mengikut kadar kemampuan untuk membayar balik.
Peluang mendapat tempat
Jika anak mempunyai kelulusan cemerlang dalam SPM atau STPM, peluang mendapatkan kursus diminati amat cerah. Sebaliknya anak memperoleh pencapaian sederhana, peluang agak terhad kerana persaingan tinggi.
Dalam keadaan seperti itu, bimbinglah dan nasihat anak supaya tidak terikat dengan satu pilihan bidang dan tempat kurus saja sebaliknya menyenaraikan beberapa pilihan alternatif. Lebih baik jika dapat menyenaraikan kursus dan tempat kursus yang layak dimohon mengikut kelulusan anak berdasarkan iklan diwartakan menerusi media dari semasa ke semasa.
Kerjaya masa depan
Sebahagian besar ibu bapa dan anak mengharapkan peluang kerjaya yang cerah sebaik saja anak menamatkan kursus atau pengajian terutama bagi anak yang diamanahkan untuk membela nasib keluarga.
Jika demikian keadaannya, sudah tentu kursus yang mampu menawarkan peluang pekerjaan bakal menjadi pilihan. Ia menuntut ibu bapa membuat sedikit tugasan mengkaji apakah peluang pekerjaan yang ada di pasaran dalam tempoh lima tahun dari sekarang.
Namun, ada kalanya sesuatu keputusan itu tidak dapat memuaskan sesuatu pihak walaupun perbincangan dilakukan. Apa yang pasti, ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak dalam setiap langkah diambil.
Selepas berusaha, bersyukur dengan apa juga kursus yang diperoleh dan yakin dengan janji Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 14)
INFO
Panduan memilih kursus atau bidang pengajian di IPT
Menyesuaikan cita-cita, minat dan bakat - Pilih kursus yang bersesuaian untuk mencapai cita-cita berkenaan.
Maklumat yang tepat dan terkini - Cari maklumat yang tepat sebagai bahan pertimbangan untuk memilih kursus.
Lokasi dan kewangan - Pilih lokasi IPT berdekatan dengan tempat tinggal atau lokasi luar bandar yang memiliki kos sara hidup rendah. Pilih juga tempat kursus yang menawarkan yuran berpatutan.
Peluang mendapat tempat - Bimbinglah dan nasihat anak supaya tidak terikat dengan satu pilihan bidang dan tempat kurus. Senarai beberapa pilihan alternatif.
Kerjaya masa depan - kaji peluang pekerjaan yang ada di pasaran dalam tempoh lima tahun dari sekarang.
Penulis adalah pensyarah Institut Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dengan kerjasama Wanita JIM, wanitajim0@yahoo.com
Friday, April 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment